Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH VIRAL PUTRI SHAKILA, BUDAK PEREMPUAN MAUT YANG DITIKAM SEWAKTU PULANG DARIPADA MENGAJI AL-QURAN

    Baru-baru ini, negara Indonesia dikejutkan dengan berita seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang mati akibat ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki tidak dikenali. Kejadian ini dilaporkan berlaku pada malam hari Rabu minggu lepas (19 Oktober 2022).

    Sewaktu kejadian, mangsa iaitu Putri Shakila yang baru saja sejurus selesai mengaji kitab Al-Quran telah pulang ke rumahnya dengan berjalan kaki secara bersendirian. Putri Shakila sebelum itu berjalan dengan ditemani oleh seorang rakannya. Walau bagaimanapun, dua sekawan tersebut berpecah setelah sampai di satu kawasan persimpangan. Tidak lama kemudian, muncul sebuah motosikal yang sedang ditunggang oleh seorang lelaki. Sesudah memarkir motosikalnya, lelaki tersebut terus bertindak untuk mengejar Putri Shakila. Setelah menikam Putri Shakila pada bahagian punggung, lelaki itu kembali menunggang motosikalnya lalu beredar pergi dari lokasi kejadian. Saat Putri Shakila ditikam, dia sempat menjerit meminta pertolongan dengan memanggil ibunya, “Mama, mama, mama!”. Putri Shakila yang ditemui oleh penduduk setempat terus dikejarkan ke hospital berdekatan sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

    Berdasarkan rakaman litar tertutup di lokasi kejadian tersebut yang telah menjadi tular di laman media sosial, pihak polis berjaya mengenal pasti lelaki dalam video berkenaan. Identitinya dikenal pasti sebagai Rizaldi Nugraha Gumilar atau Ical, 22 tahun. Pihak polis tidak melengahkan masa mereka untuk melancarkan operasi pemburuan Ical. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan nasib Ical. Lokasi persembunyiannya yakni sebuah bilik sewa telah berjaya dikesan oleh pihak polis. Sewaktu penangkapannya dibuat, Ical didapati masih lagi tidur. Usai sedar, dia cuba melawan pihak polis dalam usahanya untuk melarikan diri. Percubaannya itu gagal apabila dia ditembak oleh pihak polis pada bahagian kakinya. Penangkapan Ical tersebut juga sekaligus telah membawa kepada penemuan beberapa bukti penting seperti pisau senjata pembunuhan, motosikal, baju dan selipar. Seperkara harus diketahui, Ical bertindak untuk menyembunyikan diri kerana disuruh oleh ibu bapanya untuk berbuat sedemikian.

    Berkenaan dengan motif pembunuhan, Ical yang berasal daripada keluarga miskin dipercayai membunuh Putri Shakila kerana ingin mencuri telefon pintar milik budak perempuan tersebut. Niat jahat Ical itu timbul gara-gara dia berasa terhina dengan tindakan rakannya yang enggan untuk meminjam telefon pintar kepadanya. Putri Shakila pada malam kejadian tersebut bagaimanapun tidak membawa telefon pintar. Berhubung dengan perbicaraan kes, Ical bakal berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup atau dihukum mati jika dia disabitkan dengan kesalahan. Sementara itu, ibu bapa Ical turut berisiko untuk dipenjarakan kerana bersubahat dalam melindungi anak mereka

Catat Ulasan for "KISAH VIRAL PUTRI SHAKILA, BUDAK PEREMPUAN MAUT YANG DITIKAM SEWAKTU PULANG DARIPADA MENGAJI AL-QURAN"