Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH ZHANG YUFEN : Pemburu Wanita Simpanan

    Di negara China, terdapat seorang wanita bernama Zhang Zufen yang digelar sebagai The Mistress Killer. Bertenang dan jangan salah anggap kerana Killer dimaksudkan bukanlah pembunuh akan tetapi pemburu yang memburu mana-mana wanita bergelar yang bergelar sebagai wanita simpanan kepada suami orang. Zhang melakukan kerja-kerja pemburuan tersebut kerana dia sendiri pernah menjadi mangsa kecurangan suaminya yang akhirnya menyebabkan mereka bercerai. Zhang kemudian bangkit daripada penceraian itu untuk membantu kaum wanita yang telah dikhianati oleh suami mereka.

    Kisah bermula pada tahun 1997 apabila Zhang ditinggalkan oleh suaminya yang telah membuat keputusan secara mengejut kerana ingin hidup bersama dengan teman wanita simpanannya. Perkara tersebut sekaligus menyebabkan Zhang dan anak lelakinya yang berusia 15 hidup dalam keadaan terkontang-kanting kerana suami Zhang tidak meninggalkan pasangan anak-beranak itu sebarang harta walau satu sen pun. Zhang kemudian mengambil masa lima tahun untuk menyiasat latar belakang teman wanita suaminya. Namun apa yang benar-benar mengejutkan dan membuatkan Zhang berasa marah, wanita berkenaan rupa-rupanya adalah kawannya sendiri. Zhang seterusnya membalas dendam dengan menyebarkan foto suami dan wanita itu kepada kenalan mereka.

    Hinggalah pada tahun 2007, barulah suami Zhang bersetuju untuk bercerai secara rasmi dengan diperintahkan untuk memberikan sebuah apartment kediaman kepada Zhang. Persetujuan tersebut dibuat suami Zhang selepas Zhang bertindak untuk memfailkan saman kepadanya. Empat tahun sebelum itu, Zhang telah menubuhkan satu agensi detektif iaitu Fire Phoenix Agency bertujuan untuk membantu wanita yang mengalami nasib sama seperti Zhang. Seperkara harus diketahui, Fire Phoenix Agency ini merupakan agensi detektif wanita pertama yang wujud di negara China. Kerja-kerja penyiasatan dilakukan oleh pasukan Zhang yang dikenali sebagai Anti-Mistress Alliance dengan menggunakan peralatan seperti pita rakaman suara, kamera, teropong dan buku nota. Zhang kebiasaannnya akan mengekori sasaran yakni perampas suami kliennya samada dengan menaiki teksi atau berjalan kaki. Sesudah sasaran utama ditangkap, mereka akan dimalukan depan orang awam seperti dimaki, dipukul dan ditelanjangkan sebagai tanda untuk tidak merosakkan rumah tangga orang.

    Ada sesetengah pihak di China menentang tindakan Zhang kerana cara dia memalukan sasarannya dianggap sebagai melanggar hak asasi wanita. Malah ada pihak beranggapan bahawa individu yang patut diperlakukan sedemikian adalah suami kliennya. Zhang bagaimanapun tetap mempertahankan caranya itu. Tegas Zhang, sistem perundangan di negara China tidak melindungi kaum wanita yang dianiayai suami mereka. Kebanyakan polis bakan turut enggan masuk campur dalam hal ehwal urusan rumah tangga. Zhang juga berdepan dengan ancaman musuh yang diupah oleh suami kliennya untuk membalas dendam kepadanya. Perkara itu tidak sesekali melunturkan semangat Zhang dalam membantu wanita yang bergelar sebagai isteri mendapatkan keadilan sewajarnya. Kata Zhang,

    “Lelaki jika sekali mereka berlaku curang, mereka pasti berubah dengan cepat dan perasaan cinta terhadap isteri mereka akan berkurang. Lihatlah wanita yang saya pernah tolong, mereka dipukul oleh suami mereka tanpa henti. Malah ada antara mereka yang tidak dapat lagi bertemu dengan anak mereka selepas dihalau keluar dari rumah. Ada juga wanita ini yang tidak menyedari suami mereka telah memindahkan sejumlah wang kepada kekasih gelapnya.”

    Sejak kemunculan Zhang, ramai wanita di China dilaporkan telah mempunyai keberanian untuk mempertahankan hak mereka samada dalam menuntut pembahagian harta dan hak penjagaan anak. Zhang yang kini berusia 60-an telah mengasaskan sebuah rumah perlindungan berserta dengan bantuan terapi berkaitan khas buat kaum wanita yang ingin memulakan kehidupan baru. 

Catat Ulasan for "KISAH ZHANG YUFEN : Pemburu Wanita Simpanan"