MENGAPA AKU TIDAK MANDI SELAMA 21 TAHUN
PENAFIAN : Kisah
fiksyen ini adalah terjemahan daripada kisah “Why I didn't shower for 21 years”
dari laman Reddit/Creepy Pasta. Pautan asal kisah ini : “Why I didn't shower
for 21 years”
Aku selalu bermimpi ngeri di mana aku terperangkap di dalam
bilik mandi. Saluran air tersumbat yang menyebabkan air tidak berhenti
mengalir. Air naik ke pergelangan kakiku hingga ke paras pinggangku dan
seterusnya menenggelamkan kepalaku. Bilik mandi tempat aku bertukar menjadi
peti kaca dan jeritanku berubah menjadi buih. Tiba-tiba muncul satu lembaga
hitam yang menempelkan wajahnya di kaca sambil memerhatikan aku dari luar. Aku
pun tenggelam dalam keadaan yang tidak lagi berdaya dalam peti kaca itu.
Aku terbangun dalam keadaan tersedak.
Aku tahu dari mana datangnya mimpi tersebut. Aku tidak perlu
menggali lebih ke dalam mengenai perkara itu. Kejadian tersebut tidak pernah
jauh dari alam bawah sedarku. Menemukannya begitu mudah tetapi untuk
melupakannya adalah sukar sama sekali.
Pada hari ulang tahun kelahiranku yang ke-12 tahun, keluarga
Hudson telah berpindah ke sebuah rumah yang terletak di seberang jalan.
Keluarga Hudson itu terdiri daripada tiga orang. Salah seorang daripada mereka
adalah seorang wanita tua. Rambutnya sudah beruban dan dia memakai gaun
berwarna biru yang bercorak bunga. Wanita tua tersebut sangat kurus hingga
nampak segala tulang rangkanya. Sewaktu wanita tua yang berkerusi tua itu
ditolak masuk oleh seorang lelaki ke dalam rumah, kepala wanita tua tersebut
seperti tergantung pada leher dan bergoyang. Pada waktu itu, aku tak berapa nak
pasti samada wanita tersebut masih hidup atau pun mati.
Beberapa minit kemudian, dia tiba-tiba muncul di sebalik
jendela di bilik tingkat atas rumah itu dalam keadaannya masih duduk di atas
kerusi roda. Tempatnya duduk tersebut betul-betul bertentangan dengan bilik
aku. Tatkala aku mengintainya dari jendela tingkap bilik tidurku, kepala wanita
tua tersebut tiba-tiba menegak lalu dia pun memerhatikan aku. Kepalanya sedikit
pun tidak bergerak. Aku pun terus menutup langsir.
Selama berhari-hari, wanita tua itu hanya duduk di tingkap.
Di situlah dia memerhatikan kereta yang lalu lalang dan kanak-kanak yang sedang
bermain di jalan. Aku bukan saja tidak pernah melihat sesiapa pun yang berada
di dalam bilik wanita tua tersebut malah aku juga tidak pernah melihatnya
beralih dari kerusi roda itu. Pada waktu malam, aku cuba mengintainya dengan
mengalihkan sedikit langsir. Lampu bilik wanita tua tersebut sudah pun dipadam
namun aku dapat melihat bayang-bayangnya yang masih merenung tepat ke arah
bilikku. Aku tahu dia masih memerhatikanku.
Kisah tentang wanita tua aneh itu telah tersebar dalam kalangan rakan-rakanku yang tinggal di kawasan kejiranan sama. Ada yang mengatakannya sebagai seorang penyihir. Ada juga yang menganggapnya sekadar patung. Ada yang berasa bahawa dia sudah pun mati tapi aku yakin bahawa wanita tua tersebut belum mati. Dia tidak pernah beredar dari tingkap bilik itu walaupun sekali. Begitu juga dengan pergerakan kepalanya yang kaku. Cumanya, aku dapat rasa bahawa dia memerhatikan segala pergerakanku. Kadang-kadang aku terjaga pada waktu malam hingga dapat berasa matanya tidak lekang daripada memerhatikanku. Sampai satu tahap, aku tidur di atas lantai. Semakin rendah tempatku, semakin legalah aku. Wanita tua tersebut mungkin tidak dapat melihatku jika aku berada pada atas lantai.
Aku pernah menyuarakan kepada ibu bapaku tentang wanita tua
itu yang benar-benar menakutkanku. Aku bahkan hingga merayu-rayu kepada ibu
bapaku untuk memberitahu keluarga Hudson supaya memindahkan wanita tua tersebut
ke dalam bilik rumah mereka yang tidak bertingkap. Ibu bapaku bagaimanapun
telah mentertawakan aku supaya membiarkan wanita tua itu menghabiskan sisa-sisa
kehidupannya dengan tenang. Kata mereka lagi, wanita tua tersebut hanya melihat
kanak-kanak bermain kerana perkara itu boleh membuatkannya berasa gembira serta
berjiwa muda.
“Adakah kamu akan
meletakkan ibu di tempat bilik yang tidak bertingkap masa ibu tua nanti?”
Ibuku tertawa. “Kalau begitu, ingatkan
ibu untuk tinggal bersama dengan adikmu bila ibu sudah berkerusi roda nanti.”
Seminggu selepas itu, ada sesuatu yang telah berlaku di
rumah keluarga Hudson. Aku yang berselindung di sebalik jendela tingkap blikku
telah melihat seorang lelaki keluar dari rumah itu untuk membuka pintu
keretanya. Sesudah berbuat sedemikian, lelaki tersebut kembali masuk ke dalam
rumah sebelum dia keluar semula dengan menolak kerusi roda yang diduduki wanita
tua itu. Nyata sekali wanita tua tersebut kelihatan semakin lemah dan kurus
berbanding waktu sebelumnya. Posisi kepalanya senget ke sebelah kanan dengan
matanya tetap memerhatikan aku sepanjang masa.
Wanita tua itu seterusnya didukung oleh lelaki itu lalu
dimasukkan ke dalam kereta. Kerusi roda tersebut yang siap dilipat telah
diletakkan di dalam but kereta. Usai itu, lelaki tersebut masuk ke dalam kereta
bersama dengan isterinya. Wanita tua tersebut masih lagi menatap wajahku. Wajah
wanita tua itu boleh aku gambarkan sebagai wajah yang tidak mempunyai sebarang
ekspresi serta tidak beremosi. Lidahnya terjelir keluar sedikit pada bahagian
kanan mulutnya. Kereta keluarga Hudson tersebut mula bergerak dan akhirnya
hilang daripada pandangan mata.
Ibu bapaku telah diberitahu oleh jiran sekitar tentang
keadaan wanita tua itu yang semakin teruk. Dia sudah pun dimasukkan ke rumah
kebajikan orang tua. Dalam erti kata lain, wanita tua tersebut tidak akan lagi
kembali. Sebaik mendapat tahu mengenai perkara itu, aku memasuki ke dalam bilik
tidurku untuk melihat rumah di seberang jalan. Aku tersenyum. Tiada lagi
kelibat wanita tua tersebut di tingkap rumahnya itu.
Keluarga Hudson juga tidak pulang ke rumah mereka pada hari
berikutnya. Tiada sebarang penampakan van. Malam tersebut, aku mengintai bilik
wanita tua itu. Tiada sesiapa yang berada di situ. Tiada juga kerusi roda.
Walau bagaimanapun, lampu bilik tersebut dalam keadaan menyala. Aku ada
memberitahu bapaku tentang perkara itu. Jawapan yang bapaku berikan, nyalaan
lampu bilik wanita tua tersebut berkemungkinan besar disebabkan pemasa atau
lain-lain lagi penyebab.
Aku terbangun pada waktu tengah malam. Maka dengan perasaan
yang gugup, aku cuba mengintai bilik wanita tua itu. Lampu bilik wanita tua
tersebut masih lagi menyala. Namun tidak lama kemudian, lampu bilik itu
tiba-tiba terpadam. Melihat keadaan tersebut, aku terus menundukkan badanku.
Setelah bersembunyi buat seketika, aku bangun semula secara perlahan-lahan
untuk mengintai kembali bilik wanita tersebut dengan jangkaan akan melihat
bayang-bayang wanita tua seakan tengkorak itu. Selepas 10 minit menunggu, tiada
seorang pun yang muncul dalam bilik wanita tua tersebut. Cumanya lampu bilik
itu terpasang dan tertutup sekali lagi. Disebabkan itu, aku pun memutuskan
untuk tidur di atas lantai sambil memeluk bantal pelukku.
Petang keesokan harinya, aku mempunyai sesi latihan bola
keranjang. Tamat latihan, aku pun pulang sebelum mendapati ibu bapaku tiada
berada di rumah. Mereka pergi menyaksikan adik aku yang bermain dalam
perlawanan bola lisut. Aku bergegas pergi ke bilik mandi untuk membasahkan
badan.
Sewaktu sedang mandi, aku tiba-tiba berasa agak sejuk
sedangkan aku menggunakan air panas. Haba seakan keluar daripada bilik mandi
walaupun pintu bilik mandi ditutup. Semasa mata aku terkena syampu, aku
terdengar satu bunyi yang bakal menghantui hidupku selama bertahun-tahun. Bunyi
tersebut adalah bunyi tirai yang sedang diseret. Ada seseorang yang masuk ke
dalam bilik mandi! Dalam mataku sedang kepedihan, aku dapat melihat bayangan
manusia berada di sebalik tirai bilik mandi. Muncul jari-jemari manusia yang
kelihatan kurus, panjang dan pucat menyeret tirai dengan perlahan.
Gambar sekadar hiasan |
Jelas, wanita tua yang sedang bertelanjang bulat itu sedang berdiri di depanku! Aku memandangnya untuk sesaat atau dua saat akan tetapi masa pada waktu tersebut seakan berhenti. Rambutnya kusut masai, kulit badan pula kelihatan pucat dan lagi dahsyat gumpalan daging yang melekat pada tubuh badannya. Bertahun-tahun aku tidak dapat melihat apa yang aku telah lihat pada hari tersebut.
Wanita tua itu tersenyum. Satu senyuman yang benar-benar
membuatkan aku ketakutan. Pada masa sama, wanita tua tersebut sedang
menggenggam sebilau pisau kecil pembuka surat.
“Ogos...” Gumam wanita tua itu. “Ogos..Ogos..
Ogos..”
Aku bergegas berlari keluar dari bilik mandi dengan menempuh wanita tua tersebut hingganya jatuh tersungkur. Aku yang bertelanjang serta basah kuyup berlari menuruni anak tangga. Sewaktu masih dalam kepanikan itu, aku menyedari diriku dalam keadaan bertelanjang. Maka aku pun pergi mengambil seluar pendek dalam bakul yang terletak di bilik cucian. Sesudah memakai seluar, aku berlari keluar dari rumah lalu pergi ke rumah rakanku.
Setibanya pihak polis ke rumahku, mereka menemui wanita tua tersebut yang tidak sedarkan diri di bilik mandi. Pancuran air hujan masih lagi mengalir. Anggota polis itu bukan saja baik kepadaku, malah memberikan pujian atas keberanianku. Aku ada mengemukakan soalan kepada mereka tentang “Ogos” yang wanita tua tersebut telah katakan kepadaku.
“Dalam masa beberapa
hari lagi akan masuk bulan Ogos.” Jawab salah seorang daripada anggota
polis itu. “Awak takkan pernah memahami
seorang wanita tua yang gila.”
Keluarga Hudson akhirnya kembali ke rumah hanya untuk
mengambil barangan milik mereka. Beberapa hari berikutnya, papan iklan bertulis
“Rumah untuk Dijual” dipacak di
kawasan rumah mereka. Ibuku memberitahu bahawa keluarga Hudson tidak sanggup
untuk berdepan dengan jiran-jiran atas apa yang sudah pun berlaku. Wanita tua
tersebut sebelum ini dihantar ke rumah kebajikan orang tua di sebuah bandar.
Walau bagaimanapun, wanita tua itu telah melarikan diri dari rumah kebajikan
itu sebelum dia kembali ke kawasan rumahku dengan menaiki bas. Kedengaran
seperti tidak masuk akal. Manakan tidak, wanita tua itu sudah terlalu tua dan
lemah. Dia hampir tidak bergerak dan berjalan pada sepanjang tempohnya tinggal
dalam rumah di seberang jalan tersebut. Jadi bagaimana wanita tua tersebut
boleh menguruskan dirinya sendiri untuk menaiki bas yang memakan masa
berjam-jam perjalanan?
Tidak dapat nak dibayangkan kejadian yang telah menimpaku
itu. Sejak kejadian tersebut, aku tidak pernah lagi mandi menggunakan pancuran
air hujan selama 21 tahun. Aku cuma mandi dengan berendam dalam tab air panas
yang dipenuhi dengan sabun. Cumanya, aku tidak akan mandi terlalu lama. Soal
pancuran air hujan dan tirai, aku tidak akan lagi mandi seperti itu untuk seumur
hidupku. Sewaktu mandi, kita bersendirian. Selama beberapa minit, kita akan
terasing dari dunia luar. Namun itu adalah privasi kita. Kau berada dalam ruang
tertutup, kau lemah dan kau telanjang. Kau akan mudah diserang. Aku sudah
menceritakan rasa ketakutanku ini kepada semua orang termasuk ibu bapaku dan
juga psikiatri akan tetapi tiada apa-apa yang boleh mereka lakukan. Maka
kehidupan haruslah diteruskan. Aku tidak
mempunyai masalah lain dalam hidupku kecuali mandi.
Beberapa bulan lepas, aku tiba-tiba mendapat ilham untuk
menyiasat semula berhubung kejadian itu. Sepertinya ada suara dalam kepalaku
untuk menyuruhku berbuat sedemikian. Aku fikir aku harus mencari jawapan. Aku
menghabiskan masa selama berjam-jam pada waktu malam untuk mencari maklumat
tentang keluarga Hudson dan wanita tua tersebut. Hingga pada akhirnya, aku
berjaya menemui maklumat yang berkenaan. Maklumat yang dimaksudkan, obituari
wanita tua itu. Dia sudah pun meninggal dunia pada empat tahun lalu. Foto
obituari hitam putih tersebut adalah foto wanita tua itu sewaktu zaman muda
yakni foto perkahwinan bersama dengan mendiang suaminya yang bernama Ogos. Muka
lelaki itu hampir mirip dengan wajahku.
Aku berhenti melayari internet untuk seketika dan terus merenung
ke arah skrin komputer ribaku. Terjawablah segala persoalanku selama ini. Baru
aku tahu kenapa wanita tua tersebut begitu obses hingga tidak berhenti
memerhatikan segala pergerakanku. Boleh jadi dia selalu menulis surat untuk
suaminya dan mungkin itu juga penyebab dia menggenggam pisau pembuka surat pada
hari kejadiannya muncul di dalam bilik mandi rumahku. Aku berasa lega sebentar
kerana semua perkara akan menjadi lebih baik jika sudah difahami dengan
sebaiknya.
“Sayang, awak okay?”
Tanya isteriku.
“Ya sayang.” Jawabku.
Aku akhirnya mandi menggunakan pancuran air hujan buat kali pertamanya dalam tempoh 21 tahun. Malah aku tidak melompat ketakutan pun sewaktu isteriku membuka tirai dalam bilik mandi. Namun sebenarnya masih ada satu persoalan yang belum lagi terjawab. Mengapa wajah wanita muda di dalam foto obituari tersebut sangat mirip dengan wajah isteriku?
Catat Ulasan for "MENGAPA AKU TIDAK MANDI SELAMA 21 TAHUN"