PENGALAMAN MISTIK SEORANG ANGGOTA MENCARI & MENYELAMAT DALAM HUTAN
Ini adalah pengalaman kisah mistik dalam hutan yang dikongsikan seorang pengguna Reddit pada sepanjang tempohnya bertugas sebagai anggota pasukan Mencari & Menyelamat. Pautan kisah asal : I'm a Search and Rescue Officer for the US Forest Service, I have some stories to tell.
***
Aku merupakan seorang anggota dalam pasukan Mencari dan Menyelamat yang berkhidmat di bawah Jabatan Perhutanan Amerika Syarikat. Disebabkan sudah tidak tahu dekat mana lagi tempat untuk bercerita, maka aku memutuskan untuk berkongsi pengalamanku di laman Reddit ini. Sepanjang tempoh perkhidmatanku sebagai anggota dalam pasukan Mencari dan Menyelamat, sudah terlalu banyak peristiwa aneh di dalam hutan yang telah aku lihat.
Sudah banyak kali sebenarnya aku berjaya menemui semula mangsa yang dilaporkan hilang di dalam hutan. Punca kebanyakan mangsa hilang adalah disebabkan tabiat mereka yang suka berjalan-jalan, ada yang terjatuh dari tebing dan ada juga kerana sesat. Namun aku pernah berhadapan dengan dua kes di mana mangsa telah benar-benar hilang. Dua kes inilah yang membuatkan aku untuk tidak pernah berputus asa dalam usaha mencari mangsa yang hilang. Dalam kes pertama, pasangan adik-beradik yakni kanak-kanak lelaki dan perempuan telah hilang sewaktu mengutip buah beri bersama dengan ibu bapa mereka. Kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata di mana ibu bapa kanak-kanak tersebut terlepas pandang anak mereka itu untuk beberapa saat. Selepas gagal menemui anak mereka, maka kami pun dihubungi. Setibanya di tempat kejadian, kerja-kerja pencarian terus dijalankan. Tidak lama kemudian, kami berjaya menemui kanak-kanak perempuan tersebut. Dia memberitahu bahawa ada seorang "lelaki beruang" telah memberikannya buah beri serta diminta untuk senyap. Cerita kanak-kanak perempuan itu lagi, lelaki beruang tersebut sudah membawa adik lelakinya pergi. Mendengar cerita itu, pada mulanya kami beranggapan hal tersebut adalah satu kes penculikan. Namun sangkaan itu ternyata meleset berikutan tiada sebarang jejak manusia dikesan di tempat kejadian. Seperkara lagi, "lelaki beruang" tersebut digambarkan tidak seperti manusia biasa kerana dia bukan saja tinggi, bahkan mempunyai susuk tubuh seperti seekor beruang serta memiliki raut wajah yang sangat pelik. Walaupun operasi pencarian dijalankan berminggu-minggu lamanya, semua itu tidak mendatangkan sebarang hasil. Kanak-kanak lelaki tersebut tidak pernah berjaya ditemui. Kes kedua pula, seorang gadis remaja hilang ketika dia keluar pergi mendaki bersama ibu dan juga datuknya. Satu ketika, remaja perempuan itu memanjat sebuah pokok untuk menikmati pemandangan yang indah. Sesudah lebih sejam ibu dan datuk gadis tersebut duduk menunggu di bawah pokok, gadis berkenaan langsung tidak tidak turun walaupun berkali-kali namanya dipanggil. Renteran datipada perkara itu, ibu gadis tersebut membuat panggilan kecemasan. Gerakan mencari dilancarkan. Namun, sama seperti dalam kes pertama tadi, tiada sebarang jejak mangsa yang berjaya ditemui. Pelik bukan? Bagaimana gadis itu oleh hilang tanpa disedari? Ibu dan datuknya tidak pernah melihat dia turun dari pokok itu.
Seterusnya mengenak anjing pengesan sewaktu operasi pencarian berjalan. Kadang-kadang, anjing pengesan ini membawa aku lurus ke tebing dan bukannya di tengah bukit atau mana-mana tempat yang mempunyai permukaan batu. Namun dalam sesetengah kes, kami berjaya menemui mangsa di seberang tebing atau tempat lain yang jaraknya hanya beberapa batu dari lokasi terakhir kami dibawa oleh anjing pengesan. Perkara ini memang nampak pelik tapi hakikatnya luar biasa. Apapun, bagiku semua itu ada penjelasan yang tersendiri.
Ini pula adalah kes yang begitu menyedihkan. Seorang kanak-kanak perempuan maut secara tidak sengaja akibat terjatuh lalu tertusuk dahan pokok yang tajam. Sebaik saja ibu mangsa dimaklumkan tentang kejadian itu, dia terus berteriak. Saat wanita tersebut melihat mayat anaknya dibawa masuk ke dalam ambulan, suara tangisan yang sangat hiba kedengaran. Beberapa minggu selepas kejadian tersebut, wanita itu telah membunuh diri. Dia berkemungkinan berasa tiada gunanya lagi untuk meneruskan hidup tanpa kehadiran anak perempuan kesayangan di sisinya.
Dalam satu kes lain, kami dikerahkan untuk mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti pendakian. Seterusnya, kami memanjat ke lokasi kejadian dan menemui lelaki itu terperangkap pada jurang yang sangat dalam dengan keadaan kakinya patah. Bayangkan, dia terpaksa menanggung kesakitan selama dua hari di tempat tersebut secara bersendirian. Dakwa lelaki itu juga, ada "seseorang" berada di atas puncak. Lelaki tersebut menceritakan bagaimana saatnya sampai di puncak, dia telah melihat ada seorang lelaki di situ yang tidak dilengkapi dengan sebarang alat kelengkapan pendakian serta pada masa sama hanya berpakaian jaket dan seluar ski. Belum sempat pendaki tadi menyapa, lelaki misteri itu terus menoleh di mukanya tidak berwajah. Pendaki tadi terus berasa ketakutan sebelum segera untuk menuruni gunung. Disebabkan tindakan kelam kabut itulah yang menyebabkannya terjatuh. Semalaman lelaki tersebut berbaring seorang diri, dia terdengar bunyi langkah lelaki misteri tadi menuruni gunung dengan satu jeritan suaranya yang sangat menyeramkan.
Ini pula kes yang benar-benar menakutkan aku. Kami ditugaskan untuk mencari seorang gadis remaja yang telah terpisah daripada kumpulannya. Dia akhirnya ditemui meniarap di bawah batang pokok tanpa sebarang kelengkapan dan juga tidak berkasut. Meskipun tiada mengalami sebarang kecederaan, dia dilihat masih dalam keadaan terkejut. Sewaktu membawa perempuan itu pulang, dia kerap kali menoleh ke belakang dan kemudian ada menyebut tentang seorang "lelaki berbadan besar serta bermata hitam". Memandangkan kami semua tidak melihat sesiapapun yang berada di kawasan situ, maka kami beranggapan itu adalah satu gejala kejutan mangsa alami. Walau bagaimanapun, lama kelamaan gadis remaja tersebut semakin gelisah. Hinggalah satu ketika, dia berhenti berjalan, lalu tiba-tiba menjerit menyuruh "lelaki" tadi berhenti untuk mengekorinya. Jeritnya lagi, dia tidak sesekali akan menyerahkan kami kepadanya. Selepas berjaya dipujuk oleh kami, barulah gadis remaja itu kembali mengorak langkahnya. Pada saat ini, kami mula terdengar pelbagai bunyi aneh. Salah satu daripada bunyi itu adalah bunyi seakan ada seseorang yang sedang batuk. Sampai di markas operasi, gadis remaja tersebut tiba-tiba memegang bahuku. Dia memberitahu bahawa "lelaki" itu tidak gemar melihat parut yang terdapat di leherku. Ya, memang betul ada parut kecil pada leher aku. Perkara ini memang begitu memeranjatkan kerana selama ini parut tersebut memang sentiasa aku tutupi dengan kolar baju. Entah bagaimana gadis remaja tersebut boleh mengetahu tentang parut itu. Cerita belum habis lagi. Sejurus selepas gadis remaja tersebut memberitahuku pasal parut itu, aku terus terdengar bunyi orang batuk betul-betul di cuping telingaku. Bulu roma aku terus naik meremang. Aku berpura-pura berlagak seperti normal. Tamat operasi pada malam tersebut, akulah orang yang betul-betul paling lega.
Kes terakhir yang aku hendak ceritakan ini mungkin adalah kes paling pelik yang pernah aku alami. Bunyinya mungkin mengarut, tapi percayalah perkara ini benar-benar berlaku. Pembaca mungkin boleh mengemukakan soalan kepada kenalan masing-masing yang bekerja sebagai anggota dalam pasukan Mencari dan Menyelamat mengenai perkara ini. Silap haribulan, mereka buat-buat tak faham. Apa yang aku maksudkan adalah tangga. Terjumpa tangga di tengah-tengah hutan. Bukan sekali, tapi dah banyak kali. Kali pertama kali aku terjumpa tangga dalam hutan, aku cuma diberitahu oleh rakan sekerjaku bahawa itu adalah satu perkara yang normal. Cumanya, aku ada dinasihatkan supaya tidak sesekali mendekati tangga tersebut. Sekarang kalau terjumpa tangga dalam hutan, apa yang akanku buat? Buat tak tahu.
Catat Ulasan for "PENGALAMAN MISTIK SEORANG ANGGOTA MENCARI & MENYELAMAT DALAM HUTAN"