Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

JUMPA KENALAN LELAKI APLIKASI DALAM TALIAN, WANITA INI DIBUNUH DENGAN KEJAM

    Seorang wanita pertengahan usia dari Mexico telah menjadi mangsa pembunuhan kejam selepas dia pergi ke negara Peru hanya semata-mata untuk bertemu dengan lelaki yang dikenalinya menerusi aplikasi permainan video secara dalam talian.

    Berdasarkan laporan daripada media tempatan, wanita berusia 51 tahun yang bernama Blanca Arellano tersebut menaiki penerbangan dari Mexico City menuju ke Lima, Peru pada penghujung bulan Oktober lepas. Dia kemudian dikatakan telah pergi ke pantai Huacho yakni kawasan tempat tinggal kenalannya dalam aplikasi permainan video secara dalam talian itu yang dikenali sebagai Pablo Jesus Villafuerte, 37 tahun. Menurut anak saudara perempuan Blanca iaitu Karla Arellano, kali terakhir dia berbual dengan Blanca adalah pada 7 November lalu. Waktu tersebut, Blanca memberitahu Karla bahawa dia sudah benar-benar jatuh cinta kepada Pablo. Dua minggu selepas perbualan tersebut, Karla mendakwa dia sudah tidak lagi mendengar perkhabaran tentang Blanca. Rentetan daripada perkara itu, Karla telah membuat pemakluman mengenai kehilangan Blanca menerusi ciapan di laman akaun Twitter. Ciapan tersebut bertulis,

    “Saya tidak pernah menyangka akan berada dalam situasi sebegini, tetapi pada hari ini saya meminta anda semua untuk menyebarkan ciapan ini dan menemui semula insan yang paling saya sayangi. Ibu saudara saya iaitu Blanca Olivia Arellano telah hilang pada 7 November, Isnin di Peru. Kami bimbang akan keselamatannya.”

    Pada masa sama, Karla mendakwa bahawa dia sudah menghubungi Pablo untuk mengetahui keberadaan ibu saudaranya. Walau bagaimanapun, Pablo menjelaskan bahawa Blanca sudah pun kembali ke Mexico dengan alasan tidak mendapat kehidupan seperti yang dia idamkan. Ciapan laman Twitter Karla yang menjadi tular itu sekaligus membuka mata pihak berkuasa Peru untuk terus membuka kertas siasatan kes kehilangan Blanca. Pada 10 November 2022, pihak berkuasa Peru telah menemui keratan jari-jemari manusia di sekitar kawasan pantai Huacho. Keesokan harinya pula, tubuh badan mayat manusia tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui di lokasi sama. Tubuh badan mayat manusia tersebut didapati sudah tidak mempunyai organ dalaman itu akhirnya dikenal pasti sebagai Blanca. Pengecaman mayat itu dibuat oleh ahli keluarganya berdasarkan cincin pada salah satu jarinya yang telah dikerat tersebut.

    Susulan penemuan mayat Blanca dalam keadaan mengerikan itu, pihak polis telah melakukan penangkapan terhadap Pablo yang juga merupakan seorang pelajar doktor perubatan kerana disyaki sebagai suspek utama pembunuhan. Seperkara harus diketahui, Pablo didakwa ada memuat naik video organ manusia di laman media sosial Tik Tok pada beberapa hari setelah Blanca dilaporkan hilang. Buat masa sekarang, kes masih lagi dalam siasatan penuh oleh pihak berkuasa Peru dengan Pablo berdepan dengan dakwaan melakukan jenayah pemerdagangan organ manusia.

Catat Ulasan for "JUMPA KENALAN LELAKI APLIKASI DALAM TALIAN, WANITA INI DIBUNUH DENGAN KEJAM"