Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MISTERI KAMPUNG SUGISAWA

    Sugisawa Village atau Kampung Sugisawa adalah kisah legenda urban dari negara Jepun yakni tentang sebuah kawasan perkampungan misteri yang benar-benar menyeramkan. Lokasi sebenar Kampung Sugisawa masih lagi tidak diketahui walaupun sudah terlalu ramai pihak yang cuba untuk menjejaki kampung ini. Namun seperkara dapat dipastikan, Kampung Sugisawa ini dipercayai terletak di kawasan berbukit yang terletak di Wilayah Amaori.

    Asal-usul legenda urban Kampung Sugisawa ini dikatakan bermula pada beberapa dekad lepas apabila ada seorang penduduk lelaki tiba-tiba mengamuk tanpa sebarang sebab. Dia telah membunuh semua penduduk kampung Sugisawa dengan menggunakan kapak sebelum melakukan aksi bunuh diri. Pembunuhan yang dilakukan lelaki tersebut terlalu mengerikan hingga pada akhirnya memaksa pihak berkuasa bertindak untuk membiarkan saja kampung itu. Lokasi Kampung Sugisawa juga telah dipadam dari peta rasmi. Dokumen sedia ada yang berkaitan dengan kewujudan Kampung Sugisawa turut dihapuskan. Penghapusan rekod Kampung Sugisawa tersebut dilakukan kerana Kampung Sugisawa tersebut telah mula dihantui dengan kemunculan iblis. Lagi dahsyat, sesiapa yang memasuki Kampung Sugisawa akan kekal dalam kampung itu buat selama-lamanya. Dalam erti kata, mereka tidak akan pernah kembali ke dunia nyata semula.

    Terdapat tiga tanda yang menandakan seseorang itu sebenarnya sudah berada di kawasan perkampungan Sugisawa. Tanda pertama, papan tanda yang bertulis “Tiada jaminan untuk sesiapa yang memasuki kampung ini akan keluar dalam keadaan hidup.” Tanda kedua, pintu gerbang berwarna merah dengan hiasan batu berbentuk tengkorak. Tanda ketiga, penemuan beberapa buah rumah terbiar di mana terdapat kesan percikan darah dalam semua rumah tersebut. Lagi menakutkan, mereka yang berada berhampiran dengan Kampung Sugisawa ini akan terdengar suara orang berborak dan ketawa di sebalik bunyi keriuhan festival. Lama-kelamaan, suara orang ketawa itu akan bertukar menjadi suara jeritan dengan nada yang begitu menakutkan.

Gambar sekadar hiasan

    Diceritakan juga ada tiga orang sekawan iaitu dua orang lelaki dan seorang wanita telah tersesat di sebuah kawasan bukit. Tanpa diduga, mereka bertiga kemudian menemui papan tanda, pintu gerbang dan rumah terbiar seperti yang diceritakan dalam legenda urban Kampung Sugisawa. Pada mulanya, wanita tersebut enggan untuk memasuki ke dalam Kampung Sugisawa kerana dilanda dengan rasa ketakutan. Hanya selepas puas dipujuk oleh rakan lelakinya, barulah wanita itu bersetuju untuk menjejakkan kakinya ke Kampung Sugisawa. Apa yang berlaku berikutnya sewaktu tiga sekawan tersebut berada dalam Kampung Sugisawa, ketiga-tiga mereka dapat berasa diri mereka seperti sedang diperhatikan oleh sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Jadi mereka bertiga berpecah melarikan diri. Sewaktu wanita itu berlari, dia telah pengsan sebelum ditemui oleh orang awam yang terus memberikan bantuan dengan menghantarnya ke hospital. Sebaik saja wanita tersebut sedar, dia telah menceritakan kepada kakitangan hospita mengenai apa yang sudah berlaku. Sesudah dibenarkan untuk keluar dari hospital, wanita itu tidak pernah lagi dapat untuk dijejaki. Sementara itu, dua orang rakan lelakinya pula tidak pernah diketahui nasib mereka hingga pada hari ini.

    Ramai juga pihak mempercayai bahawa legenda urban Kampung Sugisawa ini sebenarnya diangkat dari kes “Pembunuhan Beramai-ramai Tsuyama” yang berlaku di Kampung Kamo, Tsuyama, Wilayah Okayama pada tahun 1938. Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki bernama Mutsuo Toi telah membunuh seramai 30 orang penduduk kampung dengan menggunakan kapak, pedang dan senapang. Mangsa yang dibunuh Mutsuo itu termasuklah neneknya sendiri. Setelah selesai melakukan pembunuhan, Mutsuo akhirnya membunuh diri. Kisah penuh tentang Mutsuo Toi ini boleh dibaca di sini : https://www.jacklester33.com/2023/01/kisah-pembunuhan-dahsyat-beramai-ramai.html

Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KAMPUNG SUGISAWA"