KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ANNIE LE
Annie Le atau nama sebenarnya iaitu Annie Marie Thu Le
dilahirkan pada 3 Julai 1985 di San Jose, California, Amerika Syarikat. Dia
bukan saja digambarkan sebagai seorang wanita yang sangat baik, peramah dan
pintar malah begitu disenangi oleh orang di sekelilingnya. Selepas tamat
sekolah menengah, Annie melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana
muda dalam bidang Biologi di Universiti Rochester. Sesudah itu, Annie diterima
untuk memasuki program siswazah di Universiti Yale yang terletak di New Haven,
Connecticut bagi membolehkannya mendapat gelaran sebagai doktor falsafah dalam
bidang farmakologi. Annie juga telah mengikat tali pertunangan dengan seorang
lelaki yang dikenalinya sewaktu belajar di Universiti Rochester iaitu Jonathan
Widawsky di mana pasangan tersebut merancang untuk melangsungkan majlis
perkahwinan mereka pada 13 September 2009.
Annie & Jonathan |
Kisah sebenar bermula pada 8 September 2009. Hari itu, Annie meninggalkan apartment kediamannya untuk menuju ke kampus tempatnya menjalankan kerja-kerja penyelidikan. Tepat pukul 10.00 pagi, Annie yang memakai baju berwarna hijau telah keluar dari pejabat sebelum dilihat memasuki ke bangunan makmal dengan menggunakan kad akses. Pada malam hari yang sama, salah seorang daripada rakan serumah Annie menghubungi pihak polis untuk membuat laporan tentang kehilangan Annie. Laporan tersebut dibuat kerana Annie sebelum itu tidak pernah pulang lewat ke rumah. Annie juga didakwa sentiasa menjawab panggilan telefon apabila dihubungi. Namun pada hari tersebut, panggilan telefon pada Annie langsung tidak berjawab.
Pada mulanya pihak polis beranggapan bahawa Annie berkemungkinan telah melarikan diri kerana enggan untuk meneruskan majlis perkahwinannya dengan Jonathan. Walau bagaimanapun, pihak polis menarik balik tanggapan itu setelah mereka menemui beg duit dan telefon bimbit Annie di meja pejabatnya. Pihak polis turut diberitahu tentang Annie yang dikatakan begitu teruja dengan majlis perkahwinannya. Mengambil kira perkara tersebut, pihak polis memulakan siasatan dengan memeriksa semua rakaman kamera litar tertutup yang ada di bangunan kampus berkenaan. Menerusi pemeriksaan rakaman serta data keluar kad akses, Annie didapati tidak pernah keluar dari bangunan makmal tersebut selepas dari jam 10.00 pagi. Jadi pihak polis pun menjalankan operasi secara besar-besaran dalam bangunan itu. Kawasan yang dicari termasuklah tapak pembuangan sampah.
Pada 12 September 2009, Annie dipercayai telah menjadi
mangsa pembunuhan. Perkara tersebut adalah berikutan pihak polis menemui baju
hijau yang dipakai oleh Annie sewaktu hari kejadian. Baju hijau Annie yang
dipenuhi dengan kesan lumuran darah itu telah ditemui di dalam siling bilik
makmal penyelidikan. Keesokan harinya yakni sewaktu pasukan pencarian berada di
ruang paling bawah bangunan kampus tersebut, salah seorang daripada mereka
terhidu satu bau yang sangat busuk. Maka dengan menggunakan khidmat anjing
pengesan, satu mayat manusia yang tidak berpakaian telah ditemui di dalam
dinding ruang itu. Mayat yang sudah mereput teruk tersebut tidak lain tidak
bukan adalah mayat Annie. Dia telah dimasukkan ke dalam dinding itu melalui
satu lubang yang begitu sempit hingga menyebabkan tulang rahang dan selangkanya
patah. Penemuan mayat Annie tersebut ternyata benar-benar menyedihkan tunang
dan anggota keluarganya. Manakan tidak, Annie sepatutnya memakai gaun pengantin
pada hari mayatnya ditemui itu.
Berdasarkan laporan forensik, punca kematian Annie adalah akibat trauma asfiksia. Selain itu, terdapat juga kesan lain yang menandakan bahawa Annie telah diserang secara seksual sebelum dibunuh. Beberapa hari setelah penemuan mayat Annie tersebut, pihak polis akhirnya melakukan penangkapan terhadap seorang lelaki yang diyakini sebagai suspek utama pembunuhan. Lelaki itu dikenal pasti sebagai Raymond Clark, 24 tahun. Penangkapan Raymond yang bekerja sebagai seorang juruteknologi makmal tersebut dibuat kerana dia merupakan satu-satunya individu dipercayai ada di bangunan makmal bersama dengan Annie semasa hari kejadian. Cuma seperkara harus diketahui, Raymond dikhabarkan sebagai seorang yang berperwatakan baik dan tidak pernah mempunyai sebarang masalah di tempat kerjanya. Pengakuan daripada bekas teman wanita Raymond pula adalah sebaliknya dengan dakwaan Raymond adalah seorang lelaki yang sangat mengongkong. Pihak polis sebenarnya sudah mencurigai Raymond sejak dari awal lagi kerana dia dilihat pernah menjalankan kerja-kerja pembersihan di ruang makmal selain terdapat kesan cakaran pada muka dan dadanya. Hasil ujian pemeriksaan DNA turut mendapati DNA Raymond sepadan dengan DNA pada beberapa bahan bukti yang ditemui di sekitar lokasi kejadian.
Raymond Clark |
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes bulan Mac tahun 2011, Raymond telah mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Bagi pertuduhan pertama iaitu pertuduhan membunuh, Raymond diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 44 tahun. Bagi pertuduhan kedua pula iaitu melakukan serangan seksual, Raymond dihukum penjara untuk tempoh 20 tahun. Kedua-dua hukuman itu dijalankan secara serentak. Motif Raymond membunuh Annie? Tiada jawapan kerana Raymond tidak pernah membuka mulut untuk menjelaskan mengenai perkara tersebut. Sesetengah pihak ada mengemukakan teori bahawa Raymond berkemungkinan melakukan pembunuhan itu samada disebabkan dia berasa kecewa dengan cintanya yang telah ditolak oleh Annie. Tidak mustahil juga berlakunya perselisihan faham antara Raymond dan Annie pada hari kejadian. Raymond dijadual akan dibebaskan pada tahun 2053 kelak.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ANNIE LE"