Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM GABRIEL KUHN

Daniel Petry

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2007 bertempat di negara Brazil. Tahun tersebut, Daniel Petry adalah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikatakan dipercayai mempunyai masalah mental di mana dia sering bertingkah laku ganas. Disebabkan itu, ibu bapa Daniel telah mengambil pendekatan awal dengan menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri. Walau bagaimanapun, Daniel enggan untuk meneruskan sesi rawatan terapi tersebut kerana kebenciannya terhadap pakar psikiatri itu yang begitu mendalam.

    Situasi menjadi lebih parah apabila Daniel kerap ponteng sekolah hanya semata-mata untuk menghabiskan masanya untuk bermain permainan video, menonton televisyen dan melayari internet. Dia kemudian telah berkenalan dengan seorang budak lelaki berusia 12 tahun bernama Gabriel Kuhn yang  juga merupakan jirannya. Daniel dan Gabriel yang seterusnya menjadi kawan baik mempunyai satu persamaan yakni obses dengan permainan video dalam talian iaitu Tibia.

    Hinggalah satu hari, Gabriel telah meminjam duit sebanyak 20 000 daripada Daniel. Duit yang dimaksudkan itu adalah duit dalam permainan video Tibia yang dianggarkan bersamaan dengan jumlah $1.75. Gabriel berjanji kepada Daniel bahawa dia akan membayar duit tersebut pada beberapa hari berikutnya. Namun apa yang berlaku selepas itu, Gabriel tidak membayar hutangnya itu seperti apa yang dia sudah janjikan. Perkara tersebut ternyata benar-benar menimbulkan kemarahan Daniel.

    Maka pada 23 Julai 2007, Daniel telah pergi ke rumah Gabriel. Pada mulanya, Gabriel yang bersendirian pada waktu itu enggan untuk membuka pintu rumah kerana dia tahu Daniel telah marah kepadanya. Hanya selepas Daniel memberitahu bahawa tujuan kedatangannya adalah untuk meminta maaf, barulah Gabriel membuka pintu rumah. Saat Daniel melangkah masuk ke dalam, dia terus membelasah Gabriel tanpa henti. Lebih dahsyat, Gabriel telah beberapa kali diliwat oleh Danel. Gabriel yang berada dalam keadaan kesakitan seterusnya telah membuat ugutan untuk mengadu kepada ibunya tentang perbuatan jahat Daniel tersebut. Mendengar perkara itu, Daniel telah mencabut wayar komputer lalu mencekik Gabriel hingga budak tersebut tidak sedarkan diri.

    Entah apa yang bermain dalam fikiran Daniel, dia telah menemui gergaji besi dalam rumah Gabriel. Badan Gabriel dikerat dua oleh Daniel dalam keadaannya hidup. Daniel dikatakan ketawa terbahak-bahak saat dia mendengar Gabriel menjerit kesakitan. Sesudah mengerat, Daniel cuba menyembunyikan mayat Gabriel di dalam sebuah lubang kecil akan tetapi dia gagal untuk berbuat sedemikian. Perkara ini sekaligus memaksa Daniel melarikan diri dari lokasi kejadian. Mayat Gabriel yang dalam keadaan mengerikan itu telah ditemui oleh abangnya pada hari sama kejadian.

    Susulan penemuan mayat Gabriel, pihak polis yang melakukan siasatan akhirnya berjaya mengenal pasti Daniel sebagai suspek utama pembunuhan. Hasil soal siasat, Daniel telah membuat pengakuan tentang pembunuhan kejam tersebut. Dia bahkan tidak menunjukkan sebarang rasa penyesalan dengan apa yang sudah dilakukannya. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Daniel yang didapati bersalah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 3 tahun di pusat juvana. Tahun 2010, Daniel telah dibebaskan. Hingga pada hari ini, tiada sesiapa yang tahu mengenai keberadaan Daniel. Ada sesetengah pihak mempercayai bahawa Daniel berkemungkinan besar telah diberikan identiti baru. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM GABRIEL KUHN"