KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAMANTHA JOSEPHSON
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2019 bertempat
di Columbia, South Carolina, Amerika Syarikat. Tahun itu, Samantha Josephson
adalah seorang wanita berusia 21 tahun yang menamatkan pengajian ijazah sarjana
muda di Universiti South Carolina dalam jurusan Sains Politik. Dia digambarkan
sebagai seorang wanita yang baik, peramah dan begitu disenangi oleh orang-orang
di sekelilingnya. Dalam erti kata lain juga, Samantha bukanlah seorang wanita
bermasalah sama sekali.
Kisah sebenar pada malam 29 Mac 2019 di mana Samantha keluar
berhibur bersama dengan beberapa orang rakannya di sebuah bar. Lebih kurang
pada sekitar jam 2 pagi, Samantha keluar bersendirian dari bar tersebut untuk
pulang ke rumah dengan menaiki kereta Uber yang dia telah tempah. Keesokan harinya,
Samantha bukan saja langsung tidak kelihatan bahkan turut gagal untuk dihubungi
sekaligus menyebabkan teman lelaki dan rakan-rakannya berasa bimbang. Mereka
semua kemudian telah sepakat untuk melaporkan kehilangan Samantha kepada pihak
polis.
Menurut keterangan awal daripada teman lelaki Samantha iaitu Greg Corbishley, dia mendakwa sempat berhubung dengan Samantha pada malam kejadian. Dakwa Greg lagi, dia turut menjejaki lokasi data telefon Samantha bagi memastikan teman wanitanya itu pulang dalam keadaan selamat. Namun belum sempat Samantha sampai di rumah, isyarat telefonnya telah terpadam. Pada waktu ini, Greg beranggapan bahawa Samantha telah tertinggal telefonnya di dalam kereta Uber yang dia naiki tersebut.
Beberapa jam selepas laporan kehilangan Samantha dibuat,
mayatnya yang penuh dengan lumuran darah telah ditemui oleh orang awam di dalam
kawasan hutan. Lagi dahsyat, terdapat ratusan kesan tikaman pada mayat Samantha
yakni di kepala, muka, badan, paha dan kaki. Samantha telah dibunuh dengan cara
yang begitu kejam sekali. Laporan bedah siasat mengesahkan Samantha ditikam
sebanyak 120 kali. Susulan penemuan mayat Samantha yang mengerikan itu, pihak
polis pun mula menjalankan siasatan secara menyeluruh. Berdasarkan pemeriksaan
pada rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan bar tempat kali terakhir
Samantha dilihat masih hidup, dia telah menaiki sebuah kereta berwarna hitam.
Perkara paling mengejutkan, kereta yang Samantha naiki tersebut bukanlah kereta
Uber tempahannya. Perkara ini bermaksud Samantha telah tersilap menaiki kereta.
Malam kejadian itu, pemandu kereta Uber sebenar berada di kawasan parkir
menunggu kedatangan Samantha yang tidak kunjung tiba.
Pihak polis tidak memerlukan masa yang lama untuk mengenal pasti kereta pelaku yang membawa Samantha pada malam kejadian. Suspek berusia 24 tahun yang dikenali sebagai Nathaniel Rowland telah berjaya ditangkap pada 30 Mac 2019. Hasil pemeriksaan pihak polis, mereka telah berjaya menemui kesan darah dan cap jari Samantha pada kereta Nathaniel. Pintu kereta lelaki itu juga didapati dikunci dengan menggunakan kaedah “Child Lock”. Jadi Samantha pada waktu kejadian tidak dapat untuk membuka pintu kereta tersebut dari dalam. Lain-lain penemuan, pisau yang Nathaniel gunakan untuk membunuh Samantha telah dikesan berada di dalam tong sampah rumah teman wanitanya. DNA asing yang ditemui pada kuku Nathaniel disahkan sepadan dengan DNA Samantha.
Tidak dapat dipastikan motif sebenar Nathaniel membunuh Samantha. Cumanya pihak pendakwaan tidak menolak sebarang kemungkinan pembunuhan tersebut adalah serangan secara rawak. Samantha tidak bernasib baik pada malam kejadian itu. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan Julai 2021, Nathaniel yang didapati bersalah atas dakwaan melakukan jenayah penculikan dan pembunuhan telah diperintahkan untuk menjalani dua hukuman penjara seumur hidup.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAMANTHA JOSEPHSON"