PENGAKUAN SEORANG PENYELAMAT LAUT DALAM : Penyelam Aneh yang Tidak Diundang
Hari pertama operasi penyelaman tersebut, kami sekadar membuat
tinjauan lokasi terlebih dahulu dan merancang tentang beberapa perkara
berkaitan yang perlu dilakukan. Pada hari kedua operasi, kami pun memulakan
kerja-kerja penarikan kenderaan yang tenggelam. Kerja ini bukan mudah kerana
bukan saja memerlukan usaha akan tetapi perlu berdepan dengan emosi. Ini bukan
soal tentang juruterbang pesawat tentera atau pelayar tersesat di lautan akan
tetapi tentang sekeluarga yang sedang dalam percutian dan individu dalam
perjalanan menuju ke tempat kerja yang telah menjadi mangsa dalam nahas
runtuhan jambatan tersebut.
Kebanyakan kenderaan yang kami temui di lokasi kejadian itu
adalah kenderaan yang dinaiki oleh oleh seisi keluarga. Berdasarkan keadaan
mayat dalam kenderaan tersebut, ada ibu bapa berada di tempat duduk belakang
yakni sedang berusaha untuk menanggalkan tali pinggang anak mereka. Ada juga
ibu bapa yang cuba menyelamatkan diri dengan meninggalkan anak-anak mereka
begitu saja. Aku sendiri tidak boleh membayangkan paniknya mangsa saat melihat
kereta mereka mula ditenggelami dengan air sambil terkapai-kapai meminta
pertolongan. Cumanya aku seakan tidak boleh memaafkan mana-mana mangsa yang
sanggup membiarkan anggota keluarga mereka mati kelemasan.
Kami bergerak dari satu kenderaan ke satu kenderaan lain.
Hinggalah pada hari keempat, kami telah menemui beberapa buah kenderaan dengan
keadaan pintu terbuka serta pada masa sama tiada mangsa berada dalam kenderaan
tersebut. Kami beranggapan bahawa mayat-mayat yang ada dalam kenderaan itu
sudah pun dibawa naik ke darat oleh penyelam lain. Perkara ini sekaligus telah
memudahkan kerja kami.
Hinggalah satu ketika, aku beralih pada sebuah kenderaan
jenis minivan. Mangsa-mangsa dalam van tersebut tidak bernasib baik. Saat van
itu bersiap-sedia untuk ditarik ke atas, aku tiba-tiba menyedari ada seorang penyelam
lain sedang turut serta melakukan pemeriksaan pada van tersebut. Jadi aku pun
menghampiri penyelam itu lalu mengajukan pertanyaan tentang apa yang dia
lakukan di situ dari arah belakang. Saat penyelam aneh tersebut menjawab bahawa
dia sedang memeriksa mayat dalam van itu, aku sudah mula berasa tidak sedap
hati. Tanpa berlengah, aku memusingkan badannya. Alangkah begitu terkejutnya
aku apabila mendapati kulit mukanya di sebalik topeng skuba tersebut seperti
mayat yang sudah mereput. Sudah pasti penyelam yang berada di depanku itu
adalah penyelam yang sudah lama meninggal dunia!
Aku pun menjerit ketakutan dan menyelam sepantas yang
mungkin untuk kembali ke permukaan air. Aku yang dalam keadaan panik juga
sempat menoleh ke belakang penyelam tersebut membuka pintu minivan itu.
Peralatan skuba penyelam tersebut juga didapati tidak mengeluarkan sebarang
buih udara. Sesudah pintu minivan itu dibuka, penyelam itu memasuki ke dalam
van sebelum keluar semula dengan membawa mayat salah seorang penumpang.
Penyelam tersebut akhirnya menghilang dalam cahaya kegelapan.
Sumber terjemahan daripada : Confessions of a Deep Sea Diver 2 . Kisah terdahulu "Pengakuan Seorang Penyelam Laut Dalam" boleh baca di sini : Pengakuan Seorang Penyelam Laut Dalam.
Catat Ulasan for "PENGAKUAN SEORANG PENYELAMAT LAUT DALAM : Penyelam Aneh yang Tidak Diundang"