Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

TOLAK LAMARAN HUBUNGAN, WANITA DITEMBAK MATI

    AMERIKA SYARIKAT – Seorang wanita telah mati akibat ditembak pada bahagian leher oleh rakan sekerja lelakinya. Insiden tembakan itu berpunca tindakan wanita berkenaan kerana menolak lamaran lelaki tersebut yang ingin menjadikannya sebagai kekasih. Kejadian pembunuhan ini dilaporkan berlaku di kawasan parkir kereta tempat mangsa dan suspek bekerja. Mangsa wanita berusia 28 tahun yang dikenal pasti sebagai Nicole Hammond itu berasal daripada Minnesota. Suspek pula dikenali sebagai Jordan Carpenter, 36 tahun.

    Menerusi laporan daripada akhbar tempatan, Jordan telah melarikan diri dengan bersembunyi di sebuah rumah yang berhampiran lokasi kejadian selepas menembak Nicole. Jordan kemudian bagaimanapun dapat ditangkap oleh pihak polis. Sehari sebelum kejadian, Nicole dikatakan meminta Jordan supaya berhenti daripada mengganggunya. Berbulan-bulan sebelum itu, Jordan  bertindak untuk mengganggu Nicole secara berterusan walaupun dia menyedari tentang cintanya yang sekadar bertepuk sebelah tangan. Kelakuan Jordan tersebut bagaimanapun tidak pernah dilaporkan kepada pihak majikan.

    Jordan yang mempunyai sikap panas baran berasa marah apabila Nicole menolak untuk menjadi teman wanitanya. Setelah penangkapannya, Jordan menafikan tentang dirinya sebagai penembak Nicole. Menurut keterangan daripada Jordan, dia mendakwa telah pergi ke arah kereta Nicole selepas terdengar satu bunyi tembakan. Dakwa Jordan lagi, tindakannya melarikan diri dari lokasi kejadian adalah kerana dia berasa trauma melihat mayat Nicole. Pihak polis meragui keterangan Jordan itu kerana dia sepatutnya berpatah balik ke tempat kerja atau menghubungi pihak talian kecemasan.

    Menurut rakan sekerja Nicole, Nicole merupakan seorang wanita yang cantik dan pintar. Kematian Nicole tersebut telah memberikan kesan yang begitu mendalam terhadap mereka. 

Catat Ulasan for "TOLAK LAMARAN HUBUNGAN, WANITA DITEMBAK MATI"