Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

BAPA DURJANA, CEKIK DAN TIKAM ANAK SAMPAI MATI

    AMERIKA SYARIKAT – Seorang lelaki yang dipercayai mencekik dan menikam anak perempuannya yang baru berusia 11 bulan akhirnya berjaya ditangkap selepas dua minggu menjadi buruan oleh pihak polis.

    Lelaki yang berusia 31 yang dikenal pasti sebagai Christopher Francisquini itu kini berdepan dengan pertuduhan melakukan pembunuhan terhadap Camilla Francisquini. Penangkapan Christopher tersebut dibuat setelah pihak polis menerima laporan daripada orang awam mengenai lelaki itu yang dilihat berada di sebuah stesen bas. Susulan laporan tersebut, sekumpulan pihak polis dilaporkan terus bergegas ke lokasi yang berkenaan untuk menangkap Christopher. Pada waktu itu, Christopher didapati berpakaian serba hitam.

    Media tempatan sebelum ini melaporkan Camilla telah ditemui mati di rumahnya pada 18 November 2022 yang lalu. Berdasarkan laporan forensik, punca kematian Camilla dipercayai akibat dicekik serta ditikam. Hasil keterangan daripada saksi dan bukti rakaman kamera litar tertutup di sekitar lokasi kejadian, Christopher yang melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Chevy Impala 2006 berwarna kelabu diyakini sebagai suspek utama pembunuhan.

    Menerusi kenyataan rasmi daripada pihak polis, Christopher yang mempunyai rekod jenayah lampau telah bertengkar dengan isterinya selepas pembunuhan Camilla berlaku. Dia turut mencabut alat penjejak GPS yang dipasang pada kaki dan memusnahkan telefon pintar miliknya bagi mengelakkan jejaknya dikesan. Tiada sebarang motif pembunuhan yang dinyatakan hingga setakat ini. Perbicaraan kes akan dijalankan pada masa terdekat. 

Catat Ulasan for "BAPA DURJANA, CEKIK DAN TIKAM ANAK SAMPAI MATI"