DISURUH KEMAS BILIK TIDUR, REMAJA LELAKI TIKAM IBU
AMERIKA SYARIKAT –
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang berasal dari Florida dilaporkan
telah ditangkap oleh pihak polis selepas dipercayai menikam ibunya dengan pisau.
Remaja lelaki yang dikenali sebagai Tobias Jacob Brewert tersebut bertindak
sedemikian bagi melepaskan kemarahan terhadap ibunya itu kerana dia disuruh
untuk mengemas bilik tidur. Sebelum insiden tikaman itu berlaku, Tobias juga
sempat memukul kepala ibunya menggunakan kuali. Pukulan Tobias tersebut begitu
kuat hingga menyebabkan pemegang kuali itu patah.
Difahamkan Tobias tidak gemar mengemas bilik tidur selain
sudah berasa bosan mendengar bebelan daripada ibunya. Pada hari kejadian,
Tobias telah meminta seorang rakannya untuk datang ke rumahnya dengan membawa
senjata api. Walau bagaimanapun, rakan Tobias itu hanya membawa pisau. Tobias
telah menyerang ibunya sejurus selepas kedatangan rakannya yang cuma berdiri
menunggu dari luar rumah. Hinggalah satu ketika, rakan Tobias tersebut
terdengar bunyi bising dari rumah Tobias hingga memaksanya untuk melakukan
pemeriksaan. Sebaik saja dia memasuki rumah Tobias, dia mendapati rakannya itu berdiri
bersebelahan dengan ibunya yang sedang berbaring dalam keadaan berlumuran
darah. Tobias seterusnya melarikan diri dari lokasi kejadian walaupun ibunya
merayu dengan berkata, “Toby, tolong hentikan.”
Pihak polis yang dimaklumkan berhubung insiden tersebut terus bergegas ke lokasi kejadian. Ibu Tobias yang kritikal kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Sementara itu, pihak polis tidak memerlukan masa yang lama untuk mengesan serta melakukan penangkapan terhadap Tobias. Remaja tersebut kini berdepan dengan dakwaan melakukan jenayah percubaan pembunuhan peringkat pertama dan jenayah kecurian.
Catat Ulasan for "DISURUH KEMAS BILIK TIDUR, REMAJA LELAKI TIKAM IBU"