Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KENALI PELAKON LANDLADY, WATAK “LEGEND” DALAM FILEM KUNG FU HUSTLE

    Mungkin ramai yang tidak begitu mengenali nama Yuen Qiu. Namun jika pernah menonton filem Kung Fu Hustle yakni salah sebuah karya agung Stephen Chow, terdapat watak seorang wanita yang dikenali sebagai “Landlady”. Dialah Yuen Qiu yang dimaksudkan. Menerusi filem Kung Fu Hustle, Yuen atau Landlady ini memegang watak sebagai seorang wanita yang panas baran, suka membebel dan juga merupakan perokok tegar. Namun perkara paling tidak diduga sama sekali dalam Kung Fu Hustle ini, Landlady dan suaminya iaitu Landlord rupa-rupanya adalah jaguh kungfu.

    Pada tahun 2003, Yuen yang berusia 53 tahun waktu itu telah menemani dua orang rakannya pergi menghadiri uji bakat lakonan untuk filem Kung Fu Hustle. Dalam erti kata lain, dia tidak turut serta dalam uji bakat tersebut. Namun sewaktu sesi uji bakat itu berlangsung, Yuen berdiri di sebuah penjuru sambil menghisap rokok serta pada masa sama merenung semua orang dengan jelingan mata yang tajam. Kelakukan Yuen tersebut telah diperhatikan oleh Stephen Chow secara tidak sengaja. Bermula dari situ, Stephen Chow menyedari wanita yang dia sedang perhatikan itu adalah orang yang paling sesuai untuk menjayakan watak Landlady.

    Stephen Chow kemudian telah pergi ke rumah Yuen untuk memujuk wanita tersebut berlakon dalam filem Kung Fu Hustle. Selepas berpuas hati dengan tawaran Stephen Chow, barulah Yuen bersetuju untuk menjadi Landlady. Cuma seperkara harus diketahui, wanita itu leka bermain mahjung Stephen Chow datang ke rumahnya. Yuen langsung tidak mempedulikan kedatangan Stephen Chow sambil berkata “Kau nak apa? Jangan kacau aku bermain mahjung” sebelum dia beredar ke tempat lain untuk membaca surat khabar. Mujur sajalah Stephen Chow bersabar dengan layanan dingin daripada Yuen itu. Demi memastikan watak Landlady benar-benar menjadi, Yuen sanggup menaikkan berat badan sebanyak 14 kilogram dengan memakan makanan ringan pada setiap malam dua bulan sebelum penggambaran filem Kung Fu Hustle bermula.

    Di sebalik penampilan selekehnya sebagai Landlady, Yuen diketahui mempunyai paras rupa yang sangat cantik pada zaman mudanya. Selain itu, Yuen yang mempunyai bakat dalam bidang seni mempertahankan diri serta tarian akrobatik adalah bekas pelajar di Akademi Drama China. Pada usia 18 tahun, Yuen telah membuat penampilan sebagai pelakon sampingan dalam filem James Bond : The Man with the Golden Gun (1974). Dia seterusnya bersara daripada dunia perfileman pada sekitar 1980-an. Keputusan tersebut dibuat Yuen tidak lama selepas dia berkahwin. Yuen pernah dipujuk aktor legenda seperti Jackie Chan dan Sammo Hung untuk kembali berlakon akan tetapi ditolaknya.

    Hanya selepas 19 tahun persaraannya, barulah Yuen tampil membuat kemunculan semula untuk menjadi Landlady di mana watak itu sudah pasti akan dikenang oleh peminat filem Stephen Chow sampai bila-bila. Malah dek kerana watak Landlady tersebut, Yuen akhirnya kembali rancak berlakon.                                                           

Catat Ulasan for "KENALI PELAKON LANDLADY, WATAK “LEGEND” DALAM FILEM KUNG FU HUSTLE"