KES VIRAL DHIO DAFFA SYADILLA, RACUN IBU, BAPA DAN KAKAK SENDIRI
Kisah pembunuhan ini baru saja berlaku pada 28 November 2022
yang lepas bertempat di Mertoyudan, Magelang, Jawa Tengah, Indonesia di mana
tiga anggota sekeluarga telah ditemui mati dalam rumah mereka sendiri akibat
diracun. Mangsa yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Abas Ahar (58 tahun)
dan Heri Riyani (54 tahun) yakni pasangan suami isteri. Mangsa ketiga adalah anak
sulung kepada Ahar dan Heri iaitu Dhea Chairunisa (25 tahun). Namun apa yang
benar-benar mengejutkan ramai pihak dalam kes ini, pembunuh yang dikenali
sebagai Dhio Daffa Syadilla (22 tahun) merupakan anak kedua Ahar dan Heri.
Media tempatan melaporkan bahawa Ahar, Heri dan Dhea telah
ditemui oleh Dhio tidak sedarkan diri dalam bilik mandi yang berasingan di rumah
mereka. Mereka bertiga kemudian dihantar ke hospital berdekatan sebelum
disahkan sudah pun meninggal dunia. Berdasarkan siasatan awal yang pihak polis
jalankan, mereka mengesyaki punca kematian ketiga-tiga mangsa berkemungkinan
besar adalah akibat diracun berikutan penemuan racun arsenik di lokasi
kejadian. Perkara ini akhirnya disahkan menerusi laporan forensik yang
menunjukkan mangsa telah mengalami kerosakan seperti usus, hati, jantung,
paru-paru dan otak. Harus diketahui, Dhio pada waktu sebelum itu menolak
permintaan daripada pihak berkuasa untuk melakukan bedah siasat terhadap mayat
mangsa sekaligus menimbulkan kecurigaan pada pihak polis.
Hasil soal siasat yang pihak polis lakukan terhadap Dhio berserta penemuan beberapa bahan bukti penting, lelaki tersebut akhirnya membuat pengakuan tentang pembunuhan itu. Dakwa Dhio, dia yang berstatus sebagai seorang penganggur berasa sakit hati serta terbeban kerana telah disuruh untuk bekerja bagi menanggung ibu bapanya yang sudah pun bersara daripada pekerjaan masing-masing. Tambah Dhio lagi, rasa tidak puas hatinya timbul kerana kakaknya yang bekerja sebagai seorang kerani bank tidak disuruh untuk berbuat sedemikian. Walau bagaimanapun, bapa saudara Dhio telah tampil membuat dakwaan mengenai Dhio yang didakwa sebagai seorang anak yang begitu boros berbelanja dan suka berbohong kepada orang tuanya. Dhio juga dikatakan sebagai anak lelaki yang terlampau dimanjakan.
Racun arsenik yang Dhio gunakan untuk melakukan pembunuhan
tersebut telah dibelinya secara dalam talian. Percubaan pertama Dhio untuk
meracun Ahar, Heri dan Dhea tidak membuahkan hasil kerana kadar dos yang
diletakkannya dalam minuman sangat rendah. Pada percubaan kedua, Dhio kali ini telah
membubuh racun itu dengan dos tinggi ke dalam teh dan kopi yang dihidangkan
untuk semua mangsa. Tidak lama selepas meminum minuman tersebut, Ahar serta
isteri dan anak perempuannya mula mengalami gejala mual lalu muntah dan
akhirnya jatuh rebah di dalam bilik mandi. Seperkara menyedihkan, Dhea
dikhabarkan akan melangsungkan majlis perkahwinannya pada masa terdekat.
Buat masa sekarang, kes masih lagi dalam siasatan oleh pihak polis. Terdapat juga kemungkinan bahawa Dhio mengalami penyakit kemurungan. Jika Dhio disabitkan kesalahan, dia bakal berdepan dengan hukuman mati.
Catat Ulasan for "KES VIRAL DHIO DAFFA SYADILLA, RACUN IBU, BAPA DAN KAKAK SENDIRI"