KISAH 5 “PRANK’ YANG BERAKHIR DENGAN KEMATIAN
Apakah yang dimaksudkan dengan prank? Budaya prank atau ini
adalah satu perbuatan gurau senda atau tipu helah terhadap orang lain dengan
tujuan sebagai hiburan samada untuk diri sendiri atau orang lain. Kebanyakan
pempengaruh media sosial pada masa kini menggunakan budaya prank ini sebagai
kandungan demi menaikkan jumlah tontonan video sekaligus dapat menambah
pengikut. Malah ada juga sesetengah pempengaruh sengaja menampakkan kebodohan
diri sendiri demi menjayakan video prank masing-masing. Usahlah ditiru budaya
luar yang langsung tidak membawa manfaat ini. Artikel pada kali ini sekadar
berkongsi lima kisah prank yang pernah berlaku di luar negara hingga pada akhirnya
menyebabkan kematian.
1. ADRIAN BROADWAY
Pada malam 15 Februari 2014, seorang gadis remaja berusia 15
tahun bernama Adrian Broadway telah keluar dari rumah untuk makan malam dan
menonton wayang bersama dengan lima orang rakannya. Selepas berhibur, Adrian
dan rakan-rakannya itu kemudian telah sepakat untuk pergi ke kawasan rumah
seorang lagi rakan sebaya yang pernah melakukan prank kepada mereka pada waktu
sebelumnya. Di situ mereka telah membaling tisu tandas, telur dan mayonis pada
sebuah kereta yang diparkir di depan rumah tersebut. Tidak lama setelah
balingan itu dibuat, muncul seorang lelaki berusia 48 tahun iaitu Willie Noble
yakni bapa kepada mangsa prank waktu berkenaan. Mengejutkan, Wiilie yang
memegang senjata api terus menembak kereta yang sedang dinaiki Adrian dan
rakan-rakannya. Adrian yang terkena tembakan tersebut pada bahagian kepala
terus dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggalkan dunia. Willie yang
didapati bersalah atas dakwaan membunuh Adrian telah dikenakan hukuman penjara
selama 30 tahun.
2. PREMILA LAL
Pada tahun 2013, seorang wanita berusia 18 tahun bernama
Premila Lal bersama dengan seorang lagi sepupunya telah bersembunyi dalam
sebuah almari di rumah bapa saudaranya. Premila merancang untuk membuat kejutan
dengan menyergah seorang lelaki kenalan rapat keluarga mereka iaitu Nerrek
Galley, 21 tahun yang telah disuruh untuk menjaga rumah itu pada waktu
tersebut. Sewaktu Nerrek sedang bermain permainan video di tingkat bawah rumah
itu, dia telah terdengar satu suara bisikan yang disyakinya sebagai suara
penceroboh. Nerrek yang bersenjata api kemudian melakukan pemeriksaan di rumah
tersebut. Saat dia berada di depan almari tempat persembunyian Premila, wanita
itu pun melompar keluar dari almari sambil berteriak. Nerrek yang berasa
terkejut terus melepaskan tembakan di mana dia tidak menyedari bahawa wanita
yang ditembak tersebut adalah Premila. Tanpa berlengah, Nerrek bergegas membawa
Premila ke hospital. Premila bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia.
Tentang Nerrek, dia dibebaskan daripada sebarang pertuduhan.
3. JACINTHA SALDANHA
Pada tahun 2012, seorang jururawat berusia 46 tahun di
Hospital King Edward VII London iaitu Jacintha Saldanha telah menerima
panggilan telefon daripada Ratu Elizabeth yang ingin mendapatkan tentang
perkembangan tentang keadaan Kate Middleton yang sebelum itu dimasukkan ke
hospital kerana alahan mengandung. Jacintha kemudian menyambungkan panggilan
telefon tersebut kepada jururawat khas yang ditugaskan untuk merawat Kate
Middleton. Namun tanpa Jacintha sedari, pemanggil telefon itu bukanlah daripada Ratu
Elizabeth sebenar akan tetapi dua orang juruhebah dari sebuah stesen radio
Australia yang ingin mendapatkan berita kehamilan Kate Middleton. Apa yang
menyedihkan yakni tidak lama setelah rakaman audio perbualan telefon tersebut
tersebar, Jacintha telah membunuh diri di tempat kerjanya kerana dipercayai
akibat berasa malu dan tertekan dengan penipuan yang dilakukan oleh dua orang
juruhebah radio itu.
4. JORDAN MORLAN
Pada tahun 2013, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang
dikenali sebagai Jordan Morlan telah ditemui tergantung di rumahnya dalam
keadaannya tidak sedarkan diri. Adik perempuan Jordan sebagai individu pertama
yang menemui abangnya itu bergegas memaklumkan kepada ibunya mengenai penemuan
tersebut. Jordan terus dikejarkan ke hospital di mana dia telah berada dalam
keadaan koma selama 12 sebelum akhirnya meninggal dunia akibat kegagalan fungsi
organ. Hasil siasatan mendapati Jordan dipercayai cuba untuk menyakat adik
perempuannya dengan berpura-pura mati akibat bunuh diri dan kemudian menyamar
menjadi hantu. Walau bagaimanapun, Jordan secara tidak sengaja benar-benar
telah terbunuhnya diri sendiri.
5. TYSEN BENZ
Pada tahun 2017, seorang budak lelaki berusia 11 tahun bernama Tysen Benz menerima satu mesej di akaun laman media sosial yang mendakwa bahawa teman wanitanya telah mati akibat bunuh diri. Mendengar perkara itu, Tysen bertindak balas dengan memberitahu rakan-rakannya yang lain bahawa dia akan melakukan perkara sama. Tysen benar-benar melakukan perkara tersebut dengan menggantung diri di dalam biliknya. Dia meninggal dunia selepas tiga minggu dirawat di hospital. Menyedihkan kerana tiada seorang pun rakan-rakan Tysen yang memberitahu bahawa berita kematian teman wanitanya itu adalah sekadar gurauan semata-mata. Ibu Tysen percaya bahawa teman wanita anaknya itu telah melakukan penyamaran sebelum menghantar berita palsu mengenai kematiannya.
Catat Ulasan for "KISAH 5 “PRANK’ YANG BERAKHIR DENGAN KEMATIAN"