Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH FRANCISCO ANTONIO LAUREANA : Pembunuh Bersiri Paling Gila di Argentina


    Francisco Antonio Laureana atau lebih dikenali sebagai “The Satyr of San Isidro” merupakan seorang pembunuh bersiri dari Argentina yang telah merogol dan membunuh serama 15 orang wanita dari sekitar tahun 1974 hingga 1975. Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang Francisco. Namun apa yang dapat dipastikan, dia pernah bersekolah di sebuah sekolah Katolik di bandar Corrientes yang terletak di bahagian selatan Argentina. Francisco dipercayai melakukan pembunuhan pertamanya di sekolah agama tersebut di mana dia telah merogol serta membunuh seorang rahib. Selepas rahib itu dibunuh, Francisco bertindak untuk melarikan diri dari Corrientes.

    Pada bulan 1974, Francisco telah berpindah ke San Isidro, Bueno Aires. Di bandar tersebut, Francisco mengahwini seorang wanita dan seterusnya mempunyai tiga orang anak hasil dari perkahwinan itu. Bagi menyara kehidupan keluarganya, Francisco telah menjadi seorang penjual barang perhiasan seperti anting-anting, gelang dan kalung. Kisah sebenar bagaimanapun bermula apabila ada wanita yang dilaporkan hilang di San Isidro pada setiap hari Rabu atau Khamis yakni sekitar jam 6 petang. Wanita yang dikatakan menghilang tersebut kemudian ditemui mati samada dengan kesan tembakan atau cekikan pada leher. Kebanyakan daripada mangsa terdiri itu dilihat kali terakhir berada di stesen bas. Pembunuh tidak lain tidak bukan Francisco yang sedang menggila.

    Apa yang anehnya tentang Francisco, dia kebiasaannya akan mengambil barang perhiasan mangsa untuk disimpannya di almari rumah sebagai tanda cenderamata. Malah Francisco juga mempunyai tabiat untuk kembali ke lokasi kejadian bagi mengimbas aksi pembunuhan yang dilakukannya. Pihak polis telah memulakan operasi pemburuan Francisco tidak lama selepas mereka memperolehi maklumat mengenai ciri-ciri wajah Francisco. Maklumat tersebut diperolehi pihak polis daripada seorang saksi yang mendakwa ternampak Francisco melarikan diri dari sebuah rumah sesudah membunuh salah seorang daripada mangsanya.

    Hinggalah pada malam 27 Februari 1975, Francisco tidak bernasib baik apabila ada seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun telah berjaya mengecam wajahnya sebagai seorang pembunuh bersiri yang sedang menjadi buruan pihak polis. Kanak-kanak perempuan itu yang enggan untuk mendiamkan diri segera memaklumkan kepada ibunya tentang Francisco tersebut. Mendengar perkara itu, ibu kanak-kanak perempuan terbabit terus tidak melengahkan masanya untuk menghubungi pihak polis. Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka pergi menemui Francisco dan meminta lelaki tersebut bagi mengikuti mereka menuju ke balai polis untuk sesi soal siasat. Situasi mula menjadi huru-hara dek kerana Francisco yang tidak mahu memberikan kerjasama kepada pihak polis.

    Tanpa diduga, Francisco telah mengeluarkan senjata api dari beg sebelum melepaskan tembakan ke arah pihak polis itu. Maka berlakunya adegan berbalas tembakan. Salah satu tembakan daripada pihak polis telah terkena pada bahu Francisco sekaligus menyebabkannya berlari untuk menyembunyikan diri dalam kandang ayam buat seketika. Pihak polis dapat mengesan lokasi persembunyian Francisso itu berikutan terdengar bunyi anjing menyalak di kandang ayam tersebut. Francisco akhirnya mati ditembak di situ susulan tindakannya yang enggan untuk menyerah diri.

    Kematian Francisco tersebut telah menjadi insiden tembakan yang paling dikesali oleh pihak polis terlibat. Hal ini kerana motif sebenar pembunuhan berantai Francisco tidak akan pernah dapat untuk disiasat. Sementara itu, isteri Francisco menyifatkan tuduhan suaminya sebagai seorang pembunuh bersiri adalah satu kesilapan besar. Menurut isteri Francisco, suaminya merupakan seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab dan penyayang terhadap anak-anak mereka. 

Catat Ulasan for "KISAH FRANCISCO ANTONIO LAUREANA : Pembunuh Bersiri Paling Gila di Argentina"