KISAH MISTERI PEMBUNUHAN ADRIANA YUBELIA NOVEN
Kisah pembunuhan ini berlaku di Kota Bogor, Indonesia pada
tahun 2019. Tahun tersebut, Adriana
Yubelia Noven atau lebih dikenali sebagai Noven adalah seorang gadis cantik
berusia 18 tahun yang masih bersekolah menengah. Noven dikatakan sebagai
seorang gadis yang baik, rajin, pintar dan mendengar kata orang tuanya. Dalam
erti kata lain, Noven bukanlah seorang gadis yang nakal sama sekali.
Kisah sebenar bermula pada 8 Januari 2019 iaitu sekitar jam 3 petang di mana waktu itu Noven yang masih berpakaian seragam sekolah sedang dalam perjalanan pulang ke tempat tinggalnya dengan berjalan kaki. Sewaktu Noven melalui di sebuah laluan kecil sunyi sepi yang juga merupakan jalan pintas, dia tiba-tiba telah ditikam oleh seorang lelaki tidak dikenali dengan pisau. Lelaki tersebut kemudian terus melarikan diri dari lokasi kejadian dengan membiarkan pisau masih tertusuk pada dada Noven. Lebih kurang sejam berikutnya, seorang penduduk menemui Noven terbaring dalam keadaan berlumuran dengan darah di lokasi kejadian segera memaklumkan kepada pihak polis tentang penemuan tersebut. Noven bagaimanapun disahkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan menuju ke hospital.
Pihak polis yang
melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui sarung pisau yang telah
ditinggalkan oleh suspek. Selain itu, pihak polis juga mendapati terdapat
kamera litar tertutup di lokasi kejadian. Jadi berdasarkan pemeriksaan rakaman
kamera litar tertutup itu, suspek yang berpakaian jersi biru hitam dilihat
berjalan mundar-mandir yang menandakan dia sememangnya menunggu kemunculan Noven.
Hasil laporan forensik, luka tusukan pada dada Noven tersebut adalah sedalam 22
sentimeter serta 3 sentimeter lebar.
Pada mulanya, kes pembunuhan Noven ini dijangka akan dapat diselesaikan dengan mudah kerana pihak polis mempunyai bukti penting seperti pisau senjata pembunuhan dan rakaman kamera litar tertutup. Walau bagaimanapun, perkara sebaliknya yang berlaku. Pertama, tiada sebarang cap yang dikesan pada pisau itu. Kedua, kualiti rakaman kamera litar tersebut yang agak kabur hingga menyukarkan pihak polis untuk mengenal pasti identiti suspek. Pihak polis Indonesia bahkan terpaksa meminta bantuan daripada pihak Federal Bureau of Investigation (FBI) Amerika Syarikat untuk meningkatkan resolusi rakaman video itu. Namun tiada sebarang perkembangan positif berkenaan dengan perkara tersebut.
Sebenarnya pihak polis pernah menangkap dua orang lelaki yang disyaki sebagai suspek kes pembunuhan Noven. Seorang ditangkap pada bulan Januari 2019 manakala penangkapan seorang lagi pula dibuat pada sekitar Januari 2020. Kedua-dua mereka bagaimanapun telah dibebaskan kerana pihak polis tidak mempunyai sebarang bukti kukuh bagi meneruskan sebarang pertuduhan. Hingga pada hari ini, pihak polis Indonesia masih berusaha sedaya upaya mereka untuk mengesan pembunuh sebenar Noven. Motif sebenar Noven dibunuh masih kekal menjadi tanda tanya. Adakah dia dan suspek saling mengenali antara satu sama lain? Ramai pihak tidak menolak kemungkinan bahawa suspek membunuh Noven adalah kerana bermotifkan dendam.
Catat Ulasan for "KISAH MISTERI PEMBUNUHAN ADRIANA YUBELIA NOVEN"