KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MANJIT PANGHALI
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2006 bertempat
di British Columbia, Kanada. Tahun tersebut, Manjit Panghali adalah seorang
wanita berusia 31 tahun yang bekerja sebagai seorang guru sekolah. Dia
digambarkan sebagai seorang wanita berperwatakan baik, peramah dan sentiasa
bekerja keras. Manjit juga telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Mukhtiar
Pangali. Hasil perkahwinan itu, Manjit dan Mukhtiar mempunyai seorang anak perempuan
yang mereka namakan sebagai Maya.
Kisah sebenar bermula pada tarikh 18 Oktober 2006 apabila
Manjit yang sedang hamil empat bulan anak keduanya dilaporkan tiba-tiba hilang
sewaktu dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menjalani
latihan senaman yoga. Laporan kehilangan tersebut dibuat oleh Mukhtiar sesudah
26 jam isterinya itu menghilang. Pihak polis kemudian telah melakukan operasi
pencarian Manjit secara besar-besaran. Pada masa sama, Mukhtiar berkali-kali merayu
di depan media supaya isterinya kembali dalam keadaan selamat. Kata Mukhiar
dengan penuh linangan air mata, anak mereka iaitu Maya sentiasa menunggu
kepulangan ibunya.
Lima hari setelah kehilangan, keluarga Manjit telah dikejutkan dengan berita penemuan mayat Manjit yang ditemui dalam keadaan rentung di kawasan tambak di Delta. Berdasarkan laporan forensik, Manjit dipercayai dicekik sampai mati terlebih dahulu sebelum mayatnya dibakar. Pembakaran mayat Manjit tersebut diyakini bertujuan untuk menghapuskan bukti terutamanya kesan DNA. Seperkara lagi dapat dipastikan, Manjit berkemungkinan besar telah mati dibunuh di tempat lain terlebih dahulu dan kemudian dibuang ke kawasan tambak berkenaan.
Selepas pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci,
suspek utama pembunuhan Manjit akhirnya berjaya ditangkap pada bulan Mac 2007. Namun
apa yang benar-benar mengejutkan ramai pihak, suspek itu adalah Mukhtiar
sendiri. Penangkapan Mukhtiar tersebut dibuat susulan terdapat rakaman kamera
litar tertutup yang menunjukkan lelaki itu telah keluar membeli mancis dan
surat khabar pada malam kejadian. Aktiviti Mukthiar tersebut ternyata
bercanggah dengan keterangannya kepada pihak polis yang memberitahu bahawa dia
berada di rumah secara bersendirian pada tempoh awal kehilangan Manjit. Selain
itu, Mukhtiar juga didapati ada menggunakan telefon bimbit Manjit sewaktu malam
kejadian. Perkara ini sekaligus mengesahkan bahawa Manjit sebenarnya selamat sampai
ke rumah sebelum dia dilaporkan hilang oleh Mukhtiar. Malah Mukhtiar juga
sempat untuk keluar minum dengan rakan-rakannya pada malam tersebut.
Hasil pemeriksaan di rumah Mukhtiar, pihak polis juga telah menemui diari catatan Manjit yang seterusnya telah dijadikan sebagai salah satu bukti penting di mahkaman. Antara tulisan Manjit yang ditulisnya di dalam diari itu,
“Aku menulis pada hari
ini kerana menyangka aku tidak akan pernah membiarkan diriku menjadi seperti
ini. Aku telah mengalami kemurungan dan bergantung kepada ubat-ubatan. Aku berasa
sangat takut. Suamiku langsung tidak memberikan sokongan yang aku perlukan.”
“Aku berasa hancur
sama sekali. Aku ingin melayani perasaanku dengan meminum minuman keras,
menghisap dadah. Aku perlu melakukan sesuatu yang membolehkanku untuk bangkit
semula.”
“Kami perlu melakukan
sesuatu tentang perkahwinan kami. Kami perlu merancang sesuatu supaya rumah
tangga kami tidak hancur berkecai. Kami mesti bekerja keras demi hubungan kami.
Aku harus kekal berkomunikasi dengannya. Aku perlu membuatkannya untuk jatuh
cinta kepadaku lagi.”
“Aku berasa sudah
tidak lagi berdaya. Begitu sukar untuk hidup dalam dua budaya. Dia membuatkanku
berasa lemah, putus asa dan ketakutan. Aku tidak mempunyai keraguan tentang
kehidupan kita, peranan aku dalam kehidupan sekarang akan tetapi aku
benar-benar takut dengan masa depan kita.”
Maya (dua dari kanan) bersama dengan keluarga Jasmine Bhambra |
Penulisan diari Manjit tersebut jelas memberitahu dirinya mengalami kemurungan sesudah kelahiran anak pertama mereka dan Mukhtiar diketahui mempunyai masalah ketagihan alkohol. Mengenai keputusan perbicaraan kes, Mukhtiar yang didapati bersalah atas pertuduhan melakukan pembunuhan peringkat kedua telah diperintahkan oleh pihak juri untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup dengan layak untuk dibebaskan secara bersyarat selepas 15 tahun dipenjarakan. Mukhtiar turut dilarang untuk berhubung dengan keluarga Manjit termasuk anaknya, Maya yang diserahkan hak penjagaannya kepada Jasmine Bhambra yakni adik perempuan Manjit.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MANJIT PANGHALI"