Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM REGINA GAGIEVA

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada bulan Februari 2021 bertempat di negara Rusia. Pada hari kejadian, seorang lelaki berusia 32 tahun bernama Vadim Tekhov yang juga merupakan seorang anggota polis telah pergi ke sebuah kedai komputer yakni tempat kerja bekas isterinya iaitu Regina Gagieva, 22 tahun. Setibanya di kedai komputer yang terletak di bandar Vladikavkaz tersebut, Vadim terus menuduh Regina saling berbalas teks mesej dengan lelaki lain.

    Disebabkan rasa tidak berpuas hati, Vadim kemudian telah meminta Regina untuk menyahkunci kata laluan Iphone miliknya. Regina bagaimanapun enggan untuk berbuat sedemikian kerana Vadim dirasakan sudah pun tidak mempunyai sebarang hak untuk melakukan apa-apa perkara kepada dirinya. Keengganan Regina tersebut sekaligus mengundang kemarahan Vadim hingga menyebabkannya bertindak di luar kawalan. Apa yang Vadim lakukan, dia telah bertindak untuk menikam Regina secara bertubi-tubi dengan menggunakan pisau dapur. Selepas melakukan aksi tikaman itu, Vadim terus melarikan diri dengan meninggalkan Regina terbaring dalam keadaannya berlumuran darah. Waktu berkenaan juga, Vadim sebenarnya diletakkan di bawah pemantauan pihak berkuasa dengan dia dikehendaki berada di rumahnya selama 24 jam serta pada masa dipakaikan gelang elektronik.

    Regina yang seterusnya dikejarkan ke hospital didapati telah mengalami 15 kesan luka pada bahagian leher dan badannya. Menyedihkan, Regina meninggal dunia pada beberapa hari berikutnya di mana dia sebelum itu berada dalam keadaan koma. Menerusi keterangan daripada doktor perubatan yang merawat Regina, kematian wanita tersebut adalah susulan kegagalan otaknya untuk berfungsi. Malah sejak dari awal lagi, peratus untuk Regina diselamatkan adalah sangat rendah. Perkara ini bermaksud Regina tidak mempunyai peluang untuk hidup akibat insiden tikaman itu.

    Berbalik kepada cerita Vadim, pihak polis tidak memerlukan masa yang lama untuk melakukan penangkapan terhadapnya. Berita kematian Regina tersebut ternyata telah mencetuskan kemarahan ramai pihak. Pihak berkuasa didesak untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada Vadim. Regina dilaporkan telah mengahwini Vadim seawal usianya 18. Perkahwinan itu bagaimanapun bukanlah atas kerelaan Regina akan tetapi sebaliknya kerana diculik Vadim mengikut adat tradisi di tempat mereka. Regina dan Vadim mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan tersebut. Dua tahun selepas bergelar sebagai suami isteri, Regina memfailkan penceraian kerana kerap menjadi mangsa kekerasan dalam rumah tangga. Setelah berpisah, Vadim tetap mengganggu Regina secara berterusan. Ugut Vadim,

    "Kalau kau tak nak bersama dengan aku, kau tak akan sesekali bersama dengan orang lain. Kembali kepada aku atau aku akan membunuhmu.”

    Regina yang enggan untuk berdiam diri telah beberapa kali membuat laporan tentang gangguan yang dilakukan oleh Vadim. Walau bagaimanapun, tiada sebarang tindakan susulan yang dibuat oleh pihak berwajib tentang laporan Regina tersebut. Kakak Regina ada memberitahu bahawa adik perempuannya itu ada merancang untuk berpindah ke bandar lain kerana tidak lagi mahu Vadim mengganggunya. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Vadim yang didapati bersalah atas pertuduhan melakukan pembunuhan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun. Cuma laporan media pada bulan November baru-baru ini melaporkan Vadim sudah dibebaskan. Pembebasan Vadim tersebut dibuat sebagai kerahan anggota tentera sempena misi ketenteraan di negara Ukraine. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM REGINA GAGIEVA "