Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH QIAO BILUO, WANITA TANPA FILTER

Qiao Biluo

    Kisah yang melucukan ini berlaku di negara China pada tahun 2019 di mana rahsia seorang pempengaruh wanita yang selama ini menggunakan aplikasi Filter wajah telah terbongkar. Lebih memalukan wanita itu, wajah sebenarnya terdedah sewaktu dia melakukan penstriman langsung yang ditonton oleh ribuan pengikutnya. Malah wanita tersebut juga bukanlah muda seperti yang dia pernah gembar-gemburkan pada waktu sebelumnya.

    Wanita yang dimaksudkan dalam artikel ini bernama Qiao Biluo. Dia yang menggelarkan dirinya sebagai “Maharani Qiao Biluo” mempunyai sekitar lebih daripada 100 000 orang pengikut di laman penstriman Douyu. Qiao Biluo terkenal dengan kecantikan wajahnya selain memiliki suara yang lunak untuk didengari. Kelebihan yang ada pada diri Qiao Biluo itulah yang menjadi tarikan utama kepada pengikutnya pada setiap kali dia bersiaran. Malah Qiao Biluo juga sering menerima hadiah berupa wang yang diberikan oleh pengikut menerusi video strim tersebut. Bayangkan Qiao Biluo pernah mendapat hadiah wang terkumpul sebanyak 100 000 yuan (sekitar RM 60 000) hasil pemberian pengikut setianya.

    Kisah sebenar bermula pada 25 Julai 2019. Waktu itu, Qiao Biluo telah melakukan penstriman langsung di Douyu bersama dengans seorang lagi pempengaruh yang dikenali sebagai Qingzi. Sewaktu penstriman tersebut berlangsung, tiba-tiba ada antara pengikut Qiao Biluo membangkitkan isu Filter dan mencabar pempengaruh berkenaan menunjukkan wajahnya yang sebenar jika dia mempunyai keberanian untuk berbuat sedemikian. Qiao Biluo yang kekal bertenang bagaimanapun bersetuju melakukan perkara itu seandainya dia mendapat hadiah wang berjumlah 100 000 yuan untuk sesi penstriman langsung waktu tersebut. Jelas Qiao Biluo, tiada apa yang perlu dia risaukan kerana dirinya memang seorang yang cantik. Pada masa singkat, Qiao Biluo menerima notifikasi yang memberitahu wang bernilai 40 000 yuan (sekitar RM 25 000) ke dalam akaunnya. Namun tidak lama kemudian yakni tanpa Qiao Biluo sedari, aplikasi Filter yang dia gunakan tiba-tiba berhenti berfungsi akibat masalah teknikal. Wajahnya yang sebenar telah terdedah.

    Qiao Biluo hanya menyedari tentang perkara itu setelah diberitahu oleh pengikut yang menonton video strim tersebut. Selepas melihat wajah sebenar Qiao Biluo tanpa aplikasi Filter, ramai pengikutnya sebelum bertindak untuk menyahikut wanita tersebut. Lagi dahsyat, ada antara pengikut Qiao Biluo menagih semula wang hadiah pemberian mereka kerana benar-benar berasa kecewa serta terkilan dengan penipuan yang Qiao Biluo telah lakukan. Ada sesetengah pihak melabel pengikut Qiao Biluo sebagai bodoh kerana memberikan wang kepada seorang wanita yang mereka sendiri tidak pernah temui di dunia nyata. Sejak insiden itu, Qiao Biluo terus menyepi daripada akaun laman media sosial. Tidak kurang ada juga yang bersimpati dengan nasib Qiao Biluo kerana bagi mereka tidak wajar untuk menilai seseorang itu melalui penampilan mereka. 

Catat Ulasan for "KISAH QIAO BILUO, WANITA TANPA FILTER "