KISAH XIAO JINGJING : Ibu..Ayah, Terima Kasih!
Kisah ini bermula pada musim sejuk tahun 1987 bertempat di
Xiaogan, Hubei, China. Waktu tersebut, ada sepasang suami isteri yang bernama Xiao
Chongyang dan Qi Chunlan. Xiao Chongyang merupakan bekas seorang anggota
tentera yang cuma bekerja kampung manakali Qi Chunlan pula suri rumah sepenuh
masa.
Satu hari iaitu sewaktu Xiao Chongyang dan isterinya sedang
dalam perjalanan kaki menuju ke hospital, mereka berdua tiba-tiba telah
terdengar suara tangisan bayi. Pasangan itu kemudian melakukan pemeriksaan
sebelum menemui seorang bayi perempuan di sebalik semak tepi jalan dengan
mukanya sedang kebiruan. Tanpa berlengah, Xiao Chongyang dan isterinya terus
membawa bayi perempuan tersebut ke hospital. Diringkaskan cerita, Xiao
Chongyang dan isterinya mendapat tahu bahawa bayi perempuan yang mereka
selamatkan itu adalah bayi yang telah sengaja dibuang oleh ibu-bapanya. Apa
yang terlintas dalam fikiran Xiao Chongyang dan isterinya selepas dimaklumkan
tentang perkara tersebut, pasangan terbabit membuat keputusan untuk menjadikan
bayi perempuan itu sebagai anak angkat mereka. Keputusan tersebut dibuat
memandangkan Xiao Chongyang dan Qi Chunlan masih belum mempunyai anak sendiri
walaupun usia perkahwinan mereka sudah pun mencecah bertahun lamanya.
Selepas mengikut prosedur tertentu, Xiao Chongyang dan Qi
Chunlang akhirnya dibenarkan untuk membawa pulang bayi perempuan itu yang
mereka namakan sebagai Xiao Jingjing. Walaupun Xiao Chongyang dan Qi Chunlang
hidup dalam serba kekurangan, mereka tetap menjaga Xiao Jingjing bagai menatang
minyak yang penuh. Demi menyara kehidupan mereka tiga anak-beranak, Xiao
Chongyang telah melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuklah dari mengangkat
tong gas dari rumah ke rumah hingga menjual surat khabar.
Tentang Xiao Jingjing, dia membesar dengan menjadi seorang budak yang baik, rajin, mendengar kata selain begitu cemerlang dalam bidang akademik. Melihat pengorbanan Xiao Chongyang dan Qi Chunlang yang tidak terhingga, Xiao Jingjing tekad belajar bersungguh-sungguh demi mendapatkan pekerjaan bagus supaya dia dapat membalas jasa ibu-bapanya kelak. Pada tahun 2001, Qi Chunlang telah meninggal dunia akibat penyakit kanser yang dia alami. Sebelum kematiannya, Qi Chunlang dan suaminya sempat memberitahu kepada Xiao Jingjing mengenai status sebenarnya sebagai anak angkat. Mendengar perkara itu, Xiao Jingjing langsung tidak berasa sedih sebaliknya menjelaskan bahawa dia akan menjadi anak perempuan mereka buat selama-lamanya.
Setelah pemergian isterinya, Xiao Chong yang semakin bekerja keras bagi memastikan Xiao Jingjing menjadi manusia yang berjaya. Xiao Chongyang sangggup berhabis asalkan impian anak perempuannya itu dapat belajar hingga ke menara gading. Pengorbanan Xiao Chongyang tersebut ternyata tidak sia-sia apabila Xiao Jingjing berjaya mendapatkan segulung ijazah dan seterusnya mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian doktor falsafah di negara Kanada pada usia 24 tahun. Cuma pada satu hari yakni sebelum Xiao Jingjing berangkat ke Kanada, dia telah dikejutkan dengan kemunculan sepasang suami isteri di rumah bapa angkatnya itu. Tanpa Xiao Jingjing duga, pasangan suami isteri tersebut rupa-rupanya adalah ibu bapa kandungnya. Tujuan kedatangan pasangan itu adalah untuk memujuk Xiao Jingjing supaya kembali ke pangkuan mereka. Mereka juga menawarkan wang berjumlah 500 000 yuan (sekitar RM300 000) kepada Xiao Chongyang kerana telah membesarkan anak mereka. Xiao Jingjing juga diberitahu bahawa dia dibuang sewaktu masih bayi kerana ibu bapanya tidak mampu lagi untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga selain didorong rasa keinginan untuk memiliki anak lelaki memandangkan tiga orang anak mereka sebelum itu adalah perempuan. Ibu bapa kandung Xiao Jingjing mencari semula Xiao Jingjing usai mengetahui tentang kejayaan anak perempuan mereka tersebut yang akan belajar di luar negara. Xiao Jingjing bagaimanapun enggan untuk menerima kehadiran ibu bapa kandungnya itu. Kata Xiao Jingjing kepada ibu bapa kandungnya, ibu bapanya yang sebenar adalah Xiao Chongyang dan Qi Chunlang. Wang tidak boleh membeli kasih sayang dan menjamin kebahagiaan.
Pengakhiran cerita, Xiao Jingjing menamatkan pengajian doktor falsafah dengan jayanya. Dia kembali ke China dengan menetap di Shanghai kerana telah memperolehi pekerjaan dengan gaji lumayan di bandar tersebut. Xiao Jingjing telah membawa Xiao Chongyang untuk tinggal bersamanya bagi membalas jasa bapa angkatnya itu. Difahamkan kisah Xiao Jingjing ini mula menjadi tular susulan kenyataan salah seorang daripada adik-beradik perempuan kandungnya dalam satu program pencarian bakat televisyen yang meluahkan keinginannya untuk melihat Xiao Jingjing bersatu semula dengan mereka sekeluarga. Hingga pada hari ini, Xiao Jingjing kekal dengan pendiriannya untuk tetap tinggal bersama dengan Xiao Chongyang.
Catat Ulasan for "KISAH XIAO JINGJING : Ibu..Ayah, Terima Kasih!"