Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KRONOLOGI KES KEMATIAN SHANQUELLA ROBINSON

    Baru-baru ini, nama seorang wanita berusia 25 tahun yang bernama Shanquella Robinson telah menjadi tular di laman media sosial seperti Facebook, Tik Tok dan juga Twitter hingga mendapat perhatian secara meluas oleh pihak media antarabanga. Terdahulu Shanquella yang juga merupakan seorang usahawan dilaporkan meninggal dunia pada 29 Oktober 2022 lalu yakni sewaktu dia sedang dalam percutian bersama dengan beberapa orang rakan-rakannya di Mexico. Kematian Shanquella dikatakan berpunca daripada kesan alkohol berlebihan akan tetapi laporan forensik menunjukkan sebaliknya. Berikut adalah kronologi kisah kematian Shanquella ini.

    Pada 28 Oktober 2022, Shanquella telah pergi ke Cabo, Mexico bersama dengan beberapa orang rakan-rakannya yang dikenali sebagai Khalik Cook, Malik Dyer, Wenter Donoyan, Alysse Hyatt, Daejhanae Jackson dan Nazeer Wiggins untuk bercuti. Namun apa yang berlaku kemudian yakni pada keesokan harinya, Shanquella tiba-tiba meninggal dunia di dalam apartment mewah tempat penginapan mereka atas sebab tidak diketahui.

    Sementara itu, ibu Shanquella iaitu Salamondra Robinson diberitahu oleh rakan-rakan Shanquella yang turut serta dalam percutian tersebut tentang Shanquella yang telah mati disebabkan meminum alkohol secara berlebihan. Laporan forensik oleh pakar bedah siasatan di Mexico bagaimanapun mendedahkan Shanquella mati akibat patah tulang leher dan mengalami kecederaan parah saraf tunjang. Sijil kematian Shanquella juga tidak menunjukkan sebarang butiran bertulis yang menyatakan tentang alkohol berlebihan. Bapa Shanquella juga telah mempertikaikan keputusan pihak berkuasa Mexico yang membenarkan semua rakan Shanquella untuk meninggalkan Mexico sejurus selepas anak perempuannya itu pergi buat selama-lamanya. Perkara ini bermaksud mereka membiarkan saja mayat Shanquella.

    Tidak jelas dengan apa yang sebenarnya berlaku kepada Shanquella pada hari kejadian. Namun apa yang dipastikan, seorang doktor perubatan telah pergi ke apartment mewah itu pada waktu petang setelah dia menerima satu panggilan kecemasan. Setibanya di lokasi kejadian, doktor tersebut mendapati Shanquella sedang berada dalam keadaan lemah serta pada masa sama tidak dapat untuk bercakap. Doktor itu cuma diberitahu tentang keadaan Shanquella tersebut kerana meminum terlampau banyak minuman alkohol. Pada mulanya, doktor itu mencadangkan supaya Shanquella dibawa ke hospital berdekatan. Walau bagaimanapun, rakan-rakan Shanquella tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Lebih kurang 15 minit kemudian, Shanquella tiba-tiba didapati sudah tidak lagi bernafas. Doktor dan salah seorang daripada Shanquella cuba membantu Shanquella dengan menggunakan teknik bantuan pernafasan CPR namun sudah terlambat. Shanquella disahkan mati pada pukul 5.57 petang.

    Pada 15 November 2022, satu rakaman video Shanquella pada waktu sebelum kematiannya telah tersebar luas di laman media sosial sekaligus mencetuskan kontroversi. Menerusi rakaman video itu, Shanquella yang dalam keadaan tidak berpakaian teruk dibelasah oleh seorang wanita dipercayai sebagai rakannya. Kedengaran juga suara seorang lelaki yang sedang berdiri dalam video tersebut berkata, “Quella, bolehkan kau sekurang-kurangnya cuba untuk melawan.” Dalam perkembangan semasa, pihak polis telah pun mengeluarkan waran penangkapan terhadap seorang rakan Shanquella yang diyakini bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian Shanquella. Cumanya identiti rakan Shanquella itu tidak didedahkan oleh pihak polis. Hingga setakat ini, masih tiada sebarang penangkapan atau pertuduhan rasmi terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat. 

Catat Ulasan for "KRONOLOGI KES KEMATIAN SHANQUELLA ROBINSON"