LELAKI DIHUKUM GANTUNG SAMPAI MATI SELEPAS BUNUH WANITA YANG DIA GILAI
KUWAIT – Pada bulan April 2021 tahun lepas, seorang wanita
berusia 32 tahun bernama Farah Hamza telah mati akibat dibunuh oleh seorang
lelaki yang dikenal pasti sebagai Fahad Subhi. Difahamkan lelaki itu merupakan
seorang anggota tentera. Lelaki tersebut sebelum ini dilaporkan telah menculik
Farah di mana wanita itu kemudian dibunuh di depan anak perempuan serta anak
saudaranya.
Berdasarkan dokumen dari mahkamah, Fahad dipercayai
melakukan pembunuhan itu kerana tidak menerima hakikat bahawa Farah tidak sudi
untuk mengahwininya. Meskipun lamaran perkahwinan tersebut ditolak, Fahad
langsung tidak pernah berhenti berharap dan situasi menjadi semakin parah
apabila dia dilanda keobsesan terhadap Farah. Malah Fahad telah memasang alat
penjejak elektronik pada kereta milik Farah bagi membolehkannya menjejaki
wanita pujaannya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan itu.
Hinggalah satu hari, Fahad dapat menjejaki kereta Farah. Dia
seterusnya merancang untuk memaksa Farah berkahwin dengannya. Penolakan
daripada Farah tersebut ternyata telah membuatkan Fahad benar-benar berasa
marah. Fahad yang gagal untuk mengawal emosi terus menikam Farah yang
disaksikan sendiri oleh anak perempuan dan anak saudara wanita itu. Sesudah
membunuh Farah, Fahad terus melarikan diri dari lokasi kejadian. Insiden
pembunuhan tersebut berlaku pada bulan Ramadan. Pihak polis bagaimanapun tidak
perlu mengambil masa yang lama untuk melakukan penangkapan ke atas Fahad.
Kematian Farah ini telah mencetuskan kemarahan ramai pihak yang mendesak supaya Fahad diberikan hukuman setimpal. Farah juga didakwa pernah beberapa kali melaporkan tentang gangguan Fahad kepada pihak berwajib. Cumanya tidak jelas mengapa pihak yang terbabit tidak mengambil langkah serta tindakan sewajarnya. Setelah kematian Farah, Fahad pada mulanya hanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak. Hukuman Fahad tersebut kini telah ditukar kepada hukuman gantung sampai mati.
Catat Ulasan for "LELAKI DIHUKUM GANTUNG SAMPAI MATI SELEPAS BUNUH WANITA YANG DIA GILAI"