MISTERI PEMBUNUHAN EMPAT ORANG PELAJAR UNIVERSITI IDAHO
Pada 13 November 2022 yang lalu bertempat di Moscow, Idaho,
Amerika Syarikat bersamaan dengan jam sekitar 11.58 pagi, pihak polis telah
menerima satu panggilan telefon yang memaklumkan tentang empat orang individu
ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah. Susulan laporan itu, pihak
polis bergegas ke lokasi kejadian iaitu sebuah rumah yang dihuni oleh beberapa
orang individu. Hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak polis, seramai empat
orang mangsa yakni terdiri daripada tiga orang wanita dan seorang lelaki di
tingkat dua dan tiga rumah tersebut di mana mereka semua disahkan sudah pun
meninggal dunia akibat ditikam. Identiti keempat-empat orang mangsa yang juga
merupakan pelajar Universiti Idaho itu dikenal pasti sebagai Ethan Chapin (20
tahun), Kaylee Goncalves (21 tahun), Xana Kernodle (20 tahun) dan Madison Mogen
(21 tahun).
Siasatan awal pihak polis mendapati Kaylee, Xana dan Madison
adalah rakan sebilik di rumah tersebut. Sementara itu, Ethan pula berstatus
sebagai teman lelaki kepada Xana. Pada malam kejadian, Ethan dan Xana telah
pergi menghadiri sebuah majlis parti yang diadakan di sebuah rumah berlokasi di
dalam kampus Universiti Idaho. Selepas berparti, Ethan dan Xana telah pulang ke
rumah berkenaan pada pukul 1.45 pagi. Lebih kurang 10 minit setelah kepulangan
Ethan dan Xana, giliran Kaylee dan Madison pulang ke rumah. Dua sekawan
tersebut sebelum itu telah keluar dari rumah untuk pergi ke sebuah bar. Sewaktu
dalam perjalanan pulang ke rumah, Kaylee dan Madison sempat singgah di sebuah
trak gerai jualan untuk membeli makanan.
Berdasarkan laporan forensik, semua mangsa dipercayai telah ditikam secara bertubi-tubi sewaktu mereka semua sedang tidur. Terdapat kesan kecederaan menunjukkan ada antara mereka yang cuba mempertahankan diri sewaktu ditikam. Tiada sebarang tanda serangan berunsur seksual mahupun tanda pintu pecah masuk di lokasi kejadian dikesan. Malah mangsa juga tidak diikat sewaktu mereka dibunuh. Hingga setakat ini, pihak polis tidak menjumpai mana-mana senjata pembunuhan akan tetapi mereka tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa pelakukan menggunakan pisau untuk membunuh mangsa. Masih tiada sebarang kenyataan daripada pihak polis berhubung dengan identiti suspek dan motif sebenar pembunuhan. Kaylee dilaporkan ada cuba menghubungi bekas teman lelakinya sebanyak tujuh kali dari jam 2:26 hingga 2:52 pagi. Panggilan tersebut bagaimanapun tidak berjawab. Pada masa sama, Madison telah membuat tiga panggilan telefon kepada teman lelakinya. Namun sama seperti nasib Kayleee, panggilan yang dibuat Madison itu tidak berangkat. Bekas teman lelaki Kaylee telah disiasat namun dia tidak disenaraikan sebagai suspek.
Seperkara harus diketahui, ada dua orang lagi pelajar wanita
sebenarnya berada di rumah pada waktu kejadian. Menerusi laporan media, dua
orang wanita yang dirahsiakan identiti itu tidur di bilik tidur tingkat bawah
sewaktu pembunuhan berlaku. Kedua-dua mereka yang disahkan bukan suspek
tersebut telah pulang ke rumah pada pukul 1 pagi dan hanya terjaga pada
keesokan paginya.
Beli mana-mana barang di Shopee melalui pautan ini : https://shope.ee/5ztMyDhqLY |
Kes masih lagi dalam siasatan sepenuhnya oleh pihak polis. Pada 7 Disember 2022, pihak polis telah mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan mereka sedang mencari mana-mana pemilik kereta jenis Hyundai Elantra 2011-2013 yang ada di sekitar lokasi kejadian. Pihak polis yang terlibat juga menerima kritikan hebat daripada orang ramai terutamanya keluarga mangsa kerana progres siasatan dilihat terlalu perlahan.
Catat Ulasan for "MISTERI PEMBUNUHAN EMPAT ORANG PELAJAR UNIVERSITI IDAHO"