Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

WANITA DIBUNUH BAPA KERANA KAHWIN TANPA RESTU


    INDIA - Negara India dikejutkan lagi dengan satu berita kematian seorang wanita yang disyaki menjadi mangsa pembunuhan demi kehormatan. Mayat wanita berusia 22 tahun yang dikenali sebagai Aayushi Chaudhary itu telah ditemui oleh pasukan polis Delhi di tepi sebuah kawasan jalan raya pada 18 November 2022 lalu. Penemuan mayat Aayushi adalah hasil maklumat yang pihak polis terima daripada individu yang tidak didedahkan identitinya. 

    Berdasarkan keterangan rasmi daripada pihak polis, suspek iaitu Nitesh Kumar Yadav yakni bapa kepada Aayushi telah membunuh anak perempuannya itu di rumah mereka yang terletak di Delhi Badarpur. Nitesh dilaporkan melepaskan dua das tembakan pada bahagian dada Aayushi dengan pistol. Selepas Aayushi mati ditembak, mayatnya dimasukkan ke beg pakaian berwarna merah di mana beg tersebut kemudian dibalut dengan plastik sebelum dibuang di tepi jalan. Kerja-kerja pembuangan mayat Aayushi dilakukan Nitesh dengan bantuan isterinya.


    Difahamkan Aayushi telah berkahwin dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Chhatrapal tanpa restu daripada keluarganya. Ibu bapa Aayushi menentang perkahwinan itu disebabkan perbezaan kasta keluarga mereka dengan Chhatrapal. Nitesh seterusnya menjadi marah kerana tindakan Aayushi untuk mengahwini Chhatrapal tersebut dianggap sebagai menjatuhkan maruah keluarga mereka. 
Berdasarkan kesan kecederaan pada tubuh badan Aayushi, dia dipercayai dipukul terlebih dahulu sebelum dibunuh. Pengecaman mayat Aayushi dilakukan oleh ibunya yang sebelum itu diminta oleh pihak polis untuk datang ke hospital. Pada masa sama pihak polis mendapati tiada sebarang laporan kehilangan Aayushi dibuat oleh keluarganya. Pihak polis telah pun melakukan penangkapan terhadap ibu bapa Aayushi untuk tindakan selanjutnya.

Catat Ulasan for "WANITA DIBUNUH BAPA KERANA KAHWIN TANPA RESTU"