Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

ISTERIKU SUKA MENGINTAI

Gambar sekadar hiasan

    Aku dan isteriku iaitu Lynn baru saja 11 bulan mendirikan rumah tangga selepas enam tahun menjalinkan hubungan. Sepanjang tempoh kami bersama, semuanya seperi biasa dan tiada apa perkara yang aneh tentang Lynn. Cuma memang betul-betul di luar dugaan aku apabila perangainya tiba-tiba berubah.

    Aku boleh katakan Lynn adalah seorang wanita yang baik dan pintar. Dia bukan seorang yang suka melakukan perkara mengarut apatah lagi untuk berperangai seperti budak-budak atau menakut-nakutkan orang. Dia juga bukan seorang penggemar filem seram. Aku ingat lagi saat kali pertama Aku dan Lynn keluar bersama di mana dia bersetuju untuk menonfon filem The Shining denganku. Dia setuju kerana dia tahu aku suka menonton filem seram. Sewaktu menonton filem itu, Lynn terlampau takut hingga menyebabkan aku terpaksa untuk menutup terus filem tersebut. Jadi di sini jelas dia bukanlah seseorang yang menakutkan atau suka melakukan tipu helah. Seperkara lagi, Lynn tidak mempunyai sebarang masalah penyakit mental. Begitu juga dengan anggota keluarganya yang lain. Aku tahu ada sesetengah orang yang dapat menyembunyikan masalah penyakit mental daripada pengetahuan orang lain. Namun dalam kes aku, aku betul-betul yakin bahawa Lynn bukan seorang pesakit mental.

    Kisah bermula pada dua bulan lepas. Pagi itu, aku sedang membancuh air kopi di dapur. Selesai bancuh, aku pun menghirup sedikit saja air kopi tersebut kerana aku sebenarnya sudah terlewat untuk pergi bekerja. Cuma sewaktu aku berada di pintu untuk keluar dari rumah, tiba-tiba aku menyedari Lynn sedang mengintai aku dari satu bahagian penjuru ruang tamu. Apa yang aku nampak hanyalah matanya yang sedang terbeliak. Rambut dan badannya pula terlindung pada dinding penjuru itu.

    “Lynn! Kenapa ni? Awak dah takutkan saya tau!” Kataku sambil air kopi tersembur keluar dari mulut.

    Lynn kemudian cepat-cepat beredar dari ruang tamu tersebut seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum dia hilang daripada pandangan mataku. Biarpun aku rasa insiden pagi itu sangat pelik kerana itu bukan perangai sebenar Lynn yang aku kenali akan tetapi pada masa sama aku cuba bersangka baik dengan beranggapan dia mungkin sekadar cuba untuk melawak sahaja. Aku seterusnya melangkah keluar dari rumah dan sempat memberikannya ucapan “I Love You” sambil menggelarkannya sebagai si aneh. Bulu romaku bagaimanapun naik meremang apabila terdengar suara Lynn ketawa selepas aku menutup pintu dari luar rumah. Selesai waktu bekerja, aku pun pulang ke rumah. Sampai di rumah, aku melihat Lynn melayanku seperti biasa. Jadi aku pun melupakan apa yang telah berlaku pada awal pagi hari tersebut.

    Okay, kejadian kedua berlaku pada tiga hari berikutnya. Lebih kurang jam 2 pagi, aku terbangun dari tidur lalu pergi ke dapur untuk menghilangkan rasa dahaga. Sewaktu aku sedang meminum air, aku dapat berasa diriku seperti sedang diperhatikan. Saat aku menoleh ke belakang, Lynn merenung aku dengan keadaan mata terbeliak sambil mulutnya tersenyum lebar. Melihat Lynn seperti itu, serius aku terus menjerit. Aku betul-betul berasa takut atas sebab yang aku sendiri tidak dapat nak dipastikan. Setelah aku menjerit, Lynn terus berlari pantas dari dapur tersebut dengan cara merangkak. Aku pula hanya berdiri kaku, memikirkan entah apa sebenarnya yang membuatkan Lynn bertingkah laku seram seperti sedemikian.

    Aku mengambil masa untuk kembali ke bilik tidur. Sesudah berasa tenang, barulah aku masuk semula ke dalam bilik tidur. Masuk saja ke dalam bilik tidur, aku melihat Lynn sedang berbaring sambil matanya terpejam yang bermaksud dia sudah pun tidur. Aku berdiri selama beberapa minit untuk memerhatikan samada dia betul-betul tidur atau pun berpura-pura tidur. Tak lama kemudian, aku berbaring di sebelah Lynn dan matanya langsung tidak terbuka. Lynn kelihatan tidur sangat nyenyak hingga membuatkan aku terfikir samada apa yang berlaku pada malam itu hanyalah sekadar mimpiku semata-mata.

    Keesokan paginya, aku menunggu Lynn untuk minum kopi bersama-sama. Selepas dia muncul, aku pergi memeluk serta mencium pipinya. Aku tekad untuk bertanya tentang apa yang dia telah lakukan pada semalam itu.

    “Kenapa dengan awak semalam?” Soalku dengan sangat lembut supaya dia tidak terasa hati.

    Mendengar soalanku, reaksi wajahnya sudah cukup menandakan bahawa dia tidak memahami apa yang aku cuba untuk sampaikan.                                            

    “Awak mengintai saya lagi semalam.” Kataku sambil menuding jari ke arah lantai tempatnya merangkak pada malam kejadian.

    Kepala Lynn berpaling sebentar ke arah lantai tersebut sebelum kembali memandang aku. Tiba-tiba sahaja dia ketawa besar.

    “Awak betul-betul menakutkan saya, awak tahu tak?” Aku menegurnya dengan cara yang baik. Lynn meletakkan cawan air kopi pada meja lalu mendekati aku sambil kedua-dua lengannya memeluk leherku.

    “Awak pun selalu menakutkan saya. Jadi kita samalah.” Kata Lynn dengan nada gurauan. Sesi perbualan pagi itu berakhir begitu saja sebelum masing-masing keluar pergi bekerja. Aku tidak berhenti memikirkan apa sebenarnya yang berlaku kepada Lynn. Mengintai dan merangkak dengan gaya yang menyeramkan. Ada juga aku terfikir boleh jadi Lynn mungkin sekadar bergurau kerana dia tahu aku adalah seorang penggemar kisah seram.

    Lama-kelamaan, perangai Lynn yang suka untuk mengintai aku semakin menjadi-jadi. Adakalanya dia mengintai dari sofa, langsir tingkap dan peti lama peninggalan mendiang neneknya. Lynn sepertinya melakukan aktivi intai tersebut akan dapat membuatkannya rasa gembira. Sampai satu tahap, aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk menasihatinya. Jadi apa yang aku boleh lakukan, hanyalah memerhatikan wajahnya pada setiap kali dia mengintai aku. Aku juga pernah meninggikan suara kepada Lynn tentang perkara ini akan tetapi dia langsung tidak menjawab dan lebih membuatkan aku rasa tertekan adalah perangainya itu yang langsung tetap tidak berubah.

    Hinggalah satu masa, Lynn tidak mengintai aku selama dua minggu. Saat ini, aku sudah berfikir bahawa dia telah berhenti daripada melakukan aktiviti intai tersebut. Pada satu malam yakni ketika kami berdua sedang menonton rancangan Netflix, aku bergurau kepada Lynn tentangnya yang mungkin sudah berasa bosan untuk mengintai aku secara berterusan. Lynn kemudian memandang aku sambil tersenyum.

“Saya rasa kan lebih baik saya macam ni.”

    Aku terdiam, memikirkan sama ada Lynn bergurau atau sebaliknya.

    Cuma beberapa hari selepas itu, apa yang Lynn perkatakan pada malam tersebut masih lagi terngiang-ngiang dalam fikiranku. Adakah dia sebenarnya masih mengintaiku dalam keadaan yang aku tidak sedari. Aku mula jadi paranoid. Setiap masa mata aku memerhatikan setiap penjuru dan meja rumahku. Mana tahu, Lynn masih mengintai. Sampai satu masa, aku rasa diriku sendiri pula yang gila.

    Beberapa minggu kemudian, tiada sebarang insiden intai yang berlaku. Barulah aku mula berasa lega. Rasa paranoid aku pun dah beransur hilang. Semestinya, kejadian tersebut adalah kenangan paling pahit yang pernah aku alami dalam hidupku.

    Tanpa aku duga, rupa-rupanya aku tersilap besar tentang Lynn.

    Pada satu malam, Lynn telah keluar untuk pergi bertemu dengan rakannya. Sementara itu, aku menghabiskan masa di rumah dengan bermain komputer riba. Tepat pada jam 9 malam, aku pun pergi mandi. Sewaktu aku membersihkan badanku dengan sabun dalam keadaan mata terpejam, entah kenapa tiba-tiba aku rasa sedang diperhatikan. Aku pun membuka mataku dengan perlahan-lahan. Saat mata aku terbuka luas, jantungku terus berdegup dengan laju.

    Lynn mengintai aku lagi. Kali ini dari tirai bilik mandi. Macam apa yang aku nampak seperti sebelum ini hanyalah muka Lynn saja. Seluruh badannya pula tertutup dengan kain tirai tersebut. Matanya terbeliak sambil mulut ternganga luas. Lagi menyeramkan, kedua-dua matanya langsung tidak berkedip. Aku menjadi takut melihat Lynn seperti itu.

    Kami berdua sama-sama berdiri kaku untuk seketika tanpa sepatah kata pun yang keluar dari mulut. Aku perhatikan Lynn, Lynn perhatikan aku. Tak lama kemudian, Lynn berundur dengan langkah perlahan-lahan sebelum kedengaran bunyi pintu bilik mandi ditutup yang menandakan dia sudah pun keluar. Aku menjerit sekejap dan kemudian terus mengunci pintu. Aku berada dalam bilik mandi tersebut lebih dari sejam. Aku berjalan mundar-mandir kerana kebingungan dan sekali sekala aku meletakkan telinga pada pintu bilik mandi itu untuk mendengar suara Lynn yang aku jangkakan masih berdiri dekat luar.

    “Hihihihi” Kedengaran suara Lynn ketawa yang mungkin berasa seronok melihat aku dipermainkan.

    Suara Lynn ketawa tersebut bagaimanapun terus membuatkan rasa kemarahanku membuak-buak.

    “Awak dah kenapa Lynn!” Jeritku dari dalam.

    “Berhentilah buat macam ni!” Aku betul-betul marah sambil mengharapkan dia meminta maaf. Selama ini aku memang tidak pernah meninggikan suara seperti itu.

    “Lynn!”

    Tiada sebarang jawapan dari luar.

    “Sumpah Lynn! Baik berhenti sekarang!” Aku mengugut.

    Aku tak nafikan yang aku benar-benar dalam ketakutan. Aku tak sanggup nak berhadapan dengan isteriku dalam situasi sedemikian. Namun setelah setengah jam berlalu, barulah aku memberanikan diri untuk membuka pintu bilik tidur. Tak larat dah aku nak duduk di dalam bilik mandi tersebut.

    Pintu bilik mandi dibuka dengan perlahan. Melalui ruang kecil pintu yang sudah terbuka itu, Lynn tiada berada di luar. Aku sendiri tidak pasti sama ada patut berasa gembira atau sebaliknya bila melihat Lynn tiada.  Belum sempat pintu bilik mandi dibuka dengan luas, aku terdengar suara orang tergelak dari arah almari dalam bilik mandi. Sebaik saja aku menoleh arah almari tersebut, kepala Lynn tiba-tiba saja muncul! Ya, Lynn muncul dari dalam almari itu sekali lagi dalam keadaan mata terbeliak, mulut ternganga. Dia rupa-rupanya tidak pernah keluar dari bilik mandi itu! Aku diperbodohkan dengan bunyi bilik mandi ditutup kononnya tanda dia sudah keluar. Gila apa sepanjang aku berada dalam bilik mandi tersebut, setiap gerak-geriku diperhatikannya yang bersembunyi di dalam almari itu.

    Aku apa lagi, terus melarikan diri dari rumah dengan larian sepantas kilat serta pada masa sempat mengambil kunci kereta dan telefon. Aku juga sempat mendengar bunyi Lynn ketawa melihat aksiku berlari dalam keadaan hanya berseluar pendek dan berkaki ayam. Masuk saja ke dalam kereta, aku terus memandu selaju yang mungkin menuju ke rumah adikku iaitu Chris yang memakan masa perjalanan selama 40 minit dari rumah aku. Setiap panggilan serta mesej Lyn yang masuk pada telefon aku langsung tidak dipedulikan sama sekali.

    Chris dan isterinya yang bernama Rebecca ternyata terkejut melihat kedatanganku. Mereka berdua mempelawa aku masuk ke dalam rumah tanpa bertanya apa-apa pun. Sesudah memakai pakaian yang dipinjamkan Chris, aku pun menceritakan kepada Chris dan Rebecca tentang apa yang sudah berlaku. Namun setakat yang diceritakan hanyalah mengenai perselisihan faham antaraku dengan Lynn. Itu sahaja, tidak lebih daripada itu. Aku tak nak Chris dan Rebecca beranggapan aku bukan seorang yang matang. Macam tak logik nak bercerita tentang masalah rumah tangga di mana seorang isteri suka mengintai suami. Si isteri menyeramkan, si suami pula penakut. 

    Selesai bercerita, aku pun berbaring di atas sofa denga cuba untuk tidur. Puas aku memejam mata akan tetapi setiap kaliku berbuat sedemikian, bayangan kepala Lynn keluar dari almari terus membayangiku. Hanya selepas Chris memberikan ubat tidur, barulah aku boleh tidur. Cumanya aku tidur dengan bermimpi ngeri muka Lynn.

    Keesokan paginya, aku pun terbangun dalam keadaan badan berasa sangat keletihan. Aku sebenarnya ada terfikir untuk menelefon Lynn akan tetapi bila difikir balik, apa yang harusku perkatakan kepadanya. Seperkara lagi, aku tidak akan pulang ke rumah selagi Lynn tidak berjanji untuk tidak lagi menakut-nakutkanku. Jauh di sudut hatiku, aku memang berharap Lynn akan kembali normal seperti dulu. Tak lama setelah mengelamun, aku dapat berasa ada seseorang yang sedang memerhatikanku dari luar tingkap yang terletak bersebelahan dengan sofa. Saat kepalaku berpaling pada tingkap itu, ternyata Lynn sedang mengintaiku lagi. Intai dengan mukanya yang menakutkan itu. Tersenyum sambil menampakkan giginya. Aku tak pasti sudah berapa Lynn berdiri di luar tingkap tersebut akan tetapi aku syak mungkin sudah semalaman dia memerhatikanku.

    Aku menjerit dengan perasaanku yang bercampur dengan ketakutan serta kemarahan.

    “Lynn! Awak sudah gila ke! Kenapa awak jadi macam ni! Awak pergi balik rumah sekarang!” Aku berteriak.

    Reaksi Lynn? Tidak bergerak. Dia tetap tersenyum.

    Kedengaran bunyi suara Chris dan isterinya di tingkat atas. Sebaik Lynn mendengar suara mereka itu, dia menutup mulutnya dengan perlahan.

    Aku terdengar Chris memanggil namaku dengan nada kerisauan dari tingkat atas. Aku menoleh sebentar ke arah Chris dan Rebecca yang sedang laju menuruni anak tangga. Bila aku toleh semula ke arah tingkap, Lynn sudah tiada di situ.

    Tanpa banyak bunyi, aku pun menceritakan kepada Chris dan Rebecca tentang kehadiran Lynn di luar rumah mereka. Kedua-dua mereka bagaimanapun kelihatan ragu-ragu sebaik mendengar apa yang aku perkatakan. Aku dan Chris kemudian pergi memeriksa di luar rumah termasuk di luar rumah. Namun tiada sebarang tanda yang menunjukkan Lynn pernah datang. Chriss beranggapan aku mungkin ternampak binatang. Lynn yang aku lihat mungkin disebabkan aku terlampau memikirkannya hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

    Aku telah ponteng kerja pada hari tersebut. Telefon aku juga ditutup. Sebolehnya aku tak nak melihat wajah Lynn buat masa sekarang. Aku mula percaya bahawa ada sesuatu yang telah berlaku kepada Lynn. Aku turut yakin hubungan kami berdua tidak akan pernah menjadi seperti dulu. Pagi tersebut, aku yang sudah tidak dapat untuk mengawal emosi telah menitiskan air mata. Menjelang waktu tengah hari, aku tekad untuk menuntut penjelasan daripada Lynn tentang kenapa dia memperlakukanku sedemikian rupa.

    Aku pun menghidupkan kembali telefonku. Berderet-deret teks mesej daripada Lynn yang masuk.

    “Boleh tak kita bincang?”

    “Saya sayangkan awak.”

    “Tolong telefon saya.”

    “Saya benar-benar risau.”

    “Boleh tak tolong balas.”

    “Tolonglah balik rumah.”

    Semua mesej tersebut menunjukkan bahawa Lynn mengambil berat tentang diriku. Tiada satu pun teks mesej yang menakutkan daripada isteri yang sangat aku cintai itu. Cuma selepas berfikir secara masak-masak, aku memutuskan untuk meneruskan malamku di rumah Chris.

    Aku terbangun dan mendapati hari sudah pun siang.

    “Saya sebolehnya tak nak masuk campur. Tapi rasa-rasa gaya pergaduhan antara awak dengan Lynn ni akan berakhir tak?” Rebecca tiba-tiba muncul.

    “Entahlah...tapi dia bukan Lynn yang saya kenal.” Aku menjawab dalam keadaan berlapik, masih lagi belum bersedia untuk menceritakan segala-galanya.

    “Manusia ni kadang-kadang boleh berubah. Tapi awak kena ingat, Lynn adalah wanita yang awak kahwini sejak dari dulu. Mungkin kamu berdua boleh bincang baik-baik. Saya pasti keadaan akan menjadi lebih baik.” Nasihat Rebecca kepadaku.

    “Saya rasa perkara itu tidak akan membantu pun. Lagi pun, saya sudah tidak percayakan dia.” Ujarku dengan nada keras. Pada hakikatnya, aku memang merindui Lynn yang dulu. Cuma aku tak boleh hidupnya dengan keadaan yang menakutkan.

    “Lynn betul-betul sayangkan awak.” Tambah Rebecca.

    “Itu saya tak pasti.” Jawabku.

    “Saya tak pernah lihat Lynn sedih macam tu sekali. Itu bukan Lynn yang saya kenal.” Balas Rebecca. Sedih suaranya.

    Aku hanya mampu terdiam selama beberapa minit.

    Eh! Tunggu sekejap!

    “Jap! Apa yang awak maksudkan? Awak nampak dia ke? Awak nampak Lynn?” Aku tertanya-tanya.

    “Dia ada singgah sekejap tadi selepas Chris pergi bekerja. Cuma tak pasti dia datang naik apa. Mungkin naik Uber.” Jawab Rebecca yang sedang mengemas pinggan di atas meja makan.

    “Becc. Dia cakap apa lagi? Dia masuk dalam ke?” Aku bertanya sambil mataku meliar ke kiri dan kanan memerhatikan setiap penjuru rumah.

    “Tak adalah. Dia cuma tanya sama ada awak dah bangun atau belum. Saya tanya dia, nak saya kejutkan awak tak. Lynn kata tak payah, biarkan je awak tidur.” Rebecca memberikan penjelasan.

    “Itu je ke? Lagi?” Soalku yang masih tidak berpuas hati.

    “Tak ada. Tapi muka dia nampak macam dah tak tidur beberapa hari. Baik awak telefon dia.”

    Aku bangun lalu pergi mendekati pintu masuk rumah bagi memastikan pintu tersebut betul-betul dalam keadaan berkunci.

    Aku pun duduk semula di sofa. Apa lagi yang patut aku lakukan? Aku memang tak nak pulang ke rumah tetapi aku rasa Lynn perlukan bantuan. Persoalannya, adakah dia memang sedang sakit mental? Kalau ya, aku patut tolong dia. Cuma bagaimana aku nak mulakan? Telefon polis? Ah! Sangat mengarut. Terfikir juga kenapa Lynn berlagak seperti orang normal sewaktu berdepan dengan Rebecca seakan-akan dia betul-betul risaukan keadaanku. Kalau bawa pergi jumpa doktor pun, dia akan dilepaskan dalam tempoh 72 jam sekiranya tiada sebarang tanda-tanda penyakit mental yang dikesan. Aduh! Aku buntu!

    Ada satu cara lagi. Aku yakin semua lelaki yang bergelar sebagai suami pasti akan melakukan cara ini jika berada dalam situasi sepertiku sekarang. Cara apa? Telefon ibu mentuaku. Ya, ibu Lynn iaitu Marianne.  

    Aku terpaksa walaupun menyedari hubunganku dengan Marianne tidaklah berapa baik akan tetapi kami berdua tidak pernah bergaduh atau mempunyai sebarang isu sensitif. Aku cuma pernah bertemu dengannya sebanyak dua kali. Itu pun sekejap sahaja. Cuma kalau dilihat daripada segi layanannya, dia seolah-olah tidak merestui hubunganku dengan Lynn. Bila difikirkan, aku harus menelefonnya juga demi kebaikan Lynn. Sudah tentu dia lebih mengenali Lynn daripada aku.

    “Hello?” Marianne mengangkat panggilanku.

    “Hello Marianne. Ini saya, Ben. Boleh bercakap tak untuk beberapa minit?” Soalku inginkan kepastian.

    “Saya sekarang sebenarnya agak sibuk. Tapi tak apalah, boleh je nak bercakap. Ada apa tu Benjamin?” Balas Marianne. Lega aku mendengar.

    “Okay, ini tentang Lynn. Sejak kebelakangan ni, perangainya sangat aneh. Saya cuma tertanya-tanya kalau ada benda sebenarnya yang awak boleh jelaskan.”

    “Jadi apa yang awak nak daripada saya?”

    “Saya cuma nak tahu sama ada awak memang tahu tentang perangai pelik Lynn atau sebarang penyakit mental yang dia alami?” Aku terpaksa berterus-terang.

    “Saya kurang pasti kalau awak sebenarnya sedang cuba melawak Benjamin. Lawak tu tak sampai.  Saya ada benda nak buat sekarang.”

    “Marianne, ini bukan lawak. Tolonglah. Saya risau dengan keadaan mental Lynn sekarang. Saya sangat risau dengan keadaan dia sekarang. Makin menjadi-jadi.”

    “Kalau macam tu, nasihat saya, bawa Lynn pergi jumpa doktor pakar secepat yang mungkin.”

    “Marianne, kenapa?”

    “Benjamin, saya tak tahu nak cakap macam mana dah dekat awak. Satu-satunya nasihat saya, bawa dia pergi jumpa doktor pakar cepat. Tolong jangan ganggu saya dah. Cukup. Bye.”

    Panggilan terputus. Aku cuba untuk menelefon semula Marianne namun panggilan tidak berjawab.

    Cara Marianne bercakap seolah-olah dia cuba untuk mengelak daripada menolongku. Ada sesuatu yang dia sedang cuba sembunyikan. Tapi kan, kalau betul Marianne tak sukakan aku, takkanlah dia langsung tolong anak dia. Aku betul-betul tak faham.

    Bila aku ingat balik perbualan kami tadi, kata kunci yang keluar daripada mulut Marianne adalah supaya bawa Lynn pergi jumpa doktor pakar dengan kadar segera. Lagipun aku menyedari suara Marianne terus berubah bila aku menyebut tentang perangai Lynn yang tiba-tiba berubah. Cuma aku tidak pasti juga apa sebenarnya doktor pakar yang dimaksudkan Marianne. Adakah ada seseorang yang perlu dirujuk.

    Chris tiba di rumah. Aku membuat keputusan untuk meyakinkan Chris dan Rebecca mengenai Lynn yang aku rasa memerlukan rawatan psikiatri. Disebabkan masih belum bersedia sepenuhnya, aku hanya menceritakan bagaimana Lynn menakutkan aku sewaktu insiden di dalam bilik mandi.

    Mendengar cerita aku, Chris dan Rebecca nampak terkejut tetapi tidak beranggapan insiden tersebut sebagai satu perkara yang serius. Bagi mereka, niat Lynn mungkin sebenarnya hanya sekadar untuk melawak.

    “Mungkin Lynn buat macam tu untuk content Youtube? Mana tahu?” Rebecca cuba menyedapkan hati aku.

    Pendapat Chris, perkara ini tidak perlu dibawa kepada pihak polis. Dia memberikan cadangan untuk menemaniku bertemu dengan Lynn pada pagi itu juga. Selesaikan segala-galanya dengan cara yang baik. Aku terus bersetuju akan tetapi aku enggan untuk pulang ke rumahku pada waktu malam. Faham-faham sajalah.

    Sampai di rumahku, aku mendapati tiada kereta Lynn di tempat parkir. Pintu rumah pula dalam keadaan sedikit terbuka. Aku pun melangkah masuk ke dalam rumah diikuti dengan Chris. Kami berdua terhidu bau yang sangat busuk.

    “Basuh lantai rumah pakai apa? Busuknya!” Chris membebel.

    “Diamlah.” Balasku dengan ringkas.

    Jam baru 10 pagi tetapi rumahku dalam keadaan gelap gelita sebab semua langsir ditutup. Entah apa yang Lynn lakukan hingga sanggup bergelap dalam rumah seperti itu. Setiap bilik di tingkat bawah kami pergi periksa. Aku terlampau paranoid hinggakan bawah sofa pun diperiksa.

    “Kau cari apa bawah sofa tu. Kan kita sedang cari Lynn.” Tegur Chris.

    “Tak ada apa. Jom naik atas.” Bisikku.

    Chris angguk kepala.

    Semasa menaiki tangga, aku mendapati salah satu bingkai kaca gambar hari perkahwinanku yang tergantung di ruang dinding kawasan situ telah pecah. Dalam gambar tersebut, Lynn kelihatan begitu menawan sekali mengenakan gaun pengantin. Serius, aku rindu kau Lynn.

    Aku dan Chris memeriksa satu persatu bilik di tingkat atas. Lalu saja depan bilik mandi, aku teragak-agak untuk masuk ke dalam sebab masih teringat kejadian pada malam itu. Melihat aku sedemikian, Chris menawarkan dirinya untuk memasuki bilik mandi tersebut. Aku membantah. Jadi bilik mandi itu dimasuki kami berdua secara serentak. Nampak lantai bilik mandi tersebut dalam keadaan kering, jadi aku syak bilik mandi tersebut langsung tidak digunakan sejak aku keluar dari rumah malam kejadian.

    “Aku rasa dia tak ada dekat sini Ben. Kau pergi ambil baju kau sekarang. Esok kita datang balik sini.” Chris memberikan cadangan.

    Aku mengangguk kepala sebelum pergi masuk ke dalam bilik tidurku. Aku buka pintu almari lalu memasukkan beberapa helai baju ke dalam beg. Tiba-tiba sekali lagi aku terhidu bau busuk dari dalam almari tersebut. Selepas menyelongkar hampir semua pakaian yang ada di dalam almariku, aku melihat ada beberapa bebola mata haiwan! Soal bagaimana Lynn mendapatkan bebola mata haiwan itu, aku sendiri tidak.

    Chris yang berdiri bersebelahan denganku kelihatan tercengang.

    “Ben, isteri kau dah kenapa. Aku rasa kita patut pergi sekarang. Aku rasa macam nak muntah pun ada.”

    “Okay.” Balasku sambil menggalas beg pakaian. Pintu almari ditutup.

    “Lynn memang betul-betul mental.” Akhirnya Chris sependapat denganku.

    “Kan aku dah cakap. Dia perlukan rawatan.” Jawabku.

    Sebelum keluar dari bilik tidur itu, langkah kaki terhenti. Aku seakan dapat visi, Lynn ada di dalam bilik tersebut. Dia memerhatikanku.

    Chris masih berada di depanku.

    “Chris, kejap.”

    Aku menoleh ke belakang dan kemudian pandanganku tertumpu di bawah katil. Aku menundukkan badan. Ya, Lynn sedang meniarap di bawah katil itu dengan muka psiko seperti sebelum ini. Mata terbeliak, senyum tersengih.

    Kedua-dua tangan Lynn nampak menggeletar.Kepalanya pula tidak berhenti bergerak ke kiri dan ke kanan dengan laju. Aku rasa nak larikan diri akan tetapi fikiranku masih waras. Aku tak boleh tinggalkan Lynn. Dia mesti dibantu. Lynn tetap isteriku.

    “Lynn...” Aku memanggil namanya dengan suara yang lembut.

    “Sayang, saya cuma nak tolong awak ni. Okay? Saya cintakan awak Lynn.” Pujukku. Perlahan-lahan aku mendekatinya. Bila semakin dekat, nampak jelas tangan Lynn sedang memegang satu serpihan kaca. Tangannya berdarah.

    “Lynn, awak okay ke? Tangan awak berdarah tu.”

    Lynn langsung tidak menjawab. Dia masih diam.

    Saat aku menghulurkan tanganku untuk menariknya, tiba-tiba aku berasa tanganku sakit serta kepedihan hingga menyebabkan aku jatuh tersungkur ke belakang. Darah menitik dari bahagian lenganku. Lynn telah menyerang aku.

    “Kau okay ke?” Kedengaran suara Chris dari belakang.

    Mukaku berpaling ke belakang, memandang Chris. Aku angguk kepala. Namun apabila aku memaling semula muka ke depan, Lynn merenung Chris dengan renungan yang tajam. Mukanya sudah tidak lagi tersenyum akan tetapi penuh dengan kemarahan seperti seperti seekor singa yang sedang kelaparan.

    Aku segera berundur serta pada masa sama langsung tidak berani untuk memandang wajah Lynn.

    “Eh, tangan awak berdarah ke?” Tanya Chris kepada Lynn dalam keadaannya terpinga-pinga.

    Tanpa berlengah, aku terus menjerit menyuruh Chris supaya melarikan diri.

    “Chris! Lari sekarang!”

    Bodohnya Chris masa itu, dia langsung tidak berlari seperti yang telah disuruh. Saat ini, Lynn telah pun merangkak keluar dari bawa katil.

    “Awak tengah main sorok-sorok ke Lynn?” Sempat lagi Chris menyoal.

    Aku bergerak pantas ke depan lalu menolak Chris sebagai tanda untuk cepat berlari.

    “Lari sekarang!” Jeritku.

    Chris sempat berdoa sebentar sebelum langkahnya laju menuruni anak tangga.

    Aku? Dalam keadaan dilema. Lari atau tunggu sekejap di situ dengan niat untuk terus memujuk Lynn. Dia adalah wanita yang sangat aku cintai. Aku tahu dia perlukan bantuan. Niat baik aku tersebut bagaimanapun terbantut apabila pandangan matanya yang masih lagi penuh dengan kemarahan beralih pula kepadaku.

    “Lynn...saya cuma nak tolong...” Belum sempat ayatku dihabiskan, Lynn mengejar aku.

    Aku pun berlari dengan larian selaju mungkin. Sampai depan pintu, aku melihat Chris sedang bercakap di telefon. Aku boleh jangkakan dia telah menghubungi pihak polis. Selangkah lagi untuk keluar dari rumah, aku dapat rasakan belakang badanku ditusuk dengan benda yang tajam. Ternyata Lynn telah berada di belakangku. Aku menolaknya dengan sekuat hati hingga dia jatuh rebah ke lantai dan kemudian berlari mendekati Chris. Kami berdua sama-sama memasuki kereta sebelum terus beredar dari rumah yang menggamit kenanganku dengan Lynn. Melalui pandangan cermin sisi kereta, Lynn dilihat sedang cuba mengejar kami. Lama-kelamaan, Lynn hilang daripada pandangan.

    Aku seterusnya telah dirawat di bahagian kecemasan hospital di mana aku menerima 14 jahitan pada tubuh badan. 11 pada bahagian lengan, 3 lagi pula di bahagian belakang badanku. Sewaktu diambil keterangan oleh pihak polis, aku dimaklumkan bahawa mereka telah pun melakukan pemeriksaan di rumahku. Walau bagaimanapun, Lynn gagal untuk dikesan sama sekali. Pihak polis turut menasihatiku supaya tinggal di lokasi yang lebih jauh buat sementara waktu seperti di rumah saudara-mara atau rakan-rakan hingga perintah perlindungan rasmi dikeluarkan.

    Selepas menghantar Chris pulang ke rumahnya, aku pun telah pergi ke sebuah motel yang memakan masa perjalanan lebih sejam dari rumahku.  Aku menginap di motel itu dengan harapan dapat berjauhan dengan Lynn untuk seketika. Lagipun aku yakin pihak polis akan dapat mengesan Lynn dan mengambil langkah yang sepatutnya untuk merawatnya.

    Setelah 4 jam berada di motel tersebut, aku tiba-tiba mendapat satu mesej bergambar dari satu nombor telefon yang dikenali. Gambar mata manusia terbeliak dengan latar belakang warna hitam. Mata itu adalah mata Lynn. Ada empat patah perkataan yang ditulis dalam mesej bergambar tersebut.

    “Saya dah jumpa awak!”

    Aku tak tahu nak buat apa sekarang. Aku sekarang bersendirian. Aku benar-benar takut.

TAMAT

 Nota : 

Kisah ini adalah terjemahan kisah My wife has been peeking at me from around corners and behind furniture. It's gone from weird to terrifying dari laman sesawang Reddit. 

Catat Ulasan for "ISTERIKU SUKA MENGINTAI"