Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH CHRISTINA BOOTH : Maafkan Ibu, Anakku

    Kisah ini berlaku pada tahun 2015 bertempat di negara Amerika Syarikat. Tahun tersebut, Christina Booth adalah seorang wanita berusia 29 tahun yang berstatus sebagai ibu kepada tiga orang anak. Dua daripada orang anaknya itu merupakan pasangan kembar perempuan. Suami Christina pula dikenali sebagai Thomas Booth yakni seorang anggota tentera berpangkat Sarjan.

    Sejarah hidup Christina sememangnya begitu menyedihkan. Pada usianya dua tahun, Christina dikatakan telah melihat sendiri bagaimana ibu kandungnya telah dirogol sebelum dibunuh. Dia kemudian menjadi mangsa pengabaian serta sering didera sewaktu tinggal di rumah kebajikan. Menginjak usia remaja, Christina menerima satu lagi dugaan apabila dia telah disahkan mengidap penyakit Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD). Selain itu, Christina juga menderita penyakit kemurungan iaitu Postpartum Depression selepas melahirkan anak lelaki pada usia muda. Dalam istilah masyarakat melayu kita, penyakit Postpartum Depression ini disebut sebagai meroyan.

    Tidak dapat dipastikan mengenai keberadaan anak pertama Christina. Cumanya setelah Christina berkahwin dengan Thomas, dia telah melahirkan anak perempuannya. Tidak lama sesudah kelahiran tersebut, anak kembar Christina pula dilahirkan. Faktor jarak usia antara anak perempuan dengan bayi kembarnya yang terlalu dekat telah menyebabkan penyakit kemurungan dan PTSD Christina menjadi semakin teruk. Perangai Christina juga mula berubah di mana dia lebih mendiamkan diri daripada bercakap.

    Kisah sebenar bermula pada malam 25 Januari 2015. Malam itu, Christina dan Thomas yang baru pulang dari Afghanistan sedang menonton filem di ruang tamu rumah mereka sambil menikmati minuman wain. Belum lama pasangan tersebut duduk bersama, bayi kembar mereka tiba-tiba menangis. Thomas benar-benar berasa terganggu dengan suara tangisan bayi kembarnya itu biarpun Christina telah cuba untuk menenangkan mereka. Apabila bayi kembarnya langsung tidak berhenti menangis, Christina pun bangun dan terus pergi mengambil pisau di dapur. Entah apa yang bermain dalam fikiran Christina, dia seterusnya telah bertindak untuk mengelar leher ketig-tiga orang anaknya.

    Thomas hanya menyedari insiden berkenaan selepas terdengar bunyi suara tangisan serta jeritan Christina. Saat Thomas melihat anak-anaknya dalam keadaan berlumuran darah, dia bergegas menyuruh Christina untuk menghubungi talian kecemasan. Thomas sendiri pula merawat anak-anaknya buat sementara dengan menggunakan peralatan dalam peti kecemasan. Melihat Christina seakan masih dalam kepanikan, Thomas merampas telefon daripada isterinya itu dan terus meminta operator supaya menghantar ambulans dengan kadar segera. Mujur sajalah pasukan kecemasan tiba pada tepat masanya. Tiga orang anak Thomas dan Christina yang dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan tersebut berjaya diselamatkan.

    Menerusi penjelasan yang diberikan Christina kepada pihak polis, dia mendakwa bahawa Thomas jarang membantunya untuk menguruskan anak-anak mereka. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Christina yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan melakukan cubaan melakukan pembunuhan peringkat pertama telah dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun 6 bulan. Thomas yang turut memberikan keterangan di mahkamah menegaskan bahawa Christina sebelum ini adalah seorang ibu berperwatakan baik serta penyayang terhadap anak mereka. Kata Thomas lagi, dia akan tidak pernah berhenti memberikan sokongan kepada Christina. Tidak diketahui samada Christina telah dibenarkan untuk melawat anak-anaknya atau sebaliknya. 

Catat Ulasan for "KISAH CHRISTINA BOOTH : Maafkan Ibu, Anakku"