KISAH MARIANNE BACHMEIER : Anna, Semuanya untuk Awak.
Kisah ini berlaku pada tahun 1981 bertempat di negara Jerman di mana seorang wanita bernama Marianne Bachmeier bertindak untuk menembak mati seorang lelaki yang didakwa telah membunuh anak perempuannya. Kes ini mendapat liputan luas media serta perhatian daripada orang ramai kerana insiden tembakan tersebut dilakukan Marianne di mahkamah yakni sewaktu perbicaraan kes anak perempuannya itu.
Marianne Bachmeier dilahirkan pada 3 Jun 1950 di bandar Sarstedt, Hildesheim. Sewaktu berusia Marianne 16 tahun, dia telah melahirkan anak pertamanya. Walau bagaimanapun, anak pertama Marianne tersebut terpaksa diserahkan kepada orang lain kerana dia tidak mampu untuk menjaganya seorang diri. Dua tahun berikutnya, anak kedua Marrianne dilahirkan. Sama seperti anak pertamanya, Marianne terpaksa menyerahkan anak keduanya itu kepada keluarga angkat. Namun seperkara harus diketahui, Marianne telah menjadi mangsa rogol pada waktu sebelum kelahiran anak keduanya itu. Pada usianya 23 tahun, Marianne selamat melahirkan anak ketiganya yang juga merupakan bayi perempuan. Anak ketiga Marianne tersebut dinamakan sebagainya Anna. Selepas Anna lahir, Marianne yang membuat keputusan untuk tidak lagi mahu mempunyai anak telah menjalani pembedahan BTL "Bilateral Tubal Ligation".Marianne telah membesarkan Anna dengan status sebagai ibu tunggal. Bagi menyara kehidupan mereka berdua anak-beranak, Marianne melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuklah menjadi pelayan di sebuah pub.
Dijadikan cerita yakni pada 5 Mei 1980, Anna yang berusia 7 tahun ketika itu telah bertengkar dengan Marianne. Selepas pertengkaran tersebut, Anna kemudian telah pergi ke rumah jiran lelaki mereka yang dikenali sebagai Klaus Grabowski, 35 tahun. Tujuan kedatangan Anna ke rumah Klaus pada waktu itu adalah untuk bermain dengan kucing peliharaan lelaki berkenaan. Klaus bagaimanapun mengambil kesempatan tersebut untuk menculik Anna selama berjam-jam di rumahnya. Anna seterusnya dicabul dan dicekik Klaus sampai mati dengan menggunakan seluar dalam milik teman wanita. Mayat Anna yana diikat telah diletakkan di dalam kotak kadbod sebelum dibuang di tebing kawasan sungai yang berdekatan. Sedikit tentang latar belakang Klaus, dia sememangnya mempunyai rekod jenayah pernah mencabul kanak-kanak. Selain itu, Klaus juga telah menjalani proses kembiri secara sukarela pada tahun 1976.
Tidak lama setelah pembunuhan Anna, Klaus ditangkap oleh pihak polis. Penangkapan tersebut dibuat susulan laporan yang pihak polis terima daripada teman wanita Klaus sendiri. Berdasarkan pengakuan awal daripada Klaus, dia membuat penafian tentang dirinya yang dikatakan telah merogol Anna. Pada masa sama, Klaus juga mendakwa bahawa dia menerima godaan serta mendapat ugutan daripada Anna. Ugutan yang dimaksudkan adalah Anna akan mereka-reka cerita mengenai dirinya dicabul Klaus jika lelaki itu tidak memberikannya wang perbelanjaan. Mendengar pengakuan Klaus yang dirasakan sebagai tidak masuk akal tersebut, Marianne menjadi marah dan tekad untuk membalas dendam.
Pada 6 Mac 1981 yang juga bersamaan dengan hari ketiga perbicaraan kes, Marianne telah melakukan satu tindakan di luar dugaan dalam mahkamah di mana dia melepaskan lapan das tembakan ke arah Klaus dengan menggunakan senjata api jenis Beretta 70. Klaus maut akibat terkena tujuh daripada lapan das tembakan itu. Menurut Marianne, dia melakukan perkara tersebut adalah tidak lain tidak bukan demi Anna anak perempuan kesayangannya. Dia enggan untuk mendengar segala pembohongan daripada mulut Klaus. Pada tahun 1983, nasib agak menyebelahi Marianne kerana dia hanya menerima hukuman penjara selama 6 tahun atas dakwaan membunuh Klaus tanpa niat. Setelah tiga tahun berada dalam penjara, Marianne pun dibebaskan. Sesudah pembebasannya, Marianne telah berkahwin dengan seorang lelaki warga Nigeria 1985 akan tetapi perkahwinan pasangan itu hanya mampu bertahan selama lima tahun.
Beli barang Shopee di sini : https://shope.ee/5fGIo8oUkr |
Pengakhiran kisah Marianne, dia meninggal pada tahun 1996 sewaktu berusia 46 tahun akibat penyakit kanser. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Marianne sempat meminta seorang wartawan untuk merakam saat-saat terakhir kehidupannya. Mayat Marianne telah dikebumikan bersebelah dengan kubur Anna. “Anna, semuanya untuk awak.”
Catat Ulasan for "KISAH MARIANNE BACHMEIER : Anna, Semuanya untuk Awak. "