KISAH PEMBUNUHAN DAHSYAT BERAMAI-RAMAI DI TSUYAMA
Pada malam 20 Mei 1938 bertempat di sebuah kawasan perkampungan kecil yang terletak di Tsuyama, Okayama, Jepun, seorang lelaki berusia 21 tahun bernama Mutsuo Toi telah bertindak untuk memutuskan bekalan eletrik seluruh kampung tersebut. Sesudah berbuat sedemikian yakni pada jam sekitar 1.30 pagi 21 Mei 1938, Mutsuo menetak kepala neneknya yang berusia 76 tahun hingga putus di rumah dengan menggunakan kapak. Dia kemudian keluar dari rumah dengan membawa beberapa senjata seperti senapang yang telah diubah suai, kapak, pedang dan pisau.
Entah apa yang bermain dalam fikiran Mutsuo waktu tersebut, dia seterusnya pergi berjalan mengelilingi kampung itu lalu membunuh seorang demi seorang penduduk dengan cara tikaman serta tembakan. Lagi dahsyat, ada juga antara mangsa yang dibunuh menerusi kedua-dua cara tersebut. Secara keseluruhannya, seramai 30 orang mangsa yang berusia dari 5 hingga 86 telah menjadi mangsa pembunuhan Mutsuo pada malam kejadian ngeri itu.
Memasuki waktu subuh waktu kejadian, Mutsuo telah pergi ke sebuah kawasan pergunungan. Di situ, dia pun bertindak untuk membunuh diri dengan menembak bahagian dadanya. Selepas kematian Mutsuo, pihak polis telah menemui nota bertulis Mutsuo yang menjelaskan motif pembunuhannya di mana dia mendakwa menjadi tertekan kerana dipulaukan oleh orang kampung akibat penyakit tuberkulosis yang dia alami serta pada masa sama tiada seorang pun wanita dalam kampung tersebut sudi untuk menjadi teman wanita atau isterinya. Difahamkan pada waktu itu, rawatan untuk penyakit Tuberkulosis ini masih lagi tidak berkembang.
Bercerita tentang latar belakang Mutsuo, dia yang dilahirkan pada tahun 1917 tinggal bersama dengan kakak dan neneknya sejak dari kecil lagi. Mutsuo dijaga oleh neneknya itu setelah kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia kerana menderita penyakit Tuberkulosis. Kehidupan Mutsuo bagaimanapun dikatakan menjadi semakin tidak terus sesudah kakaknya berpindah dari rumah neneknya sejurus berkahwin. Keadaan semakin memburuk untuk Mutsuo apabila dia telah menjadi mangsa diskriminasi penduduk kampung saat disahkan mengidap penyakit Tuberkulosis.
Apa yang pasti, insiden pembunuhan ini dianggap sebagai salah satu insiden pembunuhan paling dahsyat dan kejam yang pernah berlaku di negara Jepun. Seperkara lagi, ada pihak mempercayai bahawa lokasi perkampungan Mutsuo ini diyakini sebagai lokasi kampung kisah legenda urban Misteri Kampung Sugisawa. Kisah penuh legenda urban tersebut boleh di baca di sini : Misteri Kampung Sugisawa.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN DAHSYAT BERAMAI-RAMAI DI TSUYAMA"