KISAH NENEK YANG MENUNGGU KEPULANGAN IBUKU
Gambar sekadar hiasan |
Malam itu, aku sedang berhibur bersama beberapa orang
rakanku iaitu dengan berkaraoke. Sewaktu giliranku menyanyi, aku tiba-tiba
mendapat panggilan telefon daripada ibuku yang menyuruhku untuk pulang ke rumah
dengan segera. Sampai di rumah, ibuku memberitahu bahawa dia akan pulang ke
kampung halaman dengan membawa kami sekeluarga untuk urusan pembahagian harta
pusaka nenekku yang telah meninggal dunia pada beberapa bulan lepas. Memandangkan
bapaku kebetulan tidak dapat untuk ikut serta pulang bersama, maka ibu
menyuruhku untuk memandu kereta. Jadi cuma ibu, aku serta dua orang lagi adik
perempuanku saja yang pulang ke kampung.
Tidak dapat dinafikan aku sebenarnya berasa agak hairan kerana ibuku akan menjadi salah seorang waris yang akan mendapat harta peninggalan nenekku. Bukan apa, kami sekeluarga tahu tentang ibuku yang menjadi satu-satunya darah daging paling dibenci oleh nenekku. Punca sebenar nenekku membenci ibuku tidak diketahui. Samada ibuku sengaja berahsia atau sebaliknya mengenai perkara tersebut, entahlah. Masalahnya, cuma ibuku yang menerima layanan buruk daripada nenekku. Adik-beradik ibuku yang lain pula dilayan seperti biasa oleh nenekku seperti tiada sebarang masalah berlaku antara mereka. Namun apa yang pasti, ibuku hanya sekadar mampu untuk bersabar dengan setiap makian yang diterimanya. Bayangkan, ibu aku kerap dimaki dengan kata-kata kesat oleh nenekku sejak dari zaman remaja lagi. Disebabkan itulah ibuku jarang sekali untuk pulang ke kampung menjenguk nenekku. Seingatku, kali terakhir kami sekeluarga menjejakkan kaki ke kampung adalah pada 10 tahun yang lepas iaitu sewaktu aku berusia 15 tahun. Waktu tersebut, aku sendiri melihat bagaimana nenekku tidak berhenti menyebut perkataan “anak haram, babi, sial, kau anak anjing, kau penghuni neraka” hingga menyebabkan ibuku makan hati. Malah waktu nenek aku meninggal pun, ibuku langsung tidak ambil peduli.
Perjalanan ke kampung ibuku memakan masa hampir 6 jam.
Difahamkan kami sekeluarga akan bermalam di rumah bapa saudaraku merangkap adik
lelaki kepada ibuku yang dikenali sebagai Joe. Rumah Pak Cik Joe tersebut terletak
betul-betul di depan rumah nenekku. Hubungan antara ibuku dengan Pak Cik Joe
sangat baik. Begitu juga dengan hubungan ibuku dengan empat orang lagi
adik-beradiknya yang lain. Masalah besar ibuku sebelum ini hanyalah nenekku. Setelah
sampai di kampung, kedatangan kami disambut dengan begitu riang oleh Pak Cik Joe.
Aku memerhatikan gerak-geri ibuku di mana dia enggan untuk memandang rumah
nenek yang terbiar tersebut. Ibuku bahkan seperti tergesa-gesa untuk memasuki
rumah Pak Cik Joe.
Sebelum melangkah masuk ke dalam rumah Pak Cik Joe, aku sempat menoleh ke arah rumah nenekku itu. Rumah jenis papan kayu. Di beranda rumah tersebut, masih ada sebuah kerusi goyang rotan yang dahulu pernah menjadi tempat duduk nenekku pada waktu setiap petang. Tiba-tiba saja aku melihat kerusi goyang rotan tersebut bergoyang dengan perlahan.
“Amy! Cepat masuk!
Tunggu apa lagi dekat pintu tu...” Pak Cik Joe berbunyi dari dalam
rumahnya. Dia sedang menunjukkan tempat bilik untuk kami tidur kepada ibuku.
Apabila aku menoleh semula ke arah rumah nenekku, kerusi
goyang rotan itu sudah pun berhenti bergoyang. Waktu ini, aku memang mula
berasa tidak sedap hati.
Selesai makan malam, kami semua duduk di ruang tamu. Macam-macam
yang diborakkan oleh Pak Cik Joe dan isterinya iaitu Mak Cik Tina. Maklumlah,
mereka yang hanya tinggal berdua di rumah tersebut sudah lama tidak bertemu
dengan kami. Tepat jam 10.00 malam, ibuku menyuruh aku serta adik-adikku supaya
tidur awal. Aku mula mengesyaki ada sesuatu peribadi yang ingin dibual antara
ibuku dengan Pak Cik Joe. Aku pun masuk ke dalam bilik tidur bersama dengan
adik-adikku sebelum menutup pintu. Tidak lama setelah kedua-dua adikku itu
tidur, aku merapatkan telinga pada pintu untuk mengintip perbualan ibuku dengan
Pak Cik Joe yang masih berada di ruang tamu.
“Setiap malam dia muncul?” Ibuku inginkan kepastian.
“Ye, dah seminggu. Dalam
jam 1, 2 pagi, dia berjalan keliling rumah ni. Kadang-kadang ketuk pintu.” Jawab
Pak Cik Joe.
“Pasti ke dia?” Soalku
ibuku lagi.
“Ye...Lagi satu, akak
cakap apa dengan budak-budak tu sampai bawa diaorang sekali. Patut tinggalkan
jelah dengan abang Adam.” Kata Pak Cik Joe.
“Abang Adam biasalah,
sibuk dengan kerja. Kalau tinggal diaorang dekat rumah, nanti tak ada siapa nak
tengok.” Jawab ibuku.
Okay, aku boleh tangkap. Ibuku ternyata berbohong. Dia bukan
pulang ke kampung untuk urusan bahagi harta tetapi seperti ada perkara lain
yang perlu diselesaikan. Cuma aku tidak faham gerangan “dia” yang dimaksudkan.
“Kalau berterusan
macam mana?” Ibuku menyoal.
“Tengok dulu malam ni
macam mana. Kalau dia muncul dan sebut nama akak, rasanya kita kena ikhtiar
bersamalah hal ni.” Pak Cik Joe memberi cadangan.
Sesi perbualan ibuku dengan Pak Cik Joe terhenti setakat
itu.
Malam tersebut, puas aku cuba untuk melelapkan mata. Walau bagaimanapun, entah kenapa aku langsung tidak boleh tidur. Hinggalah jam 1.15 pagi, barulah aku berasa mengantuk. Belum sempat lagi aku tidur, kedengaran bunyi orang sedang berjalan di luar rumah bahagian bilik tidurku.
“Juliaaa....awak dah
datang ye nak...” Kedengaran suara seorang wanita tua.
Mataku automatik terus terbuka luas. Semua bulu romaku pula
naik meremang.
Julia? Itu nama ibuku. Ya, nama ibuku sedang dipanggil oleh wanita tua di luar rumah itu!
BERSAMBUNG...
Catat Ulasan for "KISAH NENEK YANG MENUNGGU KEPULANGAN IBUKU"