Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH TANGGA KEMATIAN

Gambar sekadar hiasan

    Kisah ini telah berlaku pada 14 tahun yang lepas. Waktu tersebut, aku sudah berusia 14 tahun. Dijadikan cerita iaitu pada satu hari, aku telah merancang untuk pergi menonton wayang bersama dengan dua orang rakanku yang hanya dikenali sebagai A dan B.

    Pekan tempat aku tinggal boleh dikatakan sebagai pekan koboi. Jadi kalau nak pergi mana-mana pawagam, kenalah pergi ke kawasan bandar besar. Cuma sehari sebelum pergi menonton seperti yang telah dirancang, B telah menelefon aku untuk memberitahu bahawa dia tidak dapat untuk ikut serta kerana perlu menghadiri kelas bermain biola. Perkara tersebut sememangnya agak mengecewakan aku kerana sudah lama kami bertiga tidak menonton wayang bersama-sama. Walau bagaimanapun, kekecewaan aku sedikit terubat apabila B berjanji untuk bertemu aku dan A di sebuah stesen sejurus selepas tayangan wayang itu tamat.

    Keesokan harinya yakni setelah selesai menonton wayang, aku dan A pun pergi berjalan kaki menuju ke stesen seperti yang dijanjikan bersama B. Sewaktu dalam perjalanan tersebut, A telah memberi cadangan untuk pergi ke stesen itu dengan menggunakan jalan pintas iaitu melalui tingkat tiga dalam sebuah bangunan. Di tingkat tiga bangunan tersebut, terdapat sebuah jejantas yang menghubungkan terus ke stesen dimaksudkan. Aku tidak mempunyai sebarang masalah dengan cadangan yang telah diberikan oleh A.

    Aku dan A kemudian pergi ke tingkat tiga bangunan yang mempunyai banyak lot kedai itu dengan menaiki tangga dari luar. Namun sampai saja di tingkat tiga, kami berdua mendapati tiada sebarang pintu masuk di situ. Saat tersebut, aku tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa tingkat tiga itu adalah ruang stor atau lokasi penyimpanan barang oleh peniaga .

    “Kita patut turun semula ke tingkat satu atau pakai jalan biasa tu je?” Aku inginkan kepastian daripada A.

    “Tak apa. Kita masuk ikut tingkat empat, lepas tu cari mana-mana tangga yang boleh turun ke tingkat tiga.” Balas A.

    Aku dan A pun naik ke tingkat empat. Sama seperti tingkat tiga, tingkat empat pun tidak mempunyai sebarang pintu masuk. Begitu juga dengan tingkat lima. Kami berdua naik dan terus naik hinggalah ke tingkat 10. Cuma semasa berada di tingkat 10 tersebut, aku berasa sangat pelik dan aneh. Ini kerana aku benar-benar yakin bangunan itu sebenarnya tidak sampai 10 tingkat pun. Walau bagaimanapun, A tetap meyakinkan aku untuk meneruskan perjalanan.

    Aku dan A sampai di tingkat 20. Saat melihat tangga di kawasan tersebut, aku yakin ada sesuatu yang tidak kena. Ini kerana tangga di tingkat 20 itu kelihatan sangat berbeza di tingkat lain. Tangga yang nampak sudah begitu berkarat tersebut seolah-olah sudah terbiar selama bertahun-tahun. Memang menyeramkan. Aku mula ketakutan.

    “Weh, jomlah balik. Macam tak normal je ni.” Aku mengajak A untuk berpatah balik.

    A bagaimanapun langsung tidak menghiraukan aku.

    “Hahaha. Ini tak normal ye.” Balas A sambil ketawa. Dia menuruni satu persatu anak tangga dengan gaya yang pelik.

    “Laa...kau dah kenapa gelak ni. Jomla patah balik.” Aku yang berada di belakang enggan meneruskan perjalanan.

    “Hahaha. Ini tak normal ye.” A mengulangi semula ayatnya.

    Aku dari belakang jelas dapat melihat setiap pergerakan tangan serta kaki A seperti dipaksa. Lebih kurang seakan boneka yang dikawal.

    Sampai satu ketika, pergerakan A terhenti. Perlahan-lahan kepalanya berpusing ke belakang menoleh ke arahku. Apa yang sangat menakutkan aku, A memandangku dengan kedua-dua matanya tiba-tiba menjadi kehitaman. Sempat juga dia tersenyum. Melihat dia seperti itu, aku terus melarikan diri dengan larian sepantas mungkin. Aku sendiri tidak menyedari bagaimana aku boleh sampai di depan sebuah kedai farmasi yang terletak di tingkat satu bangunan tersebut. Disebabkan terlampau panik, aku terus berlari hingga ke stesen tempat B menunggu.

    B kehairanan melihat aku datang bersendirian dalam keadaan muka pucat. Aku menariknya pergi ke sebuah restoran makanan segera yang berdekatan sebelum menceritakan segala-galanya. Setelah mendengar cerita aku, B mengajakku kembali semula ke bangunan itu untuk mencari A. Kata B, A tidak boleh dibiarkan begitu saja. Mendengar perkara tersebut, aku bersetuju untuk mengikuti B.

    Sekali lagi perkara aneh yang berlaku sewaktu aku dan B sampai di tingkat tiga. Kali ini, ada pintu masuk di situ! Kami berdua masuk. Semuanya nampak normal. Tiada apa yang menyeramkan pun. Lagi tak masuk akal, bangunan itu hanya ada empat tingkat saja! Sesudah gagal untuk mengesan A, aku dan B pun pulang ke rumah. Aku mengharapkan A akan muncul di sekolah pada keesokan harinya yang bermaksud dia sudah pun keluar dari bangunan itu.

    Ternyata A langsung tidak datang ke sekolah pada hari tersebut. B kemudian datang berjumpa denganku di mana dia memberitahu telah bermimpi tentang si A yang sedang menangis teresak-esak di dalam sebuah hutan dengan keadaannya berkaki ayam. B yakin itu adalah sesuatu petanda buruk. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Beberapa hari berikutnya, A telah dilaporkan hilang oleh keluarganya. Aku dan B dipanggil pihak polis untuk membantu siasatan. Cumanya kami berdua menutup mulut mengenai kejadian di tingkat 20 bangunan tersebut.

    Hanya selepas beberapa bulan berlalu, barulah ada berita tentang penemuan mayat A. Mayatnya yang sudah mereput itu telah ditemui di atas tangga kuil yang terletak di kawasan pergunungan berlokasi kira-kira 100 kilometer dari pekan kami. A dipercayai sudah pun mati lebih dari sebulan. Perkara apa sebenarnya yang berlaku kepada A, kekal menjadi misteri.

-TAMAT- 

Nota : Kisah ini adalah terjemahan daripada kisah A Horror in a Multi-Tenant Building.

Catat Ulasan for "KISAH TANGGA KEMATIAN"