Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

SAMPAI HATIMU ANAKKU...

    Kisah ini dilaporkan berlaku pada tahun 2017. Tahun tersebut, Sandeep Nathwani adalah seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai seorang profesor di sebuah kolej farmasi terletak di Rajkot Gujarat. Dia tinggal di sebuah apartment mewah bersama dengan isteri dan ibunya iaitu Jayshree Nathwani yang berusia 64 tahun. Pada mulanya, Sandeep hanya tinggal berdua bersama isterinya di apartment tersebut. Namun selepas kehadiran Jayshree di apartment itu, Sandeep dan isterinya kerap bertengkar. Jayshree yang juga merupakan seorang pesara guru terpaksa tinggal sekali di situ berikutan keadaan kesihatannya semakin merosot sekaligus memerlukan penjagaan daripada waris terdekat.

    Kisah sebenar bermula pada 27 September 2017 apabila pihak polis Rajkot menerima maklumat tentang penemuan mayat seorang wanita tua tidak lain tidak bukan dikenal pasti sebagai Jayshree di satu kawasan blok bangunan. Berdasarkan siasatan awal yang pihak polis jalankan, Jayshree dipercayai mati bunuh diri dengan cara terjun dari tingkat atas bangunan apartment tersebut berkemungkinan disebabkan sudah putus harapan dengan penyakit yang dialaminya. Menerusi keterangan daripada Sandeep, dia mendakwa bahawa ibunya pada waktu sebelum kejadian sempat memberitahu ingin keluar dari apartment untuk bersembahyang. Tidak lama kemudian, Sandeep telah didatangi oleh seorang lelaki pengawal keselamatan yang memberitahu mayat Jayshree ditemui di lantai tingkat bawah kawasan apartment itu.

    Hinggalah pada bulan Januari 2018 yakni tiga bulan selepas kes kematian Jayshree diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri, pihak polis yang berkaitan telah menerima satu maklumat penting menerusi surat kiriman daripada individu tidak dikenali. Apa yang mengejutkan pihak polis, Jayshree bukanlah membunuh diri akan tetapi dibunuh oleh Sandeep sendiri. Malah pada beberapa hari sebelum Jayshree ditemui mati, dia telah menjalani pembedahan kesihatan di hospital. Lagipun selesai proses bedah itu, Jayshree hanya mampu untuk terlantar di atas katil. Perkara ini bermaksud Jayshree tidak boleh berjalan dengan sendiri tanpa bantuan. Rentetan daripada maklumat tersebut, pihak polis pun melakukan pemeriksaan pada kamera litar tertutup di sekitar blok apartment kediaman Sandeep.

    Hasil pemeriksaan pada kamera litar tertutup itu mendapati Sandeep telah memapah ibunya menaiki anak tangga sebelum dia kembali masuk ke dalam apartment secara bersendirian. Sewaktu awal penangkapan Sandeep, dia menafikan sebarang penglibatannya dengan kematian Jayshree. Dia pada akhirnya bagaimanapun telah membuat pengakuan tentang pembunuhan Jayshree sesudah ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup tersebut. Kata Sandeep, dia telah menolak jatuh ibunya dari atas tingkat atas apartment itu. Punca Sandeep tergamak untuk berbuat sedemikian adalah kerana dia sudah tidak larat lagi untuk menjaga ibunya yang sudah semakin uzur tersebut. Jayshree  jugalah selalu menjadi punca pertengkaran yang selalu berlaku antara Sandeep dan isterinya.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada tahun 2021, Sandeep yang didapati bersalah atas pertuduhan membunuh ibunya sendiri telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Tonton sendiri rakaman kejadian di sini : https://youtu.be/cSPBphbv4P0

Catat Ulasan for "SAMPAI HATIMU ANAKKU..."