MISTERI TELEFON PUTIH
Diceritakan ada seorang lelaki tinggal bersama dengan isteri
dan seorang anak perempuannya di sebuah rumah yang terletak di bandar besar
Jepun. Rumah yang mereka baru duduki itu adalah sebuah rumah lama yang telah
dibina pada zaman Showa. Malah rumah serta aset yang sedia ada dalam rumah
tersebut adalah di bawah perlindungan kerajaan.
Di bahagian ruang tamu rumah itu, terdapat sebuah telefon
berwarna putih. Pada satu hari, telefon tersebut mula berdering tidak kira sama
ada waktu siang atau malam. Namun setiap kali panggilan itu dijawab, tiada
suara pemanggil pun yang didengari. Deringan telefon tersebut berlaku secara
berterusan hingga menyebabkan keluarga itu benar-benar rasa terganggu. Manakan
tidak, suara si pemanggil tetap tidak kedengaran.
Satu malam, telefon itu berdering seperti kebiasaannya. Gagang telefon tersebut diangkat oleh lelaki itu sebelum dibiarkan saja di atas permukaan meja. Belum sempat lelaki tersebut memasuki semula ke dalam biliknya, dia tiba-tiba terdengar sesuatu. Suara manusia berbisik. Suara bisikan itu datang dari arah telefon tersebut. Lelaki itu pun mengangkat gagang telefon tersebut akan tetapi keadaan tetap sama di mana tiada suara pun yang dia dengari.
Beberapa hari berikutnya, lelaki itu cuba sengaja membiarkan
gagang telefon tersebut di atas permukaan meja pada waktu setiap kali selepas
deringan berbunyi. Cuma setiap kali dia berbuat sedemikian, suara bisikan
manusia itu pasti akan muncul. Apa yang peliknya, suara bisikan tersebut akan
hilang apabila gagang telefon itu diangkat.
Sampai satu masa, keluarga tersebut berasa seperti dipermainkan.
Jadi lelaki itu bukan saja menukar nombor telefon bahkan turut membuat aduan
kepada syarikat telefon dan melaporkan insiden gangguan tersebut kepada pihak
polis. Walau bagaimanapun, deringan telefon itu tidak pernah berhenti. Bunyi ring ring tidak mengira waktu siang atau
malam. Disebabkan itu, lelaki berkenaan mengesyaki bunyi deringan telefon
tersebut mempunyai unsur ghaib. Jadi dia pun meminta bantuan daripada seorang
bomoh untuk melakukan upacara pengusiran roh jahat. Lelaki itu bagaimanapun
berasa kecewa kerana usaha tersebut hanyalah sia-sia. Telefon itu tetap
berdering seperti biasa.
Hingga pada akhirnya, lelaki tersebut tekad untuk menjual
rumah itu. Namun pada hari keputusan tersebut dibuat, telefon itu tiba-tiba
berhenti berdering. Perkara itu sedikit pun tidak mengubah fikiran lelaki
tersebut. Keesokan paginya, anak perempuan lelaki itu tiba-tiba ditemui mati
membunuh diri dengan cara menggantung lehernya pada siling berdekatan dengan
telefon putih tersebut. Terdapat sekeping nota di sebelah meja itu yang
bertulis,
“Maafkan saya. Sayalah
yang menelefon selama ini.”
Nota tersebut ternyata membuatkan lelaki dan isterinya itu
berasa sangat sedih. Sukar pasangan tersebut untuk menerima kematian
satu-satunya anak mereka. Mereka sendiri tidak memahami punca sebenar anak
mereka itu membunuh diri. Hari-hari suami isteri tersebut di rumah itu dipenuhi
dengan tangisan mereka.
Selepas beberapa bulan berlalu, barulah pasangan suami isteri itu kembali bangkit untuk meneruskan kehidupan. Mereka juga membatalkan niat untuk menjual rumah tersebut. Tidak lama sesudah itu, deringan telefon tersebut kembali kedengaran. Perkara sama berlaku. Gagang diangkat, tiada suara. Lelaki itu menjadi keliru. Mengapa telefon tersebut berdering sedangkan anak perempuannya sudah pun pergi buat selama-lamanya. Dalam fikiran lelaki itu, adakah benar anak perempuannya yang menefon sebelum itu? Jika ya, mengapa telefon tersebut berdering semula selepas berbulan-bulan berlalu?
Bagi merungkai misteri deringan telefon itu, lelaki tersebut
membeli pita rakaman suara. Malam hari yang sama, telefon itu pun berdering. Mendengar
deringan tersebut, lelaki itu bergegas pergi mengangkat gagang telefon itu
sebentar sebelum diletakkan semula di atas permukaan meja. Sebelum berlalu
pergi, lelaki tersebut meletakkan pita rakaman itu berdekatan dengan gagang
telefon. Keesokan harinya, lelaki itu memainkan pita rakaman tersebut. Menerusi
rakaman itu, lelaki tersebut jelas mendengar suara bisikan seorang perempuan
yang berkata,
“Tolong aku...tolong aku..tolong aku..”
Rakaman suara tersebut telah mendorong lelaki itu menjual
rumahnya itu. Kali ini, rumah tersebut betul-betul dijual. Sejak itu, rumah
tersebut dikatakan kerap bertukar pemilik. Tiada seorang pun daripada pemilik
tersebut menduduki rumah itu untuk satu tempoh yang lama. Semua gara-gara
deringan telefon itu.
Sampailah satu ketika, rumah tersebut telah diubah suai.
Semasa proses pengubahsuaian rumah itu dibuat, seorang pekerja telah menemui tengkorak
manusia di dalam lantai berdekatan dengan telefon putih tersebut dipercayai
milik seorang wanita. Tulang rangkanya pula tidak ditemui. Susulan penemuan
mengerikan itu, proses pengubahsuaian rumah tersebut telah dihentikan
serta-merta. Tapak rumah tersebut kekal menjadi hak milik kerajaan. Tiada mana-mana
pihak dibenarkan untuk memasuki kawasan itu apatah lagi untuk dibangunkan. Nama
kawasan rumah tersebut juga telah dipadam daripada peta.
Nota :
Kisah ini adalah terjemahan daripada kisah asal The White Phone.
Catat Ulasan for "MISTERI TELEFON PUTIH"