INDONESIA - Seorang
lelaki berusia 57 tahun dari Banyumas, Jawa Tengah telah ditangkap oleh pihak
polis selepas disyaki melakukan hubungan sumbang mahram dengan anak perempuan
kandungnya sendiri. Penangkapan lelaki yang dikenali sebagai Rudi tersebut dibuat
susulan penemuan empat rangka bayi berbalut dengan kain di sebuah kebun pada 15
Jun lalu. Difahamkan Rudi melakukan perbuatan terkutuk terhadap anak
perempuannya dengan nama E itu di pondok dalam kebun tersebut sejak dari tahun
2013. Hasil hubungan terlarang tersebut juga telah menyebabkan E bersalin
sebanyak tujuh kali. Hingga setakat artikel ini ditulis, pihak polis masih lagi
giat menjalankan operasi pencarian baki tiga lagi rangka bayi yang dipercayai
ditanam di kawasan kebun yang sama.
Berdasarkan keterangan rasmi daripada pihak berkuasa, Rudi
yang juga merupakan seorang dukun mengaku telah membunuh ketujuh-tujuh bayi
berkenaan bermula dari tahun 2013 hingga 2021 dengan menekup mulut mereka
dengan menggunakan kain. Alasan Rudi merogol anak perempuan kandung dan semua
bayi tersebut adalah atas arahan daripada guru spiritual yang bernama Bambang. Pihak
polis bagaimanapun masih lagi menyiasat motif sebenar perbuatan keji Rudi itu sama
ada benar-benar disebabkan arahan guru spiritual tersebut atau E selama ini
hanya dijadikan sebagai pemuas nafsu semata-mata.
Seperkara yang harus diketahui pihak tentang kes ini adalah
isteri Rudi selaku ibu kandung E sudah lama mengetahui mengenai hubungan
sumbang mahram antara suami dan anak perempuannya. Lagi mengejutkan, isteri
Rudi bahkan membantu E dari awal hingga akhir setiap kali anak perempuannya itu
bersalin. Isteri Rudi tidak pernah mengadu kepada sesiapa atau membuat laporan
polis kerana dia sering diugut bunuh oleh suaminya jika berbuat sedemikian. Sementara
itu E yang berusia 25 tahun kini dalam jagaan pihak polis dilaporkan berada
dalam keadaaan stabil serta pada masa sama diberikan rawatan secara psikologi.
Catat Ulasan for "BAPA KANDUNG KIRIMAN IBLIS"