MAJIKANKU BUKAN ORANG BIASA
Gambar sekadar hiasan |
Selepas diberhentikan sekolah, barulah aku menyedari bahawa mendapatkan sesuatu pekerjaan itu bukanlah perkara yang mudah. Siapa saja yang sudi mengambil wanita yang tidak berpendidikan seperti aku ini untuk bekerja. Sampai satu masa, aku berasa sangat malas untuk memohon jawatan kosong yang diiklankan sama ada di surat khabar atau internet kerana permohonanku sering kali tidak mendapat maklum balas.
Hinggalah satu hari, aku yang betul-betul terdesak
memerlukan wang telah terjumpa satu iklan pekerjaan sebagai pengasuh kepada
tiga orang kanak-kanak. Tiada sebarang kelayakan diperlukan akan tetapi
keutamaan diberikan kepada individu yang berperwatakan menarik,
bertanggungjawab dan paling penting muda. Aku sememangnya memenuhi ketiga-tiga
kriteria itu. Tanpa berlengah, aku pun menghubungi nombor telefon majikan yang
tertera dalam iklan tersebut. Panggilan aku itu telah dijawab dengan mesra oleh
seorang wanita. Mengejutkan, aku terus diterima bekerja oleh wanita tersebut
tanpa perlu bersemuka. Wanita itu kemudian telah meminta aku untuk datang
bekerja dengan kadar segera. Aku berasa sangat gembira.
Keesokan paginya, aku pun tiba di rumah majikanku. Rumah yang besar dan cantik tersebut menandakan bahawa majikanku sememangnya orang kaya-raya. Kedatanganku telah disambut dengan baik oleh majikanku yang juga merupakan pasangan suami isteri. Aku seterusnya diperkenalkan kepada tiga orang anak mereka yakni dua lelaki serta seorang perempuan. Si sulung namanya Sebastian, 6 tahun. Kedua pula Damian, 5 tahun. Si bongsu yang berusia 4 tahun bernama Lenka. Tiga beradik tersebut ternyata senang untuk dijaga kerana tidak mempunyai banyak kerenah sama sekali. Mereka bertiga jarang bergaduh selain gemar bermain bersendirian dan menghabiskan masa untuk membaca buku.
Malam itu, aku diberitahu oleh majikanku bahawa mereka
berdua akan keluar untuk pergi makan malam. Jadi tugas aku pada malam tersebut
hanyalah untuk menidurkan ketiga-tiga anak majikanku kerana difahamkan mereka
semua sudah pun makan. Si ibu memberikan pesanan untuk segera menghubunginya
dengan kadar segera sekiranya berlaku apa-apa kecemasan. Si bapa pula berpesan
kepadaku supaya menganggap rumah mereka seperti rumah sendiri. Aku bahkan
disuruh untuk mengambil apa-apa makanan dalam peti sejuk jika sedang kelaparan.
Setelah majikanku keluar dari rumah, aku pun duduk di sofa untuk menonton televisyen bersama dengan tiga orang kanak-kanak itu. Sewaktu sesi iklan pada televisyen tersebut, aku yang berasa lapar pun bangun lalu pergi ke bahagian dapur. Peti ais pun dibuka. Saat mencari makanan, aku mendapati terdapat dua bekas balang berbalut dengan getah dan kertas yang mencurigakan dalam peti sejuk itu. Disebabkan rasa yang membuak ingin tahu, tangan aku pun gatal membuka penutup balang yang dimaksudkan. Selesai dibuka, aku mendapati terdapat ketulan daging aneh. Aku yakin daging itu bukanlah daging lembu atau khinzir.
Sebaik saja aku nak letakkan semula balang itu, aku dikejutkan
dengan kehadiran Sebastian yang tiba-tiba berdiri di belakangku. Matanya
merenung tajam ke arahku.
“Letak balik balang
tu.” kata Sebastian.
“Itu bukan awak punya.”
"Minta maaf. Saya cuma nak cari makanan." Jawabku tanpa memandang wajah Sebastian.
Sebastian diam serta pada masa sama matanya terus memerhatikan gerak-geriku. Aku pun cepat-cepat meletakkan semula balang tersebut di dalam peti sejuk tersebut. Selesaiku berbuat sedemikian, barulah Sebastian beredar pergi. Aku pula terus jadi hilang selera makan. Maka aku pun mengorak langkah menuju semula ke ruang tamu. Pada skrin televisyen, tayangan berita baru saja bermula. Berita tergempar yang menjadi tajuk utama, seorang gadis remaja telah dilaporkan hilang. Kepala gadis itu bagaimanapun sudah ditemui di sebuah tempat pembuangan sampah. Pembaca berita turut melaporkan bahawa pihak polis masih lagi giat menjalankan operasi pencarian tubuh badan gadis malang tersebut. Apa yang sebenarnya berlaku kepada gadis itu masih lagi tidak dapat dipastikan.
Sesudah melihat berita mengenai gadis tersebut, entah kenapa aku berasa sangat takut. Aku pun segera menukar siaran televisyen. Jam pun sudah semakin lewat. Jadi aku pun menyuruh Sebastian, Damian dan Lenka untuk pergi tidur. Mujur sajalah mereka tidak mempunyai banyak kerenah. Ketiga-tiga mereka mendengar kata-kataku. Kerja aku menjadi senang. Usai menidurkan mereka bertiga di dalam bilik tidur, aku kembali ke ruang tamu. Dek kerana berasa agak bosan, aku pun menyelongkar koleksi DVD yang ada pada rak televisyen. Kebanyakan DVD itu adalah koleksi cerita kartun. Dah puas selongkar, ada sekeping DVD yang benar-benar menarik perhatianku. Judul pada kulit kosong DVD itu agak pelik iaitu "M Girls." sekaligus menyebabkan aku didorong perasaan inginkan kepastian.
Aku memasukkan DVD "M Girls" ke dalam set pemain DVD. Cerita pun dimulakan dengan rakaman yang menunjukkan ruang tamu sebuah rumah. Kedengaran juga audio suara bunyi gelak-tawa seisi keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak. Peluh mula membasahi dahiku apabila mendapati ruang tamu dalam rakaman video tersebut sama dengan ruang tamu tempat aku duduk sekarang. Lagi mendebarkan aku, ada seorang gadis dalam rakaman video itu seperti dalam ketakutan. Aku cam wajah gadis tersebut. Ya! Dialah gadis remaja hilang yang baru saja aku tonton dalam berita! Aku syak gadis itu berkemungkinan besar pengasuh sebelum aku di rumah ini. Matilah aku.
Aku tidak membuang masa untuk cepat-cepat memadamkan pemain DVD tersebut. Ada benda yang telah bermain dalam fikiranku. Bagi memastikan perkara tersebut, aku pergi ke ruang dapur. Pintu sejuk dibuka. Balang aneh yang aku lihat pada waktu sebelum itu pantas dibuka. Daging di dalam balang yang dipenuhi dengan air kemerahan tersebut berkemungkinan besar adalah daging manusia tidak lain bukan, daging gadis remaja yang hilang berkenaan. Tanpa sengaja, balang itu terlepas dari tanganku hingga jatuh pecah di atas lantai.
Larikan diri! Itulah yang aku lakukan kerana enggan nasibku menjadi seperti gadis remaja yang hilang itu. Sewaktu cuba melarikan diri, aku terkejut melihat Sebastian berdiri di depan pintu masuk. Damian dan Lenka pula berada di atas tangga. Sebastian cuba untuk menahanku dengan mukanya yang nampak begitu kemarahan.
"Awak nak pergi mana?" soal Sebastian.
"Nak pergi ambil barang jap." Aku berdalih dengan berlagak tenang.
Kelihatan Damian dan Lenka menuruni anak tangga dengan laju. Mereka berdua berlari mendekatiku.
"Awak tak boleh keluar! Awak kena tunggu dekat sini! Kami lapar!" Sebastian tiba-tiba menjerit sekuat hatinya.
Mendengar apa yang diperkatakan Damian itu, aku kian cuak. Maka dengan pantas aku menolak badannya hingga dia jatuh tersungkur. Aku sudah tidak mempedulikan tentang dirinya sebagai kanak-kanak. Bagi aku, apa yang penting pada waktu ini adalah keselamatanku sendiri.
Saat aku menghampiri keretaku, entah sama ada kebetulan atau sebaliknya, majikanku muncul di luar yang menandakan mereka sudah pun pulang. Aku yang terkejut apa lagi, cepat-cepat memasuki keretaku dan terus mengunci semua pintu. Sempat jugaku melihat Sebastian, Damian dan Lenka yang sedang menangis teresak-esak di pintu masuk rumah mereka. Tangisan mereka itu sekaligus menyebabkan majikanku berlari laju ke arah keretaku.
Majikanku mengetuk tingkap pintu keretaku secara berulang kali dengan begitu kuat. Muka mereka berdua nampak bengis.
" Apa yang berlaku? Kau nak pergi mana hah! Keluar sekarang!" Jerit majikan lelakiku. Suaranya kedengaran garau yakni sangat berbeza sewaktu kali pertamaku berjumpa dengannya. Aku tidak menjawab. Selepas berjaya menghidupkan kereta, aku menekan habis pedal minyak. Kereta pun bergerak dengan laju meninggalkan majikanku. Melalui cermin sisi, jelas mereka berusaha cuba untuk mengejarku. Namun lama-kelamaan majikanku tersebut hilang daripada pandangan mata.
Aku kemudian telah pergi ke balai polis untuk melaporkan tentang apa yang sudah berlaku pada malam itu. Pihak polis pada mulanya meragui laporan yang aku buat. Mereka bagaimanapun tetap mengambil tindakan sewajarnya dengan menghantar dua unit peronda ke rumah majikanku tersebut. Setibanya di lokasi, majikanku berserta dengan anak-anak mereka gagal untuk dikesan sama sekali. Hasil pemeriksaan selanjutnya di rumah itu telah membawa kepada penemuan daging manusia dalam balang. Lain-lain penemuan yang mengerikan adalah tulang manusia di bilik bawah tanah. Keputusan ujian forensik mengesahkan daging dan tulang yang ditemui tersebut adalah milik gadis remaja yang hilang seperti dalam laporan berita itu.
Mujur sajalah aku terselamat daripada menjadi mangsa kanibalisme oleh majikanku. Cumanya aku tidak pernah hidup tenteram kerana sentiasa memikirkan lokasi sebenar mereka berada. Adakah masih tinggal di mana-mana dengan menggunakan identiti baru? Bukan apa kerana kerisauanku yang sebenar adalah mereka mungkin menyimpan dendam kepadaku. Perkara ini bermaksud aku mungkin jadi buruan mereka. Hm, harap semuanya sentiasa selamat. Doakanku.
-TAMAT-
Sumber : Scary 4 kids
Catat Ulasan for "MAJIKANKU BUKAN ORANG BIASA"