GARA-GARA MINTA DIKAHWINI KERANA HAMIL, WANITA INI DIBUNUH DENGAN KEJAM
INDONESIA - Seorang
wanita berusia 26 tahun yang hanya dikenali sebagai P dilaporkan telah menjadi
mangsa satu pembunuhan kejam. Media tempatan Indonesia melaporkan wanita tersebut
mati dibunuh oleh teman lelakinya yang dikenal pasti sebagai Hermawadi
Sihotang, 30 tahun. Difahamkan motif pembunuhan berpunca daripada Hermawadi yang
enggan untuk bertanggungjawab atas kehamilan P.
Kejadian pembunuhan ini dikatakan telah berlaku pada 8 Julai
2023 lalu bertempat di sebuah rumah sewa yang terletak di Cengkareng, Jakarta.
Selepas membunuh P, Hermawadi bertindak untuk menyembunyikan mayat teman
wanitanya itu di bawah singki rumah tersebut dengan longgokan pakaian dan
sampah. Mayat mangsa kemudian telah ditemui oleh penduduk setempat pada 12
Julai 2023 ekoran bau busuk dari lokasi kejadian. Penangkapan Hermawadi pula
berjaya dibuat pada kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa dibuat.
Berdasarkan keterangan rasmi daripada pihak berkuasa,
Hermawadi bertindak di luar kawalan setelah P berulang kali meminta untuk
dikahwini kerana telah hamil. Hermawadi bagaimanapun tidak bersedia untuk
menggalas tanggungjawab itu berikutan dia yang masih belum cukup stabil
daripada segi ekonomi. Setelah hampir sebulan pasangan tersebut bergaduh
tentang perkara itu, Hermawadi akhirnya membunuh P dengan cara cekikan leher.
Hermawadi yang kini berada di bawah tahanan pihak polis bakal berdepan dengan hukuman penjara maksimum selama 15 tahun jika dia disabitkan kesalahan.
Catat Ulasan for "GARA-GARA MINTA DIKAHWINI KERANA HAMIL, WANITA INI DIBUNUH DENGAN KEJAM"