KISAH BENAR SERAM PENAMPAKAN SUZANNA
Siapa saja tidak mengenali aktres Indonesia yang bernama
Suzanna Martha Frederika van Osch atau nama lainnya, Suzzanna. Aktres ini
terkenal dengan jolokan ratu seram layar Indonesia kerana kebanyakan filem yang
dibintanginya adalah filem bergenre seram di mana dia sering memegang watak
sebagai hantu. Watak hantu lakonan Suzanna yang paling diingati orang ramai
adalah dalam filem Beranak dalam Kubur (1971) dan Sundel
Bolong (1981). Suzanna telah meninggal dunia pada 15 Oktober 2008 di
Magelang yakni sewaktu dia berusia 66 tahun akibat penyakit kencing manis.
Selepas kematiannya, tersebar cerita tentang Suzanna yang dikatakan menyimpan
pelbagai misteri hingga dia kerap dikaitkan dengan benda berunsurkan mistik.
Dipetik daripada Liputan6, bekas suami Suzanna iaitu Cliff Sangra mendakwa pernah melihat penampakan Suzanna di dalam bilik tidur mendiang. Cerita Cliff Sangra, Suzanna dilihat berada di satu sudut bilik yakni tempat kebiasaan mendiang duduk sambil membaca kitab. Selain itu,Cliff Sangra juga memberitahu dia turut pernah terdengar suara ketukan pada dinding. Bunyi ketukan sama seperti yang pernah dilakukan Suzanna. Difahamkan Suzanna dan Cliff Sangra tidur berasingan sepanjang tempoh kehidupan mereka berumah tangga. Perkara ini berikutan Suzanna lebih gemar bersendirian di dalam bilik tidurnya. Suzanna akan mengetuk dinding bilik sekiranya menginginkan sesuatu. Jadi saat Cliff Sangra mendengar bunyi dinding bilik diketuk, dia faham bahawa isterinya sedang memerlukan sesuatu.
Nana Mahliana yang juga merupakan isteri kepada Cliff Sangra turut berkongsi pengalaman seramnya. Hanya segelintir individu sahaja dikatakan yang berani memasuki bilik tidur mendiang Suzanna. Nana menceritakan bagaimana cuma kipas dalam bilik mendiang Suzanna kekal berpusing semasa bekalan elektrik di rumah tersebut terputus.
“Setiap tiga hari
sekali dibersihkan (merujuk bilik mendiang Suzanna), kadang-kadang saya yang
bersihkan. Ada kalanya ada orang lain juga yang membantu, cuma dia (Cliff
Sangra) selalu menemani saya, takut jugalah.” kata Nana Mahliana.
Dalam satu lagi kejadian, Cliff Sangra yang sedang tidur
telah terdengar suara Suzanna memanggilnya. Cliff Sangra kemudian bangun lalu
dia melihat Suzanna sedang duduk di kerusi sofa dengan tangannya memegang alat
kawalan televisyen. Waktu tersebut, Suzanna kelihatan sedang marah dengan
rancangan televisyen yang dia sedang tonton. Saat Cliff Sangra kembali ke
bilik, barulah dia menyedari Suzanna yang baru dia lihat bukanlah Suzanna
kerana isterinya itu sudah pun lama meninggal dunia. Namun sewaktu Cliff Sangra
keluar semula dari bilik, Suzanna tidak lagi kelihatan.
Pada tahun 2021, Cliff Sangra telah mendedahkan satu pesanan terakhir Suzanna sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Pesanan yang dimaksudkan adalah Suzanna meminta satu gincu merah untuk dimasukkan ke dalam kerandanya.
"Dia memberitahu saya, kalau dia
meninggal dunia gincu merah itu harus dimasukkan juga ke dalam keranda.
Jadi, apabila dia meninggal dunia pada 2008, saya meletakkan lipstik pada tangannya"
Artikel terdahulu tentang empat perkara aneh yang berlaku setelah kematian Suzanna boleh baca di sini. Empat Perkara Aneh yang Berlaku Selepas Kematian Suzanna.
Catat Ulasan for "KISAH BENAR SERAM PENAMPAKAN SUZANNA "