Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SHABNAM, BUNUH TUJUH AHLI KELUARGA DEMI CINTA SEJATI

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2008 bertempat di negara India. Tahun tersebut, Shabnam adalah seorang wanita berusia 24 tahun yang bekerja sebagai seorang guru di mana dia tinggal bersama dengan tujuh orang ahli keluarganya iaitu Shaukat Ali (bapa, 55 tahun), Hashmi (ibu, 50 tahun), Anees (35 tahun), Anjum (kakak ipar, 25 tahun), Rashid (adik, 22 tahun), Rabia (sepupu, 14 tahun) dan Arsh (anak saudara, 10 bulan).

    Pada tahun kejadian, Shabnam telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki berbangsa Pashtun dikenali sebagai Saleem. Hubungan percintaan pasangan itu bagaimanapun ditentang sekeras-kerasnya oleh keluarga Shabnam atas perbezaan kasta lebih-lebih lagi status Saleem adalah seorang penganggur. Shabnam bagaimanapun tetap keras kepala untuk meneruskan hubungan dengan Saleem hinggalah pada akhirnya dia telah hamil tanpa pengetahuan keluarganya. Demi cintanya kepada Saleem, Shabnam kemudian bersepakat dengan teman lelakinya itu membunuh keluarganya yang selama ini menghalang mereka berdua daripada disatukan. Malah Shabnam juga beranggapan bahawa dia akan mewarisi harta keluargnya sekaligus dapat hidup bahagia bersama dengan Saleem hingga hujung nyawa.

    Kisah sebenar bermula pada malam 14 April 2008 apabila penduduk kampung dikejutkan dengan bunyi suara tangisan Shabnam. Wanita tersebut pergi dari satu rumah ke satu rumah penduduk bagi meminta pertolongan dengan dia mendakwa semua ahli keluarganya telah mati dibunuh oleh penceroboh yang tidak dikenali. Mendengar perkara mengejutkan itu, penduduk kampung bergegas menuju ke rumah Shabnam sebelum mendapati apa yang diperkatakan wanita berkenaan adalah benar belaka. Semua mayat ahli keluarga Shabnam ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kesan tetakan pada bahagian leher kecuali Arsh yang dipercayai mati dicekik.

    Bercerita tentang pihak polis yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian, mereka mendapati terdapat beberapa perkara mencurigakan. Perkara yang dimaksudkan adalah tiada sebarang tanda rumah diceroboh, tiada tanda pergelutan, tiada kesan cap jari dan keterangan yang tidak konsisten daripada Shabnam.  Dalam erti kata lain, penceroboh seperti yang Shabnam ceritakan sebenarnya adalah tidak wujud sama sekali. Rentetan daripada perkara itu, pihak polis bertindak untuk memeriksa telefon Shabnam lalu mengesan terdapat 52 log panggilan antara wanita tersebut dengan Saleem pada malam waktu kejadian. Hasil soal siasat secara keras terhadap Saleem, dia akhirnya membuat pengakuan mengenai pembunuhan yang dilakukannya bersama Shabnam.

    Petang waktu sebelum kejadian, Shabnam telah menghidangkan air teh yang sudah dicampur dengan ubat pelali kepada semua ahli keluarganya. Selepas semua ahli keluarga Shabnam tidak sedarkan diri akibat meminum air teh tersebut, barulah Saleem datang ke rumah itu dengan membawa kapak sebagai senjata pembunuhan. Ahli keluarga Shabnam seterusnya dibunuh seorang demi seorang oleh Saleem yang dibantu oleh Shabnam.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Shabnam dan Saleem yang sama-sama didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman mati. Cuma semasa dalam perbicaraan kes, Shabnam dan Saleem saling menuding jari antara satu sama lain. Mereka berdua cuba membuat rayuan akan tetapi hukuman pasangan terbabit dikekalkan sekaligus menjadikan Shabnam sebagai wanita pertama India yang akan dihukum mati atas kesalahaan jenayah. Malah anak lelaki Shabnam sendiri pernah memanjangkan rayuan tersebut kepada Presiden India terdahulu iaitu Ram Nath Kovind namun keputusan tetap sama. Tarikh sebenar pelaksaan hukuman mati itu masih belum dapat dipastikan. 

Catat Ulasan for "KISAH SHABNAM, BUNUH TUJUH AHLI KELUARGA DEMI CINTA SEJATI"