KISAH SUARA TANGISAN WANITA DI DALAM HUTAN
Gambar sekadar hiasan |
Ini adalah kisah benar yang pernah berlaku kepadaku. Semasa
aku berusia 19 tahun, aku bekerja sebagai urus setia yang menguruskan kem musim
panas. Tempat kem tersebut adalah sangat menarik di mana tempat tinggal peserta
adalah di dalam kabin kayu yang berhampiran dengan tasik. Ada dua buah kabin
iaitu satu kabin untuk kumpulan lelaki dan satu lagi kabin untuk kumpulan
wanita. Walau bagaimanapun, tempat kem ini terletak di kawasan terpencil yang dikelilingi
dengan hutan. Malah jarak perjalanan untuk menuju ke bandar terdekat adalah
sekitar 30 kilometer.
Dijadikan cerita yakni pada satu lewat malam tatkala semua
orang sudah pun tidur, aku telah terbangun. Waktu tersebut, aku berasa tidak
sedap hati. Tidak lama kemudian, aku tiba-tiba terdengar bunyi suara tangisan wanita
dari arah hutan. Aku beranggapan bahawa wanita itu berkemungkinan besar telah
tersesat di dalam hutan tersebut. Tanpa
berlengah, aku bangun dari katil lalu menggerakkan rakan sebilik yang juga
merupakan urus setia sepertiku. Sesudah
rakanku itu terjaga, aku pun menceritakan apa yang sedang berlaku. Rakanku
ternyata turut mendengar suara tangisan wanita tersebut. Dari jauh kedengaran,
“Tolong saya! Saya
sesat!”
Tanpa berlengah, kami berdua pun memakai baju dan keluar
dari kabin sambil membawa lampu suluh untuk menuju ke arah bunyi suara tangisan
itu. Sepertinya, wanita tersebut benar-benar dalam kesusahan. Sebolehnya aku
dan rakanku ingin menyelamatkan wanita itu secepat yang mungkin. Kami berdua
sempat pergi ke kabin kumpulan wanita setelah ternampak salah seorang urus setia
wanita berdiri di luar seakan-akan sedang mengintai sesuatu. Rupa-rupanya dia
pun mendengar bunyi suara tangisan wanita tersebut.
Maka kami bertiga pun sama-sama menuju ke arah hutan yang
diyakini tempat wanita itu sedang berada. Kami bagaimanapun enggah melangkah
masuk hutan itu jauh lebih ke dalam atas faktor keselamatan selain ditambah
dengan keadaan yang gelap-gelita. Peliknya semakin jauh kami berjalan, semakin
jauh bunyi suara wanita tersebut kedengaran. Hinggalah satu ketika, bunyi suara
tangisan wanita tersebut semakin dekat yang bermaksud kami kian menghampirinya.
“Saya takut! Saya
dekat mana?” kata wanita itu dengan suara perlahan.
Kami bertiga meyakinkan wanita tersebut bahawa kami berada
bersebelahan dengannya.
Entah kenapa wanita itu tiba-tiba saja diam. Keadaan
bertukar menjadi sunyi-sepi. Kami cuba memanggil wanita tersebut secara
berulang kali akan tetapi tiada sebarang respon.
“Tolong saya! Saya
sesat! Datanglah cepat!” Suara wanita itu muncul semula.
Pada waktu ini, aku dan rakan-rakanku saling berpandangan
antara satu sama lain tanpa sepatah kata. Kami mula mengesyaki bahawa ada
sesuatu yang tidak kena. Maka kami pun bersepakat untuk berpatah balik ke tapak
kem. Sebelum pulang, kami memanggil wanita itu untuk memberitahu bahawa kami
akan menyambung semula operasi pencarian dengan bantuan daripada pihak
berkuasa. Aku turut menyuruh wanita tersebut supaya kekal berada di tempatnya
hingga dia diselamatkan.
Sekembalinya di tapak kem, kami pun terus menekan loceng kecemasan. Pengurus kem yang diberitahu tentang kejadian suara tangisan wanita itu telah meminta supaya semua peserta kem termasuk pihak urus setia untuk berkumpul. Setelah dihitung secara sahih, tiada mana-mana individu yang berada di tapak kem tersebut hilang. Kesudahannya, kami semua disuruh untuk bersurai ke bilik tidur masing-masing. Pengurus kem menjelaskan boleh jadi suara tangisan yang aku dan dua orang rakanku dengari itu adalah bunyi gema suara kami sendiri. Mendengar penjelasan itu, kami bertiga memilih untuk berdiam diri. Apa yang pasti, suara tangisan wanita tersebut bukan gema. Ada sesuatu yang mengumpan kami untuk masuk ke dalam hutan itu. Mujur sajalah kami bertiga membuat pilihan yang tepat kembali ke tapak kem.
Catat Ulasan for "KISAH SUARA TANGISAN WANITA DI DALAM HUTAN"