Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KES PEMBUNUHAN KEJAM NOHEMA GRABER

    Kes pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2021 di mana seorang wanita berusia 66 tahun yang juga merupakan guru Bahasa Sepanyol sebuah sekolah tinggi telah mati dibunuh oleh dua orang remaja lelaki yakni pelajarnya sendiri iaitu Willard Miller dan Jeremy Goodale. 

    Pada bulan Julai 2023 lepas, Willard telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas dia mengaku bersalah atas dakwaan membunuh mangsa yang dikenali Nohema Grabber. Sementara itu, Jeremy yang membuat pengakuan terlibat dalam rancangan pembunuhan tersebut menerima hukuman penjara selama 25 tahun. Willard disyorkan untuk menerima hukuman penjara seumur hidup dengan kelayakan untuk pembebasan bersyarat selepas 30 tahun di penjara. Jeremy pula layak untuk pembebasan bersyarat setelah 25 tahun dipenjarakan. Mereka tidak layak untuk hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan pembebasan bersyarat memandangkan masing-masing masih di bawah umur pada masa serangan itu.

    Kejadian pembunuhan dahsyat itu berlaku apabila Willard dan Jeremy berpakat untuk menyerang Nohema di sebuah taman. Serangan tersebut dibuat selepas Willard tidak berpuas hati dengan markah ujian subjek Bahasa Sepanyol yang Nohema berikan kepadanya sangat rendah. Motif di sebalik pembunuhan itu hanya terungkai hampir setahun selepas kematian Nohema. 

    Mengikut fakta kes, kedua-dua saspek menyerang Nohema secara mengejut dengan menggunakan kayu pemukul besbol semasa wanita itu berjalan di taman. Pada mulanya Willard mengakui bahawa dia terlibat dalam merancang dan melaksanakan pembunuhan itu akan tetapi menafikan menyerang Nohema secara peribadi. Jeremy bagaimanapun memberi keterangan bahawa Willard memulakan rancangan itu dan kedua-dua mereka telah menyerang guru tersebut. 

    Menerusi keterangan daripada Jeremy,

    “Pada 2 Nov 2021, saya telah bertemu dengan Willard Miller di Taman Chautauqua, dan saya faham bahawa dia berniat untuk membunuh Puan Nohema." Dakwa Jeremy lagi, mereka berdua cuba menghilangkan bahan bukti sesudah pembunuhan itu berlaku. Mayat Nohema disembunyikan di taman itu sebelum ditemui orang awam. Terdapat saksi yang mendakwa Willard dan Jeremy meninggalkan kawasan taman tersebut dengan menaiki van milik mangsa. Van tersebut kemudian telah ditemui di hujung jalan luar bandar. 

    Hasil siasatan oleh pihak polis telah menemui bahan bukti yang seperti mesej Snapchat antara dua remaja terbabit, soal-siasat, waran penggeledahan dan rekod perbualan telefon. Selain itu, Jeremy memainkan peranan penting dengan memberikan kerjasama hingga membawa kepada persetujuannya untuk memberi keterangan menentang Willard.

    Sedikit mengenai Nohema Graber, dia adalah seorang guru yang dilahirkan di Mexico dengan latar belakang yang pelbagai. Dia pernah menjadi sebagai pramugari dan juruterbang selain menetap di Fairfield pada tahun 1990-an. Apa yang menyedihkan dalam kes ini, Nohema Graber dibunuh pada beberapa hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-67.

Catat Ulasan for "KES PEMBUNUHAN KEJAM NOHEMA GRABER"