KISAH PEMBUNUHAN SATE BERACUN
Pada tahun 2015, seorang wanita berusia 19 tahun bernama Nani
Apriliani Nurjaman yang juga merupakan seorang pekerja salon telah berkenalan
dengan seorang lelaki anggota polis iaitu Tomi. Lebih kurang dua tahun selepas
itu, mereka berdua akhirnya menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih
biarpun berlainan agama. Beberapa bulan berikutnya, Nani telah mendesak supaya
Tomi segera untuk menikahinya. Namun Tomi enggan berbuat sedemikian kerana dia
telah pun menikahi wanita lain tanpa pengetahuan Nani. Tomi bagaimanapun
bernikah dengan Nani secara rahsia pada tahun 2020 kerana wanita itu bertindak
mengugut selain mengganggunya secara berterusan. Pada waktu ini, Nani tidak
mengetahui status sebenarnya sebagai isteri kedua.
Walaupun sudah menjadi isteri Tomi, Nani sering berasa sakit
hati kerana suaminya itu sering tiada di rumah atas alasan sibuk bertugas.
Tanpa Nani sedari, Tomi sebenarnya banyak menghabiskan masa dengan isteri pertamanya.
Hinggalah satu ketika, Nani akhirnya mendapat tahu tentang isteri pertama Tomi.
Perkara ini sekaligus menimbulkan kemarahan Nani hingga membawa pertengkaran
antaranya dengan Tomi. Lebih menyakitkan hati Nani, Tomi memilih untuk bersama
dengan isteri pertama berbanding dirinya. Malah sejak itu juga, Tomi jarang
untuk menghubungi Nani.
Rasa cinta Nani kepada Tomi telah bertukar menjadi dendam. Lebih dahsyat, Nani telah membuat pencarian maklumat mengenai cara untuk melakukan pembunuhan tanpa meninggalkan sebarang jejak. Dia akhirnya mendapat idea untuk membunuh Tomi dengan menggunakan racun sianida. Sesudah berjaya mendapatkan alamat kediaman Tomi dan isteri pertamanya, Nani telah membeli racun sianida secara dalam talian.
Kisah sebenar bermula pada 25 April 2021 yakni pada bulan
Ramadan. Petang itu, Nani keluar dari rumah untuk membeli sate ayam di sebuah
gerai tepi jalan. Sebaik saja Nani pulang ke rumah, dia pun mencampurkan kuah
sate ayam itu dengan racun sianida. Sesudah berbuat sedemikian, Nani keluar
semula dari rumah dengan memakai tudung. Dia sengaja bertudung pada waktu
tersebut bagi mengelakkan identitinya dikenali. Seperti yang dirancang, Nani
telah singgah di sebuah masjid. Di situ, terdapat beberapa orang penghantar
makanan dalam talian yang sedang berehat. Salah seorang daripada mereka adalah
Bandiman (36 tahun) yang kebetulan baru saja selesai menunaikan solat asar.
Nani kemudian mengupah Bandiman sebanyak 30 000 rupiah untuk menghantar
bungkusan sate itu ke rumah Tomi. Harus diketahui bahawa persetujuan antara
Nani dan Bandiman ini dibuat secara luar talian. Nani sempat memberitahu
Bandiman bahawa sate ayam itu adalah kiriman daripada Pak Hamid.
Setibanya Bandiman di lokasi, cuma ada isteri Tomi saja yang berada di rumah. Jadi, isteri Tomi telah menolak untuk menerima bungkusan sate ayam tersebut memandangkan dia tidak mengenali individu bernama Pak Hamid seperti yang dimaksudkan Bandiman. Isteri Tomi kemudian menyerahkan semula sate ayam tersebut kepada Bandiman. Disebabkan penghantaran sate ayam itu adalah secara luar talian, sudah tentu Bandiman tidak dapat menghubungi Nani. Malah Nani tidak memberikan sebarang maklumat kepadanya termasuklah nombor telefon. Maka Bandiman menganggap bahawa sate ayam tersebut adalah rezeki untuk dibawa pulang ke rumah bagi dijadikan sebagai juadah berbuka puasa mereka sekeluarga pada hari itu.
Menjelang waktu berbuka puasa, Bandiman telah memakan sate
ayam itu bersama dengan keluarganya. Cuma tanpa disangka setelah memakan sate
tersebut, mereka sekeluarga mula mengalami gejala muntah. Paling teruk sekali
adalah anak Bandiman yang berusia lapan tahun iaitu Naba Faiz Prasetya. Dia
yang dimasukkan ke hospital kemudian disahkan meninggal dunia akibat keracunan.
Hasil pemeriksaan mendapati sate ayam yang dimakan oleh keluarga Bandiman itu didapati
mengandungi racun potasium sianida. Bandiman yang berasa terkejut dan sedih
terus membuat laporan polis tentang insiden di luar jangkaan itu.
Beberapa hari selepas kejadian, pihak polis telah berjaya mengnangkap Nani Apriliani Nurjaman (25 tahun). Penangkapan tersebut dibuat hasil pemeriksaan rakaman kamera pengawasan di kawasan tertentu yang pihak polis lakukan.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes di mahkamah, Nani yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun. Dia sebelum itu berasa menyesal atas tindakan kejamnya yang telah mengorbankan nyawa kanak-kanak tidak berdosa. Nani bahkan sempat meminta maaf kepada keluarga Bandiman atas perbuatannya kerana niat sebenarnya adalah untuk menjadikan Tomi sekeluarga sebagai mangsa.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN SATE BERACUN "