KISAH VLADO TANESKI : Wartawan Pembunuh
Pada awal tahun 2000-an, negara Macedonia dikejutkan dengan
kes pembunuhan bersiri yang melanda di bandar Kicevo negara tersebut yakni dari
tahun 2005 hingga 2008. Sepanjang tempoh itu, tiga orang wanita telah menjadi
mangsa pembunuhan tersebut. Identiti mereka dikenal pasti sebagai Mitra
Simjanoska (65 tahun, mayat ditemui pada 2005), Ljubica Licoska (56 tahun,
mayat ditemui pada 2007) dan Zivana Temelkoska (65 tahun, mayat ditemui pada
2008). Ketiga-tiga mereka yang juga merupakan pekerja pembersihan dibunuh
dengan cara yang sama iaitu dipukul, dirogol sebelum dicekik menggunakan kabel
telefon. Seperkara lagi harus diketahui, mereka bertiga juga adalah daripada
golongan miskin.
Sejak dari pertama kali artikel kes pembunuhan di Kicevo ini
dilaporkan secara rasmi di surat khabar, nama Vlado Taneski mula mendapat perhatian
orang ramai. Manakan tidak, setiap artikel penulisannya tentang pembunuhan
Kicevo adalah begitu terperinci hingga mendapat pujian oleh pelbagai pihak. Pihak
polis bahkan menjalankan kerjasama dengannya daripada pelbagai aspek untuk
merungkai misteri pembunuhan bersiri tersebut. Dialah orang pertama yang
meyakini bahawa pembunuhan yang berlaku di Kicevo itu adalah pembunuhan bersiri
selain mengetahui asal usul mangsa. Secara ringkasnya, Vlado adalah seorang
wartawan berpengalaman yang sudah berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama
hampir 20 tahun.
Selepas artikel demi artikel pembunuhan Kicevo yang ditulis Vlado, lama-kelamaan pihak polis mula mengesyakinya. Perkara ini berikutan terdapat maklumat dalam artikel penulisan Vlado didapati sulit untuk didedahkan. Dalam erti kata lain, maklumat yang Vlado tulis itu adalah petunjuk serta bukti kes yang pihak polis tidak pernah dedahkan kepada umum. Perkara ini termasuklah kabel telefon yang digunakan sebagai senjata pembunuhan dan kronologi penuh kejadian.
Siasatan lanjut pihak polis ke atas Vlado kemudian
benar-benar tidak disangka. Rupa-rupanya Vlado sebenarnya adalah pembunuh
bersiri Kicevo! Perkara ini disahkan hasil pemeriksaan bukti forensik DNA Vlado
yang didapati sepadan dengan DNA yang ditemui pada mangsa. Tidak jelas tentang
motif sebenar Vlado melakukan pembunuhan tersebut. Namun apa yang dapat dipastikan,
mangsa-mangsa yang dibunuh Vlado itu mengenali ibunya yang juga bekerja sebagai
pekerja pembersihan. Beberapa hari sesudah penangkapannya, Vlado telah membunuh
diri dengan cara melemaskan kepalanya di dalam baldi yang di bilik sel.
Menerusi sekeping nota bunuh diri daripada Vlado yang ditemui di bawah bantal
bilik sel itu, dia mendakwa bahawa dirinya bukanlah pembunuh sebenar.
Sedikit tentang latar belakang Vlado, dia dilahirkan pada tahun 1952 di Kicevo. Selain menjadi wartawan, Vlado turut berbakat dalam bidang penulisan sajak. Dia juga mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Vesna. Vlado dikatakan memiliki hubungan tegang dengan ibu-bapanya. Mengikut sumber artikel daripada internet, bapa Vlado membunuh diri pada tahun 2002. Beberapa bulan selepas kematian bapanya, giliran ibu Vlado meninggal dunia akibat dos ubat yang berlebihan.
Catat Ulasan for "KISAH VLADO TANESKI : Wartawan Pembunuh"