KISAH KEMATIAN FARHANA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN.
Kisah menyedihkan ini berlaku di negara Indonesia pada 14
tahun yang lalu. Diharap kisah ini dapat dijadikan sebagai pengajaran untuk
kita semua. Beringatlah dalam melakukan kejutan hari ulang tahun kelahiran seseorang
terutamanya membuat prank, budaya
yang sememangnya tidak patut diamalkan sama sekali.
19 November 2010, hari ulang tahun kelahiran seorang gadis
pelajar sekolah menengah di Batam yang ke-13. Gadis itu adalah Maizatul Farhana
yang berwajah cantik, periang dan begitu disenangi oleh orang-orang di
sekelilingnya. Dalam erti kata lain juga, Farhana merupakan seorang pelajar
sekolah yang bukan bermasalah. Jadi pada hari istimewa itu, Farhana telah meminta
bapanya supaya datang menjemputnya di sekolah tepat pada waktunya. Hal ini
kerana dia tidak mahu menjadi mangsa balingan telur dan tepung oleh
rakan-rakannya. Kiranya sudah menjadi budaya di sekolah Farhana untuk membaling
telur dan tepung kepada orang yang diraikan ulang tahun kelahirannya.
Cuma tanpa Farhana ketahui, rakan-rakan termasuk guru
kelasnya sudah bersepakat untuk melakukan
prank lain iaitu menuduhnya mencuri. Dijadikan cerita yakni semasa
ketiadaan Farhana di kelas pada waktu rehat, mereka yang berkenaan telah
meletakkan sejumlah wang dan telefon bimbit dalam tas tangan Farhana.
Sekembalinya Farhana ke kelas, suasana bertukar menjadi riuh apabila ada antara
rakan-rakannya yang mendakwa kehilangan wang dan telefon bimbit. Guru kelas
yang kebetulan mengajar pada waktu tersebut kemudian telah mengarahkan empat
orang pelajar untuk melakukan pemeriksaan. Sebaik saja wang dan telefon bimbit
ditemui di dalam tas tangan Farhana, semua pelajar terus menjerit ke arahnya
dengan menggelarnya sebagai pencuri secara berulang kali.
Perkara paling tidak diduga selepas itu adalah wajah Farhana
menjadi pucat lalu jatuh pengsan. Hanya selepas kedatangan bapanya di sekolah,
barulah Farhana sedarkan diri. Bapa Farhana turut diberitahu oleh guru kelas bahawa Farhana sebenarnya menjadi mangsa prank Namun setelah kejadian tersebut, Farhana tidak
lagi seperti dulu. Dia mengalami kemurungan yang begitu teruk. Di rumahnya,
adakala Farhana menjerit, menangis dan termenung seorang diri untuk tempoh masa
yang lama. Malah tidurnya juga sering terganggu selain hilang selera makan.
Selain itu, Farhana bukan saja tidak dapat untuk bersolat dengan khusyuk bahkan
dia tidak dapat mengaji Al-Quran dengan lancar seperti kebiasaannya. Farhana
tidak menyangka dia menjadi mangsa fitnah oleh orang-orang di sekeliling yang
dipercayainya. Emosinya benar-benar
terganggu.
Keadaan Farhana yang semakin teruk dari hari ke hari telah memaksa ibu-bapanya untuk menghantarnya ke hospital. Pada masa sama, Farhana enggan untuk bercakap. Setelah doktor pakar melakukan pemeriksaan, Farhana telah didiagnos mengalami jangkitan pada otak dan keradangan saraf. Farhana telah koma selama tiga minggu di hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada 16 Disember 2010 bersamaan dengan jam 4 pagi. Walaupun kematian Farhana adalah disebabkan masalah kesihatan, perkara paling menyedihkan adalah tentang rakan-rakan dan guru kelasnya yang dikatakan enggan untuk bertanggungjawab dengan apa yang mereka telah lakukan sebelum itu.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN FARHANA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN. "