Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM YUYUN

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku dalam sebuah kawasan perkampungan terpencil yang terletak di Bengkulu, Indonesia pada tahun 2016. Tahun tersebut, Yuyun adalah seorang pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun di mana dia digambarkan sebagai gadis yang baik, peramah, pintar dan rajin. Selain itu, Yuyun juga mempunyai pasangan kembar lelaki yang bernama Yayan. Yuyun bukanlah berasal daripada keluarga senang kerana status pekerjaan ibu-bapanya hanyalah sebagai petani. Disebabkan tidak mempunyai sebarang kenderaan, kebiasaannya ibu-bapa Yuyun terpaksa berjalan kaki menuju ke kebun yang terletak kira-kira 25 kilometer jauhnya dari rumah mereka. Adakalanya Yuyun dan Yayan akan menolong ibu-bapa mereka di kebun pada setiap kali waktu cuti persekolahan.

    Diringkaskan cerita iaitu pada tarikh 2 April 2016, Yuyun sedang dalam perjalanan pulang bersendirian dari sekolah dengan menggunakan jalan kebun yang biasa dia lalui. Kawasan kebun itulah yang dijadikan sebagai tempat melepak oleh sekumpulan anak muda nakal di kampung tersebut. Salah satu sebab utama mereka menghabiskan masa di situ adalah kerana di kawasan itu mempunyai liputan internet. Jadi pada hari kejadian, ada 14 orang anak muda melepak di kawasan tersebut dalam keadaan mereka sedang mabuk. Mereka semua kemudian telah menangkap Yuyun untuk merogol gadis itu. Lebih kejam, Yuyun dirogol secara bergilir-gilir dalam keadaan kedua-dua tangan serta kakinya diikat. Selepas semua perogol tersebut berasa puas, mereka pun membunuh Yuyun lalu membuang mayatnya di kawasan sekitar. Mereka berbuat sedemikian kerana takut Yuyun akan membuka mulut tentang apa yang telah berlaku kepadanya.

    Sesudah kejadian berlaku, Yayan telah memberitahu bapanya tentang Yuyun yang langsung tidak pulang ke rumah. Sejurus mendapat tahu mengenai perkara tersebut, bapa Yuyun segera membuat laporan polis dan seterusnya menjalankan operasi pencarian dengan bantuan penduduk kampung. Antara mereka yang membantu mencari Yuyun itu termasuklah kumpulan perogol tersebut. Hanya tiga setelah kehilangan Yuyun, barulah mayatnya yang sudah membusuk telah ditemui. Pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk menangkap semua perogol serta pembunuh Yuyun kecuali seorang yang berjaya melarikan diri dan dia masih lagi menjadi buruan hingga pada hari ini. Penangkapan tersebut dibuat hasil maklumat daripada penduduk kampung yang memberitahu tentang sekumpulan anak muda yang selalu melepak di kawasan kebun, lokasi kejadian pembunuhan Yuyun. Sementara itu, hasil laporan bedah siasat ke atas Yuyun menunjukkan pinggang gadis kecil itu patah, cedera di bahagian kemaluan selain terdapat kesan cekikan pada leher.

    Kisah kematian tragis Yuyun ini telah mencetuskan kemarahan ramai penduduk Indonesia yang menuntut supaya semua pelaku dijatuhkan hukuman setimpal. Manakan tidak, semua pelaku yang berada di bawah pengaruh alkohol sewaktu kejadian dilaporkan gemar menonton video pornografi. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, salah seorang pelaku berusia 23 tahun iaitu Zainal yang didakwa sebagai ketua kumpulan telah dijatuhkan hukuman mati. Lima lagi pelaku dihukum penjara 20 tahun manakala baki lagi antara mereka ada yang menerima hukuman penjara 10 tahun dan kurang atas faktor bawah umur.

    Paling tidak diduga dalam pengakhiran kes ini, keluarga Yuyun terpaksa berpindah dari kampung kerana menerima bermacam-macam ugutan daripada keluarga pelaku yang tidak menerima hakikat bahawa anak mereka telah didapati bersalah serta dipenjarakan. Walau bagaimanapun, ada pihak yang berbesar hati memberikan pelbagai jenis pertolongan kepada keluarga Yuyun.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM YUYUN "