Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KRONOLOGI KES KEMATIAN ''BABY JAILYN"


    Baru-baru ini, kes kematian Baby Jailyn di Ohio, Amerika Syarikat telah mencuri perhatian pengguna media sosial. Bayi malang berusia 16 bulan itu sebelum ini telah ditemui meninggal dunia pada sekitar bulan Jun 2023 di rumahnya dalam keadaan kelaparan dan badannya yang dipenuhi dengan air kencing dan najis. Lebih menyayat hati, bayi berusia 16 bulan itu meninggal dunia setelah ditinggalkan bersendirian di rumah selama 10 hari oleh ibu kandungnya iaitu Kristel Candelario yang pergi bercuti bersama dengan kekasihnya. Lagi dahsyat, Kristel meninggalkan anaknya itu tanpa sebarang makanan kecuali beberapa botol susu.

    Mengikut fakta kes, Kristel telah keluar dari rumah dengan meninggalkan Jailyn seorang diri di rumah pada 6 Jun 2023 untuk pergi bercuti di Puerto Rico. Menerusi satu rakaman CCTV yang dimainkan oleh pasukan pendakwaan sewaktu perbicaraan kes, Kristel dilihat memasukkan bagasi ke dalam keretanya.

    Selepas bercuti selama 10 hari, Kristel telah pulang ke rumahnya pada 16 Jun 2023. Beberapa minit setelah kepulangannya itu, Kristel menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan tentang keadaan Jailyn.

    "Tolong, tolong, tolong saya. Anak saya dah hampir mati."


    Jailyn telah ditemui terbaring di atas katil yang dipenuhi dengan air kencing dan najis. Tubuh badan Jailyn dilihat begitu kurus selain mengalami mata cengkung, bibir kering serta terdapat najis di mulut dan kuku jarinya. Berat badannya mengalami penurunan hingga tiga kilo dari waktu sebelumnya. Kristel dikatakam sempat menukar pakaian Jailyn dengan memakaikannya pakaian yang bersih sebelum ketibaan pasukan kecemasan akan tetapi perkara tersebut telah disedari oleh pihak berkenaan.
Seperkara lagi harus diketahui yakni sebelum percutian Kristel ke Puerto Rico, dia pernah membiarkan Jailyn tinggal bersendirian di rumah selama dua hari. Tidak jelas mengenai punca sebenar Kristel sering keluar dari rumah tanpa membawa Jailyn.


    Punca kematian Jailyn adalah akibat kelaparan dan dehidrasi parah. Sementara itu, hakim yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang kemungkinan pembebasan bersyarat terhadap Kristel tidak dapat menahan sebak mengenang nasib yang dialami oleh Jailyn.

    "Sama seperti awak yang tidak membenarkan Jailyn keluar dari tempat tidur sehingga dia meninggal dunia, awak juga akan menghabiskan sisa hidup di dalam penjara tanpa kebebasan. Satu-satunya perbezaan adalah penjara sekurang-kurangnya akan memberi awak makanan."

    "Bayi kecil itu bertahan untuk menunggu seseorang menyelamatkannya. Awak boleh melakukan hal itu hanya dengan satu panggilan telefon mudah. Sebaliknya saya melihat gambar awak berada di pantai, sementara anak awak memakan najisnya sendiri untuk bertahan hidup."

Catat Ulasan for "KRONOLOGI KES KEMATIAN ''BABY JAILYN""