Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

BAWA MAYAT KE BANK UNTUK BUAT PINJAMAN PERIBADI

    BRAZIL – Dalam satu kes mengejutkan di kawasan Bangu, Rio De Janeiro, seorang wanita telah ditangkap oleh pihak polis selepas dia memasuki ke dalam sebuah bank dengan membawa mayat seorang lelaki pertengahan usia yang berkerusi roda. Wanita berusia 42 tahun yang bernama Erika de Souza Vieira Nunes tersebut berbuat sedemikian adalah bagi mendapatkan tandatangan lelaki itu untuk urusan pinjaman peribadi sebanyak $3400. Identiti mayat lelaki itu dikenal pasti sebagai Paulo Roberto Braga, 68 tahun di mana dia dipercayai telah meninggal dunia pada beberapa jam waktu sebelumnya.

    Menerusi video tular yang dirakam sendiri oleh kakitangan cawangan bank itu, Erika dilihat memegang tangan serta kepala Paulo yang dipanggilnya sebagai pak cik.

    "Pakcik, awak dengar tak? Awak perlu tandatangan dokumen ini. Jika awak tidak tandatangan, tiada jalan, kerana saya tidak boleh tandatangan bagi pihak awak," kata Puan Nunes dalam rakaman video itu.

    Erika kemudian mengambil pen lalu meletakkan pen itu pada tangan ‘Paulo’ dan seterusnya menyuruh ‘Paulo’ supaya pen tersebut dipegang dengan kuat.

    "Tandatangan saja supaya awak tidak lagi memeningkan saya, saya tidak boleh terima dah," ujar Erika lagi.

    Salah seorang pekerja bank telah menyampuk dengan mengatakan bahawa ‘Paulo’ kelihatan sakit dan warna kulitnya tidak normal akan tetapi Erika mempunyai jawapan tersendiri.

    "Dia memang begini, tidak bercakap," jawab Erika lagi. "Pakcik, awak mahu pergi ke lagi?"

    Dek kerana rasa curiga, kakitangan bank berkenaan akhirnya bertindak untuk menelefon pihak berkuasa. Setibanya pihak polis dan pasukan paramedik di lokasi kejadian, mereka mengesahkan bahawa Paulo sebenarnya sudah meninggal dunia. Rentetan daripada perkara itu, Erika yang mendakwa dirinya sebagai anak saudara Paulo telah ditangkap serta-merta. Dia bakal berdepan dengan beberapa pertuduhan seperti penipuan, pecah amanah, dan penyalahgunaan mayat.

    Buat masa sekarang, kes masih lagi dalam siasatan lanjut termasuk mengenai status sebenar sama ada Erika adalah benar-benar anak saudara Paulo atau wujud juga penglibatan pihak ketiga. Difahamkan Erika telah membawa mayat Paulo ke bank itu dengan menaiki teksi.

    Sementara itu, pihak peguam bela Erika percaya Paulo meninggal dunia semasa berada dalam bank tersebut. Peguam Erika menegaskan bahawa anak buah mereka itu tidak bersalah dan akan membuktikan tentang perkara berkenaan. 

Catat Ulasan for "BAWA MAYAT KE BANK UNTUK BUAT PINJAMAN PERIBADI"