Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KES PEMBUNUHAN "BILA NAK KAHWIN?"

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2018 bertempat di Garut, Jawa Barat, Indonesia.

    Kisah sebenar bermula pada 19 Januari 2018 apabila seorang wanita berusia 32 yang juga merupakan ibu hamil telah ditemui mati di rumahnya dalam keadaan mengerikan di mana terdapat kesan kecederaan pada tangan, leher dan wajahnya. Identiti mangsa tersebut dikenal pasti sebagai Iis Aisyah.

    Berdasarkan siasatan awal oleh pihak polis, Aisyah disyaki telah menjadi mangsa pembunuhan. Selain itu, barangan peribadi Aisyah seperti sejumlah wang dan telefonnya didapati hilang. Difahamkan sewaktu kejadian pembunuhan berlaku, Aisyah tinggal bersendirian di rumah kerana suaminya bekerja di luar kawasan pada ketika itu.

    Setelah pihak polis menjalankan siasatan secara lebih terperinci, mereka telah mendapat maklumat tentang seorang jiran lelaki yang tinggal berdekatan dengan rumah Aisyah dikatakan tiba-tiba menghilangkan diri sejak dari hari kejadian. Lelaki yang dimaksudkan adalah Nunur atau nama sebenarnya iaitu Faiz Nurdin, 28 tahun. Malah sepasang selipar yang dipercayai milik Nunur turut ditemui di lokasi kejadian.

    Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan nasib Nunur. Selepas 9 hari menjadi buruan pihak polis, dia akhirnya berjaya ditangkap di Jakarta pada 29 Januari 2018.

    Hasil soal siasat yang pihak polis jalankan ke atas Nunur, dia telah mendedahkan motif pembunuhannya ke atas Aisyah yang sememangnya tidak masuk akal sama sekali. Alasannya membunuh Aisyah adalah kerana dia berasa sakit hati dengan ejekan wanita itu tentang dirinya yang masih bujang.

    Cerita Nunur yakni pada beberapa jam sebelum waktu kejadian, dia telah berjalan melalui depan rumah Aishah untuk pergi ke rumah neneknya. Nunur kemudian telah ditegur oleh Aishah. Mereka berdua sempat berborak biasa untuk seketika sebelum Nunur tiba-tiba berasa sakit hati dengan ayat yang keluar dari mulut Aisyah. 

    "Cepat kahwin, malu dengan orang lain. Orang lain dah ada anak 2, 3 tapi awak belum kahwin."

    Sesudah itu, Nunur yang benar-benar terasa dengan ayat tersebut meneruskan perjalanannya ke rumah neneknya yang berlokasi tidak jauh dari situ. Selepas makan di rumah neneknya, Nunur kembali semula ke rumah Aisyah. Entah apa yang merasuki Nunur, dia telah memasuki rumah Aisyah lalu menyerang wanita itu hingga jatuh rebah. Aisyah cuba melawan dengan cara menusuk mata Nunur namun gagal berbuat sedemikian. Nunur yang semakin marah telah memijak leher Aishah dengan kaki kirinya. Melihat Aishah yang sudah tidak lagi bernyawa, Nunur pun bergegas melarikan diri.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan Ogos tahun 2018, Nunur yang didapati bersalah melakukan pembunuhan terancang, dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun.

Catat Ulasan for "KES PEMBUNUHAN "BILA NAK KAHWIN?""