Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR DI SEBALIK DRAMA MARRY MY HUSBAND?

    Sebulan lepas, Youtuber popular Korea Selatan iaitu Stephanie Soo telah memuat naik sebuah video dengan judul Real Life Marry My Husband : Celebrity Has Cancer, catches her husband CHEATING with BFF, then they MARRY right after her passing. Baru-baru ini, video tersebut telah menjadi tular. 

    Drama Marry My Husband lakonan Park Min-young Na In-woo dan Lee Yi-kyung ini merupakan adaptasi daripada Webtoon dengan judul yang sama. Secara ringkas, jalan cerita drama ini mengisahkan tentang, Kang Ji-won, seorang wanita pengidap penyakit kanser yang mendapat tahu tentang suaminya iaitu Park Min-hwan yang telah berlaku curang kepadanya. Lebih mengejutkan, Park Min-hwan telah menjalinkan hubungan sulit seorang wanita yang bernama Jung Soo-min yang merupakan kawan baik Kang Ji-won. Dijadikan cerita, Kang Ji-won telah dibunuh oleh Park Min-hwan sebelum dia mendapati dirinya hidup semula pada zaman lalu yakni sewaktu dia masih bercinta dengan suaminya itu. Maka Kang Ji-won pun mengambil kesempatan pada masa itu untuk membalas dendam.

    Berbalik dengan cerita video Stephanie Soo tadi, Youtuber itu telah menceritakan bahawa kisah dalam drama Marry My Husband ini mempunyai persamaan dengan kisah benar yang pernah berlaku antara Karla Panini dan Karla Luna di Mexico. Malah Stephanie tidak menolak kemungkinan bahawa penulis Webtoon Marry My Husband mendapat idea daripada kisah dan Panini dan Luna ini. 

    Jadi, apakah kisah Panini dan Luna ini? Mereka berdua merupakan pasangan duo komedi terkenal di Mexico. Rancangan duo komedi mereka berdua dikenali sebagai "Las Lavanderas" yang bermaksud "Pencuci". Nama ini merujuk kepada watak yang mereka berdua lakonkan sebagai pembantu rumah atau pencuci dengan menampilkan karakter yang lucu. Las Lavanderas yang mempunyai banyak episod ini telah menjadi sangat popular hingga berjaya meraih ramai peminat disebabkan kelucuan Panini dan Luna. 

    Pada mula, Panini dan Luna sememangnya  berkawan baik. Walau bagaimanapun, konflik mula tercetus selepas Panini diketahui menjalinkan hubungan sulit dengan suami Luna. Sejak dari itu, kisah mereka mula menjadi sorotan media. 

    Nama suami Luna adalah Americo Garza manakala suami Panini pula dikenali sebagai  Oscar Burgos. Pada tahun 2010, Luna telah  didiagnosis menghidap kanser serviks dan bergantung sepenuhnya sokongan daripada Panini untuk melawan kansernya itu. Tiga tahun kemudian, Panini bercerai dengan suaminya dan setahun sesudah itu rancangan Las Lavanderas telah ditamatkan secara mengejut atas faktor yang tidak didedahkan. Namun terbongkar jua rahsia bahawa Panini telah menjalinkan hubungan sulit dengan Americo sejak dari Luna didiagnosis kanser lagi.  

    Selepas menyedari dirinya dikhianati oleh suami dan kawan baik sendiri, Luna benar-benar rasa sakit hati kerana dia sebelum itu banyak berkongsi masalah dengan Panini tentang hal rumah tangganya. Panini dikatakan cuba menyejukkan hati Luna dengan mengatakan semuanya baik-baik saja akan tetapi pada masa yang sama dia menyuruh Americo untuk meninggalkan Luna selain mempersendakan penampilan wanita berkenaan.

    Hingga pada akhirnya, Americo bercerai dengan Luna. Americo dan Panini bagaimanapun tidak membiarkan Luna dengan tenang kerana mereka berdua menggunakan saluran undang-undang untuk menghalang Luna daripada berjumpa dengan anak perempuannya. Pada tahun 2017 iaitu setahun selepas Luna meninggal dunia akibat penyakit kansernya, Americo dan Panini pun berkahwin. Panini seterusnya menjadi salah seorang wanita yang paling dibenci di Mexico.

Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK DRAMA MARRY MY HUSBAND? "