KISAH BENAR MISTERI DI DALAM SEBUAH RUMAH MERAH
Di sekitar jalan yang dinamakan sebagai Jalan 3 Robinson
yang terletak di Kolkata, India, terdapat sebuah rumah besar berwarna merah.
Rumah itu dihuni oleh seorang lelaki warga emas yang bernama Aurobindo De (77 tahun). Dia tinggal di situ bersama dengan dua orang
anaknya. Anak pertamanya adalah seorang wanita iaitu Debjani (50 tahun)
manakala anak kedua pula lelaki yang dikenali sebagai Partha Dey (44 tahun).
Kisah bermula pada 10 Jun 2015 apabila pihak polis menerima
panggilan kecemasan daripada orang awam tentang kepulan asap di tingkat kedua
rumah Aurobindo. Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka mendapati
pintu masuk Aurobindo itu dikunci dari dalam. Pada mulanya, tiada sesiapa yang
membuka pintu itu walaupun sudah diketuk berkali-kali. Pintu itu bagaimanapun dibuka sewaktu
pihak polis hampir melakukan cubaan untuk memecah masuk. Orang yang membuka
pintu itu adalah Partha Dey.
Sewaktu disoal oleh pihak polis, Partha Dey yang seolah-olah sedang kebingungan mendakwa tiada insiden kebakaran pun berlaku. Namun pada masa sama, pihak polis telah melihat kepulan asap dari dalam bilik mandi rumah tersebut. Setelah pihak polis mendapati pintu bilik mandi itu turut dikunci dari dalam, tindakan pecah masuk terpaksa dilakukan oleh mereka. Alangkah terkejutnya pihak polis apabila mendapati Aurobindo De yang berusia 77 tahun terbaring di dalam tab mandi dengan keadaan tubuh badannya rentung. Di sebelah mayat Aurobindo, terdapat minyak gas, kotak mancis dan juga sekeping nota bunuh diri bertulis,
“Saya membunuh diri
atas kerelaan diri sendiri. Tiada sesiapa pun yang patut dipersalahkan atas
kematian saya. Aurobindo De, 77 tahun. Saya sayangkan awak nak.”
Mayat Aurobindo De kemudian dihantar ke hospital untuk
proses bedah siasat. Tidak lama selepas itu, pihak polis diberitahu oleh
penduduk sekitar mengenai kewujudan Debjani di rumah tersebut. Perkara ini
sekaligus menambah rasa curiga pihak polis terhadap Partha De. Apabila Partha
De ditanya pihak polis tentang keberadaan kakaknya itu, dia cuma memberitahu,
“Apa yang saya telah lakukan
mungkin dianggap sebagai satu jenayah kalau dilihat daripada sudut
undang-undang akan tetapi saya melakukan semua ini kerana saya begitu
menyayangi kakak saya dan anjing peliharaan kami. Saya tak nak mereka pergi
dari hidup saya.”
Susulan daripada kenyataan Partha De itu, pihak polis tidak
melengahkan masa untuk melakukan pemeriksaan di rumah Aurobindo secara lebih
terperinci. Di dalam salah satu bilik tidur yang gelap akibat ditutup dengan
langsir, pihak polis telah menemui sesuatu yang mengerikan di sebalik selimut
atas katil! Penemuan tiga tulang rangka yakni satu tulang manusia dan dua lagi
tulang anjing. Hasil ujian DNA pada waktu kemudiannya mengesahkan bahawa tulang
manusia itu tidak lain tidak bukan adalah Debjani. Lebih mengejutkan, Debjani
telah pun meninggal dunia pada bulan Disember 2014. Partha De sendiri
mendedahkan bahawa dia tidur bersama dengan mayat Debjani sejak dari hari
pertama kematian kakaknya itu.
Kematian Aurobindo, Debjani dan dua ekor anjing mula
dikaitkan dengan unsur misteri susulan penemuan lebih daripada 20 000 buku
spiritual, 12 komputer riba, pelbagai jenis pembesar suara, diari dan banyak
lagi hal-hal yang aneh di dalam rumah tersebut.
Apabila pihak polis menyiasat kehidupan keluarga Aurobindo ini dengan lebih mendalam, ternyata kisah hidup Partha De ternyata benar-benar mengejutkan. Apa yang pasti, dia bukan seorang pembunuh.
Partha De dan Debjani |
Bercerita tentang sejarah kehidupan Aurobindo, dia merupakan bekas usahawan dalam industri pembuatan. Isterinya bernama Arati. Hasil didikan Aurobindo dan isterinya itu, kedua-dua anak mereka berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan teknologi perisian. Diringkaskan cerita, Partha De seterusnya bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat di mana prestasi kerjanya begitu cemerlang hingga dia dihantar ke Amerika Syarikat untuk pembangunan kerjaya. Sementara itu, Debjani pula memilih untuk menjadi seorang pengajar muzik di sebuah sekolah, lari jauh daripada bidang asalnya.
Seperkara harus diketahui, Debjani dan Partha De tidak
mempunyai sebarang kawan kerana mereka dilarang oleh ibu mereka supaya tidak
berkawan dengan sesiapa pun sejak dari kecil lagi. Perkara ini telah
menyebabkan hubungan Debjani dan Partha De begitu rapat. Saat Debjani dan
Partha De sudah selesa dengan kerjaya mereka, Arati telah mendesak dua
adik-orang adik beradik tersebut agar mencari pasangan untuk berkahwin. Dalam
salah satu diari yang ditulis Partha De, Arati pernah menuduh anak lelaki
Partha De mati pucuk selain menyuruh orang gaji mereka sendiri menggoda anak lelakinya
itu. Partha De hanya berasa lega setelah mengangkat kaki dari rumahnya untuk
bekerja di Amerika Syarikat.
Hinggalah pada satu hari, Arati akhirnya meninggal dunia akibat penyakit kanser payu dara. Walaupun Partha De tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Arati, pemergian ibunya itu telah meninggalkan kesan emosi yang mendalam terhadap dirinya. Malah Partha De membuat keputusan untuk berhijrah semula ke India untuk tinggal kembali bersama dengan Aurobindo dan Debjani. Selepas kematian Arati, suasana di rumah Aurobindo sudah tidak seperti dulu. Atas nasihat seseorang, Aurobindo dan dua orang anaknya itu banyak menghabiskan masa mereka untuk membaca buku-buku yang berkaitan dengan keagamaan dan spiritual untuk mendapatkan ketenangan. Partha De dan Debjani bahkan sanggup berhenti kerja hanya semata-mata untuk duduk terperap di rumah saja. Mereka enggan untuk keluar dari rumah selain tidak mahu lagi bergaul dengan saudara-mara serta penduduk setempat. Soal wang perbelanjaan harian, mereka menggunakan wang simpanan yang sedia ada. Tiada sesiapa yang dibenarkan untuk masuk ke dalam rumah. Pengawal keselamatan pula diarahkan untuk meletakkan saja makanan yang dipesan dari luar di pagar rumah.
Menurut keterangan daripada Partha De, Debjani semakin tertekan setelah kedua-dua ekor anjing peliharaan mereka mati. Bagi mengelakkan Debjani mengalami kesedihan secara berterusan, Partha De bersetuju untuk membiarkan bangkai anjing mereka itu di dalam rumah. Dalam erti kata lain, tidak perlu ditanam. Sampai satu ketika, Debjani berasa rumah mereka itu telah mempunyai aura kejahatan yang luar biasa. Jadi bermula pada bulan November 2014, Debjani tekad tidak untuk memakan sebarang makanan kecuali buah-buahan dan minum-minuman. Akibat tindakan peliknya itu, Debjani telah jatuh sakit lalu meninggal dunia.
Dek kerana terlalu sukar untuk menerima hakikat bahawa
Debjani telah pergi buat selama-lamanya, Partha De memutuskan mayatnya kakak
itu dibiarkan saja di rumah. Bagi mengelakkan bau busuk mayat Debjani dihidu
oleh penduduk sekitar, seluruh tingkap dan lubang di dalam bilik kakaknya itu
ditutup dengan kain langsir tebal. Lagi dahsyar, Partha De telah tidur dengan
mayat Debjani selama enam bulan! Diulangi, enam bulan. Dakwa Partha De lagi,
roh Debjani datang pada setiap malam untuk berborak dengannya.
Berhubung dengan perbicaraan kes di mahkamah, Partha De yang disahkan mengidap sakit mental telah diarahkan untuk dimasukka ke dalam hospital sakit jiwa bagi mendapatkan rawatan susulan. Beberapa bulan kemudian, Partha De dihantar pula ke sebuah rumah kebajikan berikutan dia yang telah berjaya pulih daripada penyakit mentalnya. Sesudah beberapa bulan di rumah kebajikan tersebut, barulah dia dibenarkan untuk pulang ke rumah asalnya. Tidak diketahui sebab sebenar, Partha De telah menjual rumah merah itu dengan harga sekitar $4.5 juta. Sebahagian daripada duit hasil jualan rumah tersebut dia gunakan untuk membeli sebuah rumah flat di tengah bandar Kolkata bagi memulakan kehidupan barunya.
Tunggu sekejap! Kisah Partha De ini belum tamat! Pada pertengahan bulan Februari 2017, pihak polis telah mendapat maklumat tentang kepulan asap yang berlaku di rumah flat yang didiami Partha De tersebut. Skrip yang sama dengan rumah merah Aurobindo, pihak polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati pintu masuk rumah flat Partha De itu dikunci dari dalam. Selepas pihak polis berjaya masuk ke dalam, pintu bilik mandi itu didapati berkunci. Apabila pintu bilik mandi tersebut berjaya dibuka, mereka melihat Partha De terbaring dalam keadaan sudah tidak lagi bernyawa. Sama seperti waktu penemuan mayat Aurobindo, terdapat botol minyak gas dan kotak mancis di sebelah mayat Partha De. Cuma apa yang sedikit membezakan, tiada nota bunuh diri daripada Partha De yang dapat ditemui di rumah flat tersebut.
Catat Ulasan for "KISAH BENAR MISTERI DI DALAM SEBUAH RUMAH MERAH "